Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL238
SOALAN
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN meminta MENTERI KEWANGAN II menyatakan tindakan dan strategi Kementerian Kewangan dalam menyelaras semua hasil kutipan negara yang memerlukan perhatian serius terutamanya isu ketirisan dan tunggakan hasil dari kementerian-kementerian yang berkaitan bagi memastikan kutipan hasil dapat diselesaikan dengan teratur dan terarah?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kewangan II
Tunggakan hasil Kerajaan merupakan satu perkara yang diberikan perhatian serius oleh Kementerian Kewangan kerana ia memberi kesan kepada aliran tunai Kerajaan serta mengurangkan jumlah hasil sebenar yang dapat digunakan untuk membiayai perbelanjaan dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat dan penduduk.
Bagi menangani isu ini, Kementerian Kewangan melalui Jabatan Perbendaharaan telah melaksanakan beberapa langkah secara berterusan untuk memperkukuhkan pengurusan kutipan hasil Kerajaan. Antaranya ialah memantau prestasi kutipan tunggakan hasil secara berkala dengan mendapatkan laporan status daripada Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan yang berkenaan setiap tiga (3) bulan.
Maklumat ini seterusnya digunakan untuk mengenal pasti tunggakan yang memerlukan tindakan segera serta menilai keberkesanan langkah-langkah kutipan yang telah dilaksanakan.
Di samping itu, Jabatan Perbendaharaan turut mengadakan sesi perbincangan berkala bersama Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan yang berkenaan bagi mengenal pasti punca tunggakan, cabaran yang dihadapi dalam proses kutipan, serta merangka tindakan susulan yang lebih berkesan bagi mempercepatkan kutipan hasil yang masih tertunggak.
Bagi kes-kes yang tidak dapat diselesaikan melalui tindakan pentadbiran, Kementerian Kewangan juga telah merujuk beberapa kes kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan perundangan yang bersesuaian.
Sebagai langkah bagi mengelakkan terjadinya tunggakan kepada Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan telah berusaha untuk menyediakan fasiliti-fasiliti dan kemudahan bagi orang ramai untuk membuat pembayaran.
Antaranya adalah dengan penyediaan One Common Billing System (OCBS) yang membolehkan orang ramai untuk membuat pembayaran melalui beberapa saluran seperti kad, secara atas talian (online), dan seterusnya membolehkan pemantauan dijalankan.
Di samping itu, dalam memperkasakan penggunaan pembayaran digital bagi perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan, Kementerian Kewangan melalui Jabatan Perbendaharaan juga telah mengadakan requirement gathering bersama pihak National Digital Payments Network Sdn Bhd (NDPX) untuk melaksanakan penggunaan TARUS.
Melalui pengintegrasian sistem TARUS dengan sistem Electronic Payment Gateway (EPG) dan OCBS, aplikasi e-wallet seperti TAIB VX, Progresif Ding! dan MyDST Wallet akan menjadi salah satu kaedah pembayaran alternatif bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit.
Kaedah pembayaran yang lebih mudah dan boleh diakses pada bila-bila masa juga dijangka dapat meningkatkan kadar pembayaran tepat pada masanya, sekali gus mengurangkan tunggakan hasil Kerajaan.
Dengan pelaksanaan Utility Smart Metering System (USMS) ianya dapat meningkatkan kecekapan kutipan hasil Kerajaan, khususnya bagi hasil daripada bil air dan elektrik. Melalui penggunaan meter pintar, bacaan penggunaan dapat direkodkan dengan lebih tepat dan secara real time, sekali gus membolehkan bil dikeluarkan dengan lebih cepat dan tepat.
Di samping itu, sistem ini turut membantu mengurangkan tunggakan bil melalui program pengutipan tunggakan bil, pemantauan penggunaan yang lebih berkesan, pengeluaran notis pembayaran secara automatik serta memudahkan pengguna membuat pembayaran melalui saluran digital. Inisiatif ini In Shaa Allah akan dapat mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan kadar kutipan hasil utiliti Kerajaan secara berterusan.
Kementerian Kewangan komited memperkukuhkan kutipan hasil negara melalui transformasi digital, tadbir urus yang mantap dan kerjasama bersepadu bagi meningkatkan kecekapan kutipan, mengurangkan ketirisan serta memastikan kemampanan fiskal negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.