Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL308
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHD. SALLEH BIN HAJI OTHMAN meminta MENTERI EKONOMI, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI menyatakan sasaran dan pelan tindakan yang telah ditetapkan untuk meningkatkan penyertaan PMKS tempatan dalam rantaian bekalan syarikat besar dan projek kerajaan, bagi memastikan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan dapat dinikmati oleh rakyat Brunei Darussalam?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri
Bagi menyokong usaha meningkatkan penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dalam rantaian bekalan syarikat-syarikat besar dan projek Kerajaan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh In-Country Value (ICV). Melalui inisiatif-inisiatif ini, BEDB membantu memperluaskan penyertaan perusahaan tempatan dalam peluang perolehan, memperkukuh pembangunan vendor serta memudah cara hubungan perniagaan antara PMKS dengan agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat besar. Usaha ini bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, meningkatkan penyertaan perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan bagi rakyat Brunei Darussalam.
Salah satu inisiatif utama yang menyokong usaha tersebut ialah DARe LINKS, iaitu platform Business-to-Business (B2B) yang menghubungkan PMKS tempatan dengan agensi Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat pelaburan langsung asing (FDI), syarikat multinasional (MNC) dan badan-badan berkanun. Platform ini membuka peluang kepada PMKS tempatan untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan melalui kontrak atau projek yang dikenal pasti dan diperuntukkan khusus (ring-fenced) bagi perusahaan tempatan.
Bagi memperluas penyertaan perusahaan tempatan, BEDB telah mendapatkan sokongan daripada agensi-agensi Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), badan berkanun dan syarikat FDI untuk:
- memberi keutamaan atau mengkhususkan peluang kontrak tertentu yang sesuai dilaksanakan oleh perusahaan tempatan;
- menggunakan platform DARe LINKS bagi mempromosikan peluang perolehan kepada perusahaan tempatan; dan
- mengongsikan maklumat kontrak, termasuk nilai kontrak, bagi membantu pengumpulan dan analisis data, mengenal pasti jurang keupayaan vendor serta menilai keberkesanan program sokongan yang dilaksanakan oleh BEDB.
Melalui inisiatif ini, BEDB telah berjaya memudah cara pelbagai peluang perniagaan melibatkan pembekalan barangan dan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat besar. Sebagai contoh, kerjasama dengan Anson International melalui sesi perkongsian peluang perniagaan (opportunity socialisation) dan taklimat vendor (vendor briefing) telah meningkatkan penyertaan perusahaan tempatan secara ketara dalam peluang-peluang yang ditawarkan.
Pada masa ini, seramai 687 PMKS telah berdaftar di bawah platform DARe LINKS dan aktif menyertai peluang perolehan yang diiklankan oleh 29 syarikat daripada pelbagai sektor. Setakat ini usaha ini telah menghasilkan 174 penganugerahan kontrak kepada perusahaan tempatan dengan jumlah nilai kontrak yang dilaporkan mencecah kira-kira BND5.3 juta.
Di samping itu, BEDB turut melaksanakan program i-Usahawan, iaitu program pembangunan keusahawanan belia yang menyediakan peluang kepada usahawan tempatan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan melalui kontrak-kontrak ring-fenced yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), badan berkanun dan organisasi korporat. Program ini turut menyediakan latihan, bimbingan (mentorship) serta sokongan pembangunan vendor bagi membantu peserta membina keupayaan dan rekod prestasi untuk bersaing mendapatkan peluang perolehan yang lebih besar pada masa hadapan.
Selaras dengan usaha memperkukuh penyertaan perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) dengan kerjasama agensi-agensi yang berkenaan pada masa ini sedang menyediakan cadangan bagi Local Business Development inisiatif bagi sektor bukan minyak dan gas bagi memastikan peluang-peluang perolehan dan perdagangan dapat dinikmati oleh PMKS tempatan.
Usaha ini turut diperkukuh melalui Enterprise Growth Connect (EGC), iaitu salah satu acara tahunan anjuran BEDB yang menyediakan platform Business-to-Business (B2B) bagi mempertemukan PMKS tempatan dengan agensi-agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat besar, termasuk syarikat berkaitan Kerajaan, syarikat FDI, syarikat multinasional (MNC) dan badan berkanun.
Melalui perkongsian maklumat mengenai peluang perolehan dan keperluan industri, sesi khidmat nasihat, pemadanan perniagaan (business matching) serta rangkaian kerjasama, EGC bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan perusahaan tempatan, memperluas penyertaan PMKS tempatan dalam rantaian bekalan domestik serta memperkukuh In-Country Value, merancakkan pertumbuhan sektor swasta dan menyokong usaha kepelbagaian ekonomi negara.
Sebagai contoh, hasil sesi perkongsian peluang perolehan oleh Royal Brunei Airlines (RB) semasa EGC serta susulan fasilitasi dari BEDB, beberapa perusahaan tempatan telah berjaya dipadankan dengan RB bagi memenuhi keperluan pembekalan produk dan penyediaan perkhidmatan. Kejayaan ini menunjukkan keberkesanan EGC sebagai platform yang menghubungkan perusahaan tempatan dengan peluang perniagaan yang nyata serta membantu meningkatkan penyertaan vendor tempatan dalam rantaian bekalan syarikat-syarikat utama.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.