Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL167
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI EKONOMI, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI menyatakan bagaimanakah Kerajaan memastikan keseimbangan antara menggalakkan akses pembiayaan dan mengukuhkan budaya menabung, supaya rakyat dapat meningkatkan daya tahan kewangan tanpa bergantung secara berlebihan kepada hutang?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri
Pihak Kerajaan mengambil pendekatan yang seimbang dengan memastikan rakyat mempunyai akses kepada pembiayaan yang sesuai dan mampu dibayar balik, sambil menggalakkan tabiat menabung dan pengurusan kewangan yang berhemat.
Dari segi akses kepada pembiayaan, pihak Kerajaan, melalui Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), memastikan pasaran pembiayaan kekal kompetitif dan inklusif. Beberapa kawalan kadar pembiayaan telah dilonggarkan bagi membolehkan institusi kewangan menawarkan kadar berdasarkan profil risiko dan kedudukan kredit peminjam. Pada masa yang sama, kadar maksimum masih ditetapkan bagi beberapa produk yang secara lazimnya digunakan oleh orang ramai, seperti kad kredit, pembiayaan peribadi dan pembiayaan kenderaan, bagi melindungi kepentingan pengguna.
Akses kepada pembiayaan tersebut perlu disertai dengan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab. Peraturan Nisbah Khidmat Hutang Keseluruhan atau Total Debt Service Ratio (TDSR) secara amnya mengehadkan jumlah pembayaran balik hutang bulanan kepada 60 peratus daripada pendapatan bersih peminjam. Ini bertujuan untuk memastikan peminjam masih mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan harian, membina simpanan, dan menghadapi perbelanjaan luar jangkaan.
Walau bagaimanapun, peraturan ini turut mengambil kira keperluan dan keadaan peminjam. Antaranya, had TDSR boleh ditingkatkan sehingga 70 peratus bagi pembiayaan pembelian atau pembinaan rumah kediaman. Pendapatan tertentu seperti pencen, pendapatan sewa dan pendapatan daripada perniagaan perseorangan juga boleh dipertimbangkan dalam penilaian kemampuan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Pendekatan ini membantu memastikan pembiayaan kekal inklusif tanpa mengabaikan kemampuan peminjam untuk membuat pembayaran balik.
BDCB juga memerlukan institusi kewangan untuk menilai kemampuan pelanggan secara menyeluruh serta melayan mereka dengan adil dan telus. Penggunaan laporan kredit membantu institusi kewangan membuat penilaian yang lebih objektif berdasarkan komitmen kewangan dan rekod pembayaran seseorang, sekaligus mengurangkan risiko peminjam mengambil hutang melebihi kemampuan.
Mengenai Literasi Kewangan, perkara ini juga pernah dibangkitkan oleh YB Chong Chin Yee pada Musim Permesyuaratan Ke-21, sesi pertama pada Mac 2025 yang lalu. Pada masa yang sama, usaha mengukuhkan budaya menabung terus diberikan perhatian pada semua peringkat manakala pendekatan juga diperkukuhkan di peringkat akar umbi iaitu selaras dengan Matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020/2035 iaitu menjana belia yang berwawasan yang holistik dari semua aspek.
Dalam usaha BDCB untuk menggalakkan budaya menabung, BDCB telah menetapkan kadar pulangan minima bagi akaun simpanan biasa pada kadar tidak kurang daripada 0.15 peratus setahun. Institusi kewangan juga menawarkan pelbagai produk simpanan dan pelaburan yang mempunyai tempoh, pulangan dan tahap risiko yang berbeza. Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk membuat perbandingan dan memilih produk yang bersesuaian dengan matlamat kewangan masing-masing.
Usaha kawal selia ini turut disokong oleh inisiatif berterusan untuk meningkatkan tahap celik kewangan masyarakat. Melalui program pendidikan, kempen kesedaran dan penyediaan pelbagai sumber maklumat, BDCB bersama Majlis Kebangsaan Celik Kewangan membantu orang ramai membina tabiat kewangan yang lebih berhemat, termasuk dalam mengurus hutang, merancang simpanan dan membuat keputusan kewangan yang lebih bermaklumat.
Secara keseluruhannya, matlamat Kerajaan bukan untuk menghadkan akses rakyat kepada pinjaman atau pembiayaan, tetapi untuk memastikan kemudahan tersebut diberikan secara bertanggungjawab, selaras dengan kemampuan peminjam dan digunakan bagi tujuan yang produktif.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.