Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL221
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan hasil penilaian Impak Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama Ke Dalam Pendidikan Umum dari segi kefahaman, penerapan dan penghayatan syakhsiyah ugama khususnya Fardhu 'Ain, bermula peringkat pendidikan rendah bagi membimbing generasi muda melalui proses pembelajaran berterusan khususnya pemeliharaan dan pengukuhan yang mantap terhadap aqidah pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Alhamdulillah, Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama Ke Dalam Pendidikan Umum mula dilaksanakan pada 1 November 2023. Sejak pelaksanaannya, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama terus bekerjasama dalam pembangunan kurikulum, penyediaan buku teks, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta penilaian pencapaian murid.
Kurikulum Pendidikan Islam telah dibangunkan dengan penglibatan pakar-pakar daripada Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Jabatan Mufti Kerajaan. Setakat ini, kurikulum Pendidikan Islam bagi murid Tahun 2 dan Tahun 3 telah dihasilkan dan dilaksanakan secara berperingkat.
Kandungan kurikulum merangkumi Tauhid, Ibadah, al-Quran, Akhlak, Amali Ugama, Sejarah Islam dan Pelajaran Jawi. Kandungan tersebut disusun berdasarkan tahap perkembangan, keupayaan dan keperluan pembelajaran murid. Pendekatan ini membolehkan murid memahami asas-asas agama sejak peringkat awal dan seterusnya memperkukuh pengetahuan serta amalan Fardhu 'Ain secara tersusun dan berkesinambungan pada setiap tahun persekolahan.
Dari segi kefahaman, penerapan dan penghayatan syakhsiyah ugama, penilaian dan pemantauan dikekalkan secara berterusan melalui penilaian formatif dan sumatif selaras dengan Garis Panduan Student Assessment. Murid dinilai melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, Assessment Task pada setiap penggal serta Peperiksaan Berasaskan Sekolah pada akhir tahun.
Bagi memastikan keseragaman pelaksanaan di semua sekolah, Assessment Task, instrumen penilaian, skema pemarkahan dan rubrik penilaian disediakan secara berpusat oleh Jabatan Pengajian Islam. Markah penilaian direkodkan secara dalam talian bagi membolehkan data pencapaian murid dikumpulkan, dianalisis dan dipantau secara berpusat. Dapatan penilaian tersebut digunakan untuk menambah baik kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta program sokongan dari semasa ke semasa.
Dalam aspek penguasaan al-Quran, satu matriks khas telah dibangunkan bagi menetapkan tahap penguasaan bacaan Iqra' dan al-Quran mengikut peringkat umur. Penilaian formatif turut dilaksanakan bagi Komponen al-Quran dan Amali Ugama untuk memantau perkembangan murid secara berterusan.
Dalam aspek penerapan Fardhu 'Ain, Jabatan Pengajian Islam turut melaksanakan Program Bimbingan Shalat bagi Murid Tahun 2. Pencapaian murid dinilai melalui tiga komponen utama, iaitu wudhu, sembahyang dan hafalan surah-surah. Rekod Shalat Fardhu di Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta juga disediakan bagi murid Tahun 2 hingga Tahun 5 untuk membantu pihak sekolah memantau dan memperkukuh pelaksanaan sembahyang fardu lima waktu dalam kalangan murid.
Selain itu, Program Bilal dan Imam Cilik dilaksanakan bagi memberikan pengalaman praktikal kepada murid serta membina keyakinan, kepimpinan, disiplin dan penghayatan terhadap amalan keagamaan.
Bagi memastikan kandungan kurikulum berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, Bahagian Sukatan Pelajaran, Bahagian Penilaian dan Jabatan Pengajian Islam sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Mufti Kerajaan dalam menyemak dan mengemaskini kandungan Pendidikan Islam. Kurikulum prasekolah bagi kanak-kanak berumur lima tahun turut disediakan dengan memberikan pendedahan awal kepada bacaan Iqra', huruf hijaiyah dan Bahasa Arab sebagai asas pendidikan Islam.
Secara keseluruhannya, pengintegrasian ini telah menjadikan pengajaran Pendidikan Islam lebih tersusun, bersepadu dan berkesinambungan. Penilaian terhadap kefahaman, penguasaan amali Fardhu 'Ain dan penghayatan syakhsiyah ugama akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan murid bukan sahaja memperoleh pengetahuan agama, tetapi mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian serta berpegang teguh kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.