Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL208
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin
YANG BERHORMAT AWANG HAJI SALLEH BOSTAMAN BIN HAJI ZAINAL ABIDIN meminta MENTERI KEWANGAN II menyatakan apakah langkah Kementerian memperkukuh pelaksanaan dasar Local Business Development (LBD) dalam tender Kerajaan dan GLC, termasuk kuota penyertaan syarikat tempatan, ketelusan pelaporan berkala serta petunjuk prestasi jelas seperti nilai kontrak dan jumlah pekerja tempatan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kewangan II
Dasar Local Business Development merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan pembangunan perusahaan tempatan, meningkatkan penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti. Pelaksanaan dasar ini juga menyokong usaha pempelbagaian ekonomi negara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 melalui pembangunan sektor swasta yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampan.
Bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut, Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif mengikut sektor dan bidang keutamaan, antaranya seperti berikut:
i. Dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) telah membangunkan ICT Local Business Development Policy Framework sebagai panduan pelaksanaan projek ICT Kerajaan. Rangka kerja ini bertujuan untuk meningkatkan dan menggalakkan penyertaan syarikat ICT tempatan melalui pembangunan vendor, pemindahan teknologi, penggunaan kandungan tempatan (local content) serta pengukuran prestasi melalui petunjuk yang jelas.
ii. Dalam sektor pembinaan pula, Kementerian Pembangunan melalui Construction Industry Policy Framework terus menggalakkan penyertaan kontraktor, sub-kontraktor, pembekal dan tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan negara, sekali gus memperkukuh kapasiti industri pembinaan tempatan.
iii. Bagi sektor tenaga, melalui Energy In-Country Value (ICV) Division, Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri terus menerajui pelaksanaan inisiatif pembangunan kandungan tempatan dengan memperluaskan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri tenaga serta meningkatkan pembangunan kapasiti industri sokongan tempatan.
Manakala pelaksanaan dasar Local Business Development, di bawah GLCs, Kumpulan Syarikat Darussalam Assets Sendirian Berhad telah menyediakan laman web procure.bn iaitu merupakan platform perolehan digital yang dibina sepenuhnya dari awal, ataupun built-from-scratch. Laman web ini menempatkan sebuah direktori pembekal yang boleh diakses secara umum dan mempamerkan syarikat-syarikat pembekal tempatan untuk mempromosikan perusahaan setiap syarikat dan pada masa yang sama, menyokong kedua-dua peluang perniagaan-ke-perniagaan dan perniagaan-ke-pengguna.
Setakat Julai 2026, sebanyak 17 GLCs di bawah Kumpulan Syarikat Darussalam Assets telah menyertai platform ini untuk menawarkan peluang perolehan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dan syarikat-syarikat yang berminat. Pada masa ini, sebanyak 1,350 vendor telahpun mendaftar ke platform tersebut dan sebanyak 715 peluang membekal telah pun diselesaikan.
Dalam masa yang sama, Kumpulan Syarikat Darussalam Assets sangat komited dalam tatacara perolehan yang rapi merangkumi amalan terbaik dan pematuhan undang-undang; nilai terbaik bagi perbelanjaan, keadilan, integriti dan ketelusan dalam membuat penilaian perolehan; dan kawalan perolehan berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan.
Seterusnya bagi menguatkan pematuhan kepada piawaian keselamatan siber dan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus atau Environment, Social and Governance, pendaftaran pembekal memerlukan penyerahan dokumen yang berkepentingan seperti sijil pendaftaran, akreditasi, sijil pematuhan cukai, penyata kewangan teraudit dan pengisytiharan konflik kepentingan.
Kementerian Kewangan akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi dan Syarikat-Syarikat GLC bagi memperkukuh pelaksanaan Dasar Local Business Development melalui penyelarasan dasar, perkongsian amalan terbaik serta pengukuhan mekanisme pemantauan dan pelaporan prestasi secara lebih sistematik. Bagi sektor dan projek yang berkenaan, elemen Local Business Development akan terus dipertimbangkan sebagai salah satu kriteria penilaian dalam proses perolehan Kerajaan, di samping penilaian terhadap aspek teknikal, kemampuan kewangan, keupayaan pelaksanaan dan prinsip value for money.
Dalam memperkukuh pelaksanaan Dasar Local Business Development, Kementerian Kewangan turut menggalakkan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk terus mempertingkatkan mekanisme pemantauan prestasi melalui petunjuk yang bersesuaian, termasuk tahap penyertaan syarikat tempatan, pembangunan vendor, kerjasama strategik, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan kepada rakyat serta impak ekonomi yang dijana. Pendekatan ini akan membantu memastikan pelaksanaan dasar Local Business Development terus memberikan manfaat yang nyata kepada pembangunan ekonomi negara.
Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan akan terus memastikan setiap proses perolehan Kerajaan dilaksanakan secara telus, kompetitif, adil dan berintegriti selaras dengan Peraturan-Peraturan Kewangan yang berkuatkuasa, dengan mengekalkan keseimbangan antara pembangunan industri tempatan, persaingan yang sihat dan pencapaian value for money, sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.