Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL214
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI memberikan penjelasan berkenaan program Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) Framework di bawah Public Service Framework yang diperkenalkan dan impaknya terhadap tahap keberkesanan dan peningkatan kualiti dalam menggarap talent, kapasiti dan kewibawaan pegawai-pegawai kanan kepimpinan jentera kerajaan berperanan sebagai nadi penggerak Perkhidmatan Awam lebih efisien, berkesan dan menepati sasaran sekaligus mendokong Wawasan Brunei 2035.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) adalah Program Pembangunan Kepimpinan dalam Perkhidmatan Awam dan merupakan satu pendekatan strategik untuk mengenal pasti, membangun dan menyediakan barisan pemimpin Perkhidmatan Awam secara lebih sistematik dan berterusan.
Setakat ini, 1186 orang pegawai Bahagian II ke atas telah disenaraikan dalam Leadership Pool CSLP di kesemua Kementerian dan Jabatan-Jabatan di bawahnya dengan nisbah 1:12 iaitu seorang pegawai CSLP bagi setiap 12 orang pegawai dalam Bahagian I dan II dalam Perkhidmatan Awam.
Keberkesanan CSLP dapat dinilai melalui program pembangunan yang dilaksanakan ketika ini iaitu Program Eksekutif Muda (YEP), Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) dan Program Pembangunan Eksekutif Bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO). Program-program ini yang merangkumi pembelajaran berasaskan pengalaman, penempatan kerja, penghasilan kertas analisis dasar, penghasilan kertas cadangan melalui Projek Kajian Kapasiti (Capacity Review Project), lawatan sambil belajar di dalam dan luar negeri.
Rangka kerja CSLP dibangunkan berasaskan kompetensi kepimpinan dan amalan terbaik perkhidmatan awam antarabangsa. Penilaian peserta turut dilaksanakan dengan kerjasama Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore dan Chandler Governance Group bagi memastikan standard pembangunan kepimpinan yang tinggi.
Alhamdulillah, pencapaian peserta menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan, peratus peserta yang memperoleh gred A dan B bagi program-program utama CSLP secara konsisten berada di antara 85 hingga 100 peratus, sekali gus melebihi sasaran Programme and Performance Budgeting (PPB).
Di samping itu, di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam Pembangunan Kapasiti Perkhidmatan Awam antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, dimana pegawai-pegawai dalam CSLP yang terpilih juga berpeluang untuk mengikuti Program Penempatan Kerja Pegawai Perkhidmatan Awam di Republik Singapura selama setahun. Alhamdulillah, berdasarkan kaji selidik yang telah dilaksanakan, program ini juga telah mendapat maklum balas yang positif daripada peserta dan pihak atasan masing-masing dari segi pembangunan individu, cara berfikir, peningkatan keupayaan penggubalan dasar (enhanced policy formulation) dan impak kepada organisasi. Antara hasil yang diperkenalkan meliputi penambahbaikan proses kerja, pendigitalan perkhidmatan, pengukuhan dasar dan pengawalseliaan, pembangunan sistem baharu yang menyokong agenda transformasi Perkhidmatan Awam.
Sebagai contoh, beberapa orang pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga Kementerian Kesihatan, yang mengikuti program tersebut telah berupaya memberikan nilai tambah terhadap proses kerja berkaitan perkhidmatan-perkhidmatan teras Kementerian termasuk memperkenalkan beberapa pembaharuan strategik yang mendatangkan impak positif khususnya terhadap keutamaan Kementerian.
Pembangunan pegawai di bawah CSLP turut merangkumi aspek pementoran serta Penempatan Silang (Cross Fertilization), iaitu penempatan pegawai ke agensi lain bagi tujuan untuk meluaskan perspektif, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kerja pegawai, sekali gus meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dan situasi urus tadbir yang berbeza.
Secara keseluruhannya, CSLP telah menyumbang kepada pembangunan barisan pemimpin dalam Bahagian II dan ke atas yang lebih kompeten, berwibawa dan bersedia dalam mendokong transformasi Perkhidmatan Awam secara lebih efisien, berkesan dan berorientasikan hasil, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.