Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL190
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH ROSMAWATTY BINTI HAJI ABDUL MUMIN meminta MENTERI HAL EHWAL UGAMA menyatakan jika Kementerian mempertimbangkan, dalam proses pemulihan banduan yang mengikuti program hafazan Al-Quran, untuk memperkenalkan ganjaran dalam bentuk pengiktirafan dan insentif kewangan yang bersesuaian berdasarkan pencapaian hafazan, termasuk mekanisme penyaluran manfaat kepada rakan seliaan atau ahli keluarga sebagai galakan berterusan ke arah pemulihan dan pengukuhan institusi keluarga?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Sukacita dimaklumkan bahawa perkara ini sedang diteliti sebagai sebahagian daripada usaha semakan terhadap Peraturan Menghafaz Al-Quran 2002 yang sedia ada. Ia dilaksanakan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.
Cadangan ini telah pun dibincangkan melalui sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan, bagi memastikan pelaksanaannya adalah teratur, bersesuaian dan mencapai objektif rehabilitasi melalui Pendidikan Al-Quran.
Walau bagaimanapun, memandangkan cadangan ini masih dalam proses pertimbangan dan kelulusan pihak-pihak berkenaan, belum dapat diperincikan pada masa ini, bagi mengelakkan sebarang jangkaan terhadap perkara yang belum dimuktamadkan.
Dalam meneliti cadangan ini, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan; pengiktirafan formal terhadap pencapaian hafazan; pemberian insentif kewangan; dan mekanisme penyaluran manfaat kepada Rakan Seliaan atau ahli keluarga.
Pertama, dari segi pengiktirafan formal terhadap pencapaian hafazan, saluran sedia ada ialah Ujian Tasmi' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam bagi kategori 10, 20 dan 30 juzuk. Ujian tersebut terbuka kepada warganegara dan penduduk tetap yang memenuhi syarat. Dengan pengaturan bersama Jabatan Penjara, peserta Program Syafa'atul Quran yang memenuhi syarat sebenarnya juga boleh mengikuti ujian tersebut dan menerima pengiktirafan yang setara dengan calon-calon lain.
Walau bagaimanapun, saluran tersebut hanya meliputi tahap 10, 20 dan 30 juzuk. Oleh itu, pengiktirafan khusus bagi pencapaian hafazan secara berperingkat dalam program pemulihan, termasuk pencapaian di bawah 10 juzuk, boleh turut diteliti supaya kemajuan peserta dapat dihargai secara tersusun dan berterusan.
Kedua, berhubung insentif kewangan, perkara ini sedang diteliti termasuk dari segi asas kelayakan, sumber pembiayaan, kadar atau peringkat insentif, kaedah pengesahan hafazan dan tatacara pembayaran. Penelitian ini juga boleh diselaraskan dengan semakan Peraturan Menghafaz Al-Quran 2002 yang sedang dilaksanakan.
Ketiga, mengenai penyaluran manfaat kepada Rakan Seliaan atau ahli keluarga, Kementerian bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat bahawa pemulihan seseorang tidak berlaku dalam keadaan terasing. Keluarga adalah tempat seseorang kembali. Justeru sebarang mekanisme yang menghubungkan pencapaian peserta dengan pengukuhan hubungan keluarga adalah selari dengan matlamat program ini. Matlamat akhirnya ialah supaya penghayatan Al-Quran membentuk disiplin, akhlak dan kekuatan diri yang dapat diteruskan setelah peserta kembali kepada keluarga dan masyarakat.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.