Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL199
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah pendekatan Kementerian dalam menangani isu kesuburan dan kesihatan reproduktif pasangan muda yang semakin mendapat perhatian, termasuk dari segi kesedaran awal, pemeriksaan kesihatan dan akses kepada rawatan yang bersesuaian?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Isu kesuburan dan kadar kelahiran merupakan satu cabaran yang bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan, malah mempunyai implikasi terhadap pembangunan sosial, ekonomi dan demografi negara. Justeru, pendekatan yang diambil memerlukan kerjasama whole-of-government dan whole-of-nation bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong pembentukan keluarga serta kesejahteraan masyarakat.
Dalam konteks ini, Kementerian Kesihatan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kesedaran awal, pemeriksaan dan penilaian kesihatan reproduktif, serta akses kepada perkhidmatan kesuburan dan penjagaan pra-kehamilan.
Kesihatan Reproduktif dan Perkhidmatan Kesuburan Kesedaran Awal
Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama, melaksanakan pendidikan kesihatan reproduktif melalui Kursus Pra-Nikah. Program ini memberi penekanan kepada kesihatan reproduktif, persediaan kehamilan yang sihat, pengambilan asid folik dan amalan gaya hidup sihat. Program ini menjangkau kira-kira 3,600 peserta setiap tahun.
Pemeriksaan dan penilaian kesihatan
Bakal pasangan digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan nasihat pra-kehamilan sebelum memulakan alam berkeluarga. Pasangan yang menghadapi kesukaran mendapatkan zuriat, sekurang-kurangnya setelah dua tahun berkahwin, akan dirujuk kepada Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) untuk penilaian dan pengurusan lanjut.
Perkhidmatan kesuburan
Kementerian Kesihatan menyediakan pelbagai perkhidmatan siasatan kesuburan dalam sistem kesihatan awam, antaranya ujian hormon melalui ujian darah, analisis semen, Hysterosalpingography (HSG) dan laparoskopi serta dye test apabila diperlukan.
Dari segi rawatan, Kementerian menyediakan penilaian, siasatan dan pengurusan klinikal yang bersesuaian, manakala kes yang memerlukan rawatan khusus akan diberikan nasihat serta rujukan lanjut.
Permintaan terhadap perkhidmatan kesuburan semakin meningkat
Peningkatan penggunaan perkhidmatan menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan reproduktif semakin bertambah. Bilangan prosedur Hysterosalpingography (HSG) meningkat daripada 47 kes pada tahun 2022 kepada 226 kes pada tahun 2024. Bilangan analisis semen turut meningkat daripada 218 kes pada tahun 2022 kepada 421 kes pada tahun 2024. Akses kepada perkhidmatan In Vitro Fertilisation (IVF) terus diperkukuh bagi memastikan pasangan yang menghadapi masalah kesuburan berpeluang mendapatkan rawatan yang berkualiti, selaras dengan usaha mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan reproduktif negara.
Trend kadar kesuburan negara
Penurunan kadar kesuburan dan kelahiran merupakan trend yang sedang diberi perhatian. Total Fertility Rate (TFR) menurun daripada 1.9 pada tahun 2021 kepada 1.5 pada tahun 2024 dan 2025. Crude Birth Rate (CBR) turut menurun daripada 15.3 pada tahun 2021 kepada 11.8 pada tahun 2024 dan 2025. Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa tiada satu langkah tunggal yang dapat menangani isu ini, sebaliknya memerlukan pendekatan yang menyeluruh serta sokongan berterusan kepada institusi keluarga. Kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif menyokong keluarga, termasuk penyediaan akaun deposit bagi anak damit yang baru lahir.
Ke hadapan
Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif, pemeriksaan dan penilaian kesuburan, penjagaan pra-kehamilan dan kesihatan ibu dan anak.
Matlamat Kementerian bukan sahaja membantu pasangan mendapatkan zuriat, malah memastikan setiap pasangan mempunyai akses kepada maklumat, penilaian dan rawatan yang bersesuaian bagi meningkatkan peluang kehamilan yang sihat serta kesejahteraan ibu, anak dan keluarga.
Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik bagi memperkukuhkan kesihatan reproduktif serta menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan keluarga di Negara Brunei Darussalam.
Melalui pendekatan yang menyeluruh, berasaskan bukti dan berfokus kepada rakyat, kita berharap dapat mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pembentukan keluarga yang sihat, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan dan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.