Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL166
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan bagaimanakah Kerajaan beralih daripada pendekatan reaktif seperti penyimpanan stok kepada proactive scenario planning dan penilaian risiko bagi memperkukuh daya tahan negara menghadapi kejutan geopolitik, ekonomi dan alam sekitar serta gangguan rantaian bekalan global semakin kompleks?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Dalam menangani kebimbangan yang disuarakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, pendekatan pentadbiran diperkukuh dengan memberikan penekanan kepada langkah-langkah yang lebih proaktif. Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah dan Perkembangan Semasa (KK-MKTTPS) ditubuhkan sebagai landasan penyelaras strategik seluruh Kerajaan (whole-of-government) ke arah tindakan proaktif yang dimaksudkan, bagi memperkukuh kesiapsiagaan Negara menghadapi ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik, pandemik, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.
Ianya ditubuhkan untuk menyelaraskan penilaian risiko dan impak terhadap rakyat, terutamanya bagi:
Pertama – menilai risiko terhadap bekalan tenaga, makanan, ubat-ubatan, bahan pembinaan dan keperluan asas yang lain, termasuk impak ekonomi dan sosial kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana;
Kedua – merangka langkah mitigasi kos sara hidup, termasuk intervensi jangka serta-merta, pendek, sederhana dan panjang; dan
Ketiga – memastikan kemampanan fiskal melalui pendekatan bersepadu.
Strategi bagi mencapai objektif yang telah dikongsikan adalah antaranya:
a. Pengurusan tahap stok simpanan strategik negara bagi makanan, bahan api, ubat-ubatan;
b. Kepelbagaian sumber dan rantaian bekalan, pengurusan permintaan dan pelan kontigensi; dan
c. Kerjasama serantau dan antarabangsa untuk mengurangkan kos import dan risiko gangguan bekalan.
Pendekatan ini membolehkan kerajaan melindungi golongan rakyat yang mudah terjejas tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara. Komiti ini juga menyediakan National Risk Monitoring Dashboard bagi memantau harga minyak, tahap stok dan status rantaian bekalan, serta mengeluarkan siaran akhbar dan melaksanakan penerangan awam bagi memastikan rakyat sentiasa peka tentang langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan.
Usaha-usaha dimantapkan lagi dengan perancangan senario; penilaian risiko secara berkala; pemantauan petunjuk amaran awal serta penambahbaikan dasar berdasarkan data; dan prestasi. Ini adalah penting dalam menetapkan petunjuk pencetus atau trigger points dan membolehkan Kerajaan bertindak dengan lebih pantas dan tepat sebelum sesuatu gangguan berkembang menjadi krisis yang lebih besar.
Antara risiko yang dikenal pasti adalah dari perspektif keterjaminan dan keselamatan tenaga bagi Negara;
Sektor tenaga menyumbang kepada kos sara hidup rakyat secara langsung melalui harga bahan api dan tarif elektrik, dan secara tidak langsung melalui kos pengangkutan dan pengeluaran. Oleh yang demikian, langkah Kerajaan bagi sektor tenaga bagi memastikan kemampuan milik (affordability) dan kemampanan fiskal ditumpukan kepada tiga teras iaitu:
i. Teras pertama - memastikan harga tenaga domestik kekal stabil dan mampu milik. Kerajaan terus mengekalkan harga domestik bagi bahan api iaitu produk petroleum dan LPG, serta tarif elektrik pada kadar stabil, walaupun harga minyak mentah dan gas asli di pasaran global terus bergolak. Dengan ini, rakyat dan penduduk terus menikmati harga bekalan tenaga yang berpatutan dan terlindung daripada ketidaktentuan harga pasaran minyak dan gas asli.
ii. Teras kedua - memastikan penggunaan tenaga dilaksanakan secara berhemah. Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Ke-80 Baginda agar penggunaan sumber tenaga dilaksanakan secara berhemah oleh semua pihak, Kerajaan akan meneruskan usaha bagi memastikan tenaga digunakan secara lebih bijak dan bertanggungjawab, agar sokongan subsidi terus memberi manfaat sebenar kepada rakyat dan penduduk tanpa mendorong pembaziran.
Seperti yang sudah kongsikan semasa sesi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kedua Puluh Dua Majlis Mesyuarat Negara Tahun 2026 pada awal tahun ini, struktur tarif elektrik negara sedang diperkemas daripada bersifat regresif kepada progresif. Ini bermaksud pengguna terus menikmati kadar berpatutan mengikut corak penggunaan sebenar mereka, sekali gus mendorong penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Pendekatan ini telah dilaksanakan bagi sektor perumahan pada tahun 2012, dan akan diperluas kepada sektor komersial dengan pelaksanaan tarif baharu pada tahun 2028. Usaha ini turut disokong melalui pelbagai inisiatif kecekapan dan penjimatan tenaga (Energy Efficiency and Conservation) bagi rakyat dan industri termasuk program kesedaran, audit tenaga dan pelabelan peralatan cekap tenaga.
iii. Bagi teras ketiga pula, iaitu dalam mengukuhkan kemampanan sistem tenaga dan kewangan negara bagi jangka masa panjang, Kerajaan terus memantau perkembangan harga tenaga global secara berterusan bagi perancangan fiskal yang lebih berhemat, sambil mempelbagaikan sumber tenaga negara termasuk tenaga solar bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil. Langkah ini turut memperkukuh keterjaminan tenaga negara menerusi sistem bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.
In shaa Allah, menerusi pendekatan seimbang antara melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan penggunaan tenaga yang berhemah, serta pengurusan kewangan negara yang berhemat, sektor tenaga Negara akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kestabilan kos sara hidup rakyat, sekali gus menyokong pembangunan Negara Brunei Darussalam yang mampan, berdaya tahan, dan berdaya saing.
Kerajaan menyedari bahawa ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa boleh meningkatkan kos makanan melalui kenaikan harga bahan api, pengangkutan, baja, benih dan makanan ternakan.
Seiring dengan usaha memastikan keselamatan dan keterjaminan tenaga terus terpelihara, pihak Kerajaan turut memberikan perhatian yang sama penting terhadap keterjaminan bekalan makanan sebagai satu lagi tonggak utama kesejahteraan rakyat dan daya tahan negara.
Melalui pendekatan bersepadu secara Whole-of-Government, usaha ini dilaksanakan menerusi pemantauan harga dan bekalan secara berterusan, penyampaian maklumat harga yang telus melalui platform PenggunaBijak, serta pengawalan harga bagi barangan keperluan terpilih. Kerjasama erat antara agensi Kerajaan dan pihak industri turut diperkukuh bagi mengenal pasti tekanan pasaran, merangka intervensi yang bersesuaian serta menggalakkan kepelbagaian sumber import, supaya bekalan barangan keperluan kekal mudah diperoleh pada harga yang stabil dan munasabah, khususnya bagi golongan yang mudah terjejas.
Dalam memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara, usaha Kerajaan meliputi keseluruhan rantaian nilai makanan, daripada penyediaan keperluan pengeluaran dan aktiviti pertanian, perikanan serta penternakan, kepada pemprosesan, pengedaran, pemasaran dan eksport. Ini termasuk pemantauan berkala terhadap:
a. tahap ketersediaan bekalan serta kos pengeluaran;
b. peningkatan kapasiti pengeluaran tempatan;
c. pengekalan stok strategik baja dan makanan ternakan;
d. pengukuhan bekalan benih ikan dan udang; dan
e. penggalakan pengeluaran makanan ikan tempatan bagi mengurangkan pendedahan kepada peningkatan kos import dan logistik.
Pada masa yang sama, pengembangan pasaran eksport terus didokong bagi meningkatkan skala, daya maju dan kemampanan industri, tanpa menjejaskan keutamaan untuk memastikan keperluan makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan terjamin.
InsyaAllah, pihak Kerajaan melalui Komiti Kebangsaan akan terus mengambil pendekatan yang proaktif, bersepadu dan bersasar bagi melindungi kesejahteraan rakyat serta memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu. Segala usaha ini akan terus diperkukuh demi menjamin daya tahan, kestabilan dan keselamatan negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.