Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL168
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI HAL EHWAL UGAMA menyatakan bagaimanakah Kementerian membangunkan produk yang berpotensi eksport serta mempercepatkan pengkomersialannya melalui pembiayaan dan akses pasaran antarabangsa bagi melahirkan perusahaan halal Brunei yang mampan dan berdaya saing global? Ini adalah berdasarkan pemerhatian produk dan inovasi halal di UNISSA.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Kementerian Hal Ehwal Ugama akan menjawab bahagian yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian ini sahaja. Aspek pembiayaan, pengkomersialan dan akses pasaran antarabangsa akan dilengkapkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, menurut bidang kuasa Kementerian berkenaan.
Kementerian Hal Ehwal Ugama merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin atas soalan yang menyentuh agenda penting negara, iaitu melahirkan perusahaan halal Brunei yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Peranan teras Kementerian dalam ekosistem halal negara ialah memelihara integriti pensijilan halal menurut Hukum Syara' dan perundangan yang berkuatkuasa. Bahagian Kawalan Makanan Halal menjalankan proses penilaian dan pemeriksaan, manakala keputusan akhir dibuat oleh Majlis Ugama Islam Brunei. Proses ini memberi keyakinan bahawa penggunaan Sijil, Permit atau Label Halal Brunei disokong oleh piawaian yang ditetapkan.
Walaupun fungsi kawal selia ini dilaksanakan di dalam negara, kredibiliti pensijilan halal merupakan salah satu faktor yang menyokong keyakinan pasaran dan daya saing eksport produk Brunei.
Di pasaran antarabangsa, selain kualiti, harga dan kebolehpercayaan bekalan, pengguna serta pengimport turut menilai kredibiliti pensijilan halal. Oleh itu, integriti Halal Brunei ialah aset pasaran penting yang perlu dipelihara secara konsisten. Berhubung produk dan inovasi halal di UNISSA, peranan Kementerian Hal Ehwal Ugama ialah memberikan panduan awal mengenai keperluan Syara', bahan, proses dan dokumentasi supaya produk lebih bersedia untuk permohonan pensijilan. Adapun pengkomersialan, pembiayaan dan akses pasaran pula memerlukan laluan kerja bersama UNISSA dengan agensi-agensi yang berkenaan dan berkepentingan.
Bagi aspek di luar bidang kuasa Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai pembiayaan, pembangunan perusahaan dan akses pasaran antarabangsa.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri
Dari aspek pengkomersialan, pembangunan produk dan inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan dan dieksport perlu disokong secara menyeluruh, iaitu dengan membangunkan ekosistem yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan perusahaan. Ini bermula daripada mengenal pasti idea yang mempunyai potensi komersial, membangunkan produk dan keupayaan perusahaan, memenuhi keperluan piawaian dan pasaran, mendapatkan pembiayaan, sehingga kepada akses pasaran domestik dan antarabangsa, termasuk fasilitasi padanan perniagaan (business matching) dengan pengimport dan rakan strategik. Pendekatan ini membolehkan perusahaan tempatan memanfaatkan rangkaian pengedaran sedia ada untuk menembusi pasaran baharu dengan lebih cepat dan berkesan.
Bagi melahirkan lebih banyak lagi perusahaan dan penyertaan pengusaha baru, pihak BEDB telahpun menyediakan beberapa program yang turut membantu lepasan-lepasan dari institusi pengajian tinggi seperti UNISSA. Ini termasuk bisnes bootcamp, seperti Micro Bootcamp (termasuk hybrid Micro Bootcamp) dan Accelerate Bootcamp.
Business Bootcamp ini bertujuan untuk membantu belia lepasan institusi pengajian tinggi dan pengusaha-pengusaha tempatan untuk memulakan dan mengembangkan perusahaan/perniagaan mereka.
Di samping itu jua, pihak BEDB menyediakan Brunei Mentor for Entrepreneurs Network (BMEN) bagi membolehkan pengusaha-pengusaha yang sudah berjaya dan pakar-pakar industri mengongsikan pengalaman dan ilmu pengetahuan mereka dan seterusnya menjadi pembimbing kepada pengusaha-pengusaha tempatan.
Dalam hubungan ini, BEDB turut melibatkan institusi pengajian tinggi dalam ekosistem keusahawanan dan inovasi bagi mengenal pasti keupayaan serta inisiatif yang sedia ada, di samping memberi pendedahan kepada pelajar dan graduan mengenai laluan untuk membangunkan idea kepada perniagaan.
Sebagai contoh, bersama UNISSA khususnya, BEDB melalui Brunei Innovation Lab (BIL) telah terlibat sebagai juri bagi Entrepreneurship Project di bawah Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA sejak tiga tahun kebelakangan ini, di samping turut menjadi juri bagi UNISSA Innovation Day pada tahun lalu. BIL juga merupakan rakan penyokong bagi program DST Catalyst bersama Fakulti Teknologi Islam UNISSA, serta kolaborator bersama UNISSA Halal Thayyiban Research Centre dalam projek pengkomersialan penyelidikan yang sedang dijalankan bersama Shizuoka University, Jepun. Peserta daripada penglibatan sebegini lazimnya turut disalurkan untuk mengambil bahagian dalam program-program lain dalam ekosistem.
Hasil daripada kesinambungan ini, beberapa syarikat permulaan yang berasal dari UNISSA telah lahir dan berkembang melalui ekosistem ini, seperti:
- Panda Geek Studio (melalui pillar Game Development),
- NusrahTech (melalui DST Catalyst),
- Bizkita (melalui UNISSA Entrepreneurship Project dan REACH),
- Intelligent Maqra'ah (melalui AITI Reka Lab),
- TerraTani (melalui Makerphase); dan
- Aria Care (melalui REACH dan S673 NatHack).
Brunei Innovation Lab juga membuka penyertaan kepada institusi pengajian tinggi dan universiti melalui program inovasi yang menghubungkan penyelesaian yang dibangunkan dengan keperluan industri. Oleh itu, inovasi yang mempunyai potensi komersial, termasuk yang dibangunkan di institusi seperti UNISSA, boleh diperkembangkan melalui ekosistem sokongan yang bersesuaian mengikut tahap kesiapsiagaan masing-masing.
Usaha ini turut disokong melalui REACH Programme yang diperkenalkan oleh BEDB bagi membantu pelajar mengembangkan projek tahun akhir dan idea mereka kepada model perniagaan yang berdaya maju. Program ini memberi pendedahan kepada asas keusahawanan, pemain dalam ekosistem serta peluang untuk meneruskan pembangunan idea selepas tamat pengajian. Pendekatan ini selaras dengan usaha BEDB untuk memperkukuh laluan daripada pendidikan dan inovasi kepada pembangunan startup dan pengkomersialan. BEDB juga bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi sebagai sebahagian daripada usaha untuk memetakan keupayaan, menyelaraskan program serta menghubungkan idea pelajar dengan ekosistem startup dan keperluan industri.
Bagi produk yang telah dikenal pasti mempunyai potensi pasaran, BEDB menyediakan sokongan untuk meningkatkan kualiti, kapasiti pengeluaran dan pematuhan. Antaranya melalui Standards Consultancy Programme, termasuk sokongan berkaitan piawaian antarabangsa seperti GMP, HACCP dan ISO. Setakat ini, 555 syarikat tempatan telah mengikuti latihan berkaitan piawaian dan 65 syarikat telah memperoleh pensijilan piawaian antarabangsa. BEDB turut bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk meningkatkan kefahaman PMKS tempatan mengenai proses Pensijilan Halal dan Permit Halal.
Dari segi pembangunan produk dan kemasukan ke pasaran, BEDB menyediakan Product Development Program bagi membantu menambah baik produk supaya lebih kompetitif dan memenuhi piawaian pasaran tempatan serta antarabangsa. Melalui inisiatif Market Entry, perusahaan yang berpotensi boleh diberikan khidmat nasihat dan pelan tindakan untuk meningkatkan kesiapsiagaan eksport serta menjalankan market trial di pasaran sasaran. BEDB juga bekerjasama dengan pakar pembangunan produk dari luar negara, termasuk Jepun, untuk menilai kualiti dan potensi produk tempatan sebelum diuji di pasaran berkenaan.
Bagi mempercepatkan pertumbuhan dan pengkomersialan perusahaan, beberapa bentuk pembiayaan turut disediakan mengikut tahap dan keperluan syarikat. Antaranya ialah:
- Skim Co-Matching sehingga BND20,000;
- Growth Facilitation Fund sehingga BND100,000 bagi syarikat yang layak di bawah program Elevate; serta
- Startup Catalyst Fund yang menyediakan pelaburan padanan bersama firma venture capital serantau sehingga BND500,000 bagi startup atau PMKS yang berpotensi berkembang ke pasaran luar negara.
- BEDB juga memudah cara akses kepada pelabur angel dan institusi perbankan.
Sebagai persediaan untuk memasuki pasaran antarabangsa, BEDB turut menyediakan Export Readiness Training dan khidmat nasihat eksport bagi membantu perusahaan menilai kesiapsiagaan, memahami pasaran sasaran serta membuat penambahbaikan dari segi produk, pembungkusan dan penyesuaian kepada keperluan pasaran. Dari segi akses pasaran, BEDB memudah cara penyertaan perusahaan dalam ekspo perdagangan, program Hosted Buyer, sesi business matching dan market trial, serta menghubungkan perusahaan dengan pembeli, pengimport dan pengedar luar negara.
Secara keseluruhannya, tumpuan adalah untuk memastikan inovasi yang mempunyai potensi, termasuk yang dibangunkan di institusi seperti UNISSA, tidak terhenti pada peringkat penyelidikan atau pembangunan produk sahaja. Melalui kerjasama institusi pengajian tinggi, pembangunan keupayaan, pematuhan piawaian dan halal, pembiayaan serta akses pasaran, produk yang berpotensi boleh dibimbing ke arah pengkomersialan dan seterusnya berkembang sebagai perusahaan Brunei yang mampan dan berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Selain itu, Kementerian sememangnya memberi perhatian khusus kepada pembangunan produk pengusaha tempatan yang berpotensi untuk berkembang secara berskala besar, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan pasaran dalam negeri, bahkan untuk menembusi pasaran serantau.
Dalam hubungan ini, Kementerian juga telah melaksanakan beberapa inisiatif melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai, bermula daripada pembangunan produk, peningkatan kapasiti pengeluaran, pematuhan kepada pensijilan dan piawaian antarabangsa, pembangunan pembungkusan dan penjenamaan, sehingga kepada fasilitasi akses pasaran serantau dan antarabangsa.
Usaha pembangunan produk agrimakanan melalui pendekatan ini turut disokong melalui Taskforce Agrifood yang ditubuhkan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Melalui platform ini, BEDB bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti strategi, memudah cara penyertaan PMKS tempatan dalam aktiviti pemprosesan dan pengeluaran produk agrimakanan serta meningkatkan peluang eksport.
Melalui Taskforce Agrifood, perusahaan dikategorikan mengikut tahap kematangan bagi memastikan setiap syarikat menerima fasilitasi yang bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan mereka. Beberapa program telah dirangka dan dilaksanakan seperti:
- Program Product Enhancement;
- Program Penambahbaikan Bahan Input;
- Program Sistem Penyimpanan;
- Program Pensijilan; serta
- Program Pemudahcara Pasaran tempatan dan eksport
Ini adalah sebagai usaha dalam meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran dan skala operasi pengusaha, termasuk memperkukuh rantaian sejuk (cold chain) dan proses logistik untuk tujuan eksport.
Fokus Kementerian bukan hanya kepada peningkatan keluaran primer, tetapi juga kepada pemprosesan, penjenamaan, pembungkusan, pensijilan dan pematuhan standard. Ini kerana untuk menembusi pasaran serantau, produk tempatan perlu bukan sahaja berkualiti, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan pasaran, logistik dan keyakinan pengguna antarabangsa. Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan pengukuhan biosekuriti di ladang atau kolam ternakan di samping pemantauan kualiti dan keselamatan makanan melalui pensijilan seperti Brunei Good Agricultural Practices (BGAP), Brunei Good Aquaculture Practices (BGAqP), Good Manufacturing Practices dan HACCP bagi memastikan produk memenuhi piawaian keselamatan makanan domestik dan antarabangsa.
Kesimpulannya, pendekatan Kementerian bukan sekadar membantu pengusaha untuk bertahan, tetapi untuk naik ke tahap seterusnya dan seterusnya menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi dan pertumbuhan KDNK negara secara berterusan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.