Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL298
SOALAN
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN meminta MENTERI EKONOMI, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI menyatakan perancangan untuk meneroka sektor lain bagi mempelbagaikan ekonomi negara termasuk mewujudkan perkhidmatan kewangan dan perniagaan berpotensi seperti urusniaga emas, computing dan programming, kewangan Islam serta pusat pengedaran barangan global.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri
Dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara, Kerajaan melalui BEDB bersama agensi-agensi berkaitan akan terus meneroka dan membangunkan sektor-sektor baharu yang berpotensi tinggi berdasarkan kelebihan daya saing negara, perkembangan teknologi serta permintaan pasaran global.
Bagi Sektor Computing Dan Programming, usaha akan dipacu melalui pelaksanaan inisiatif di bawah ICT Masterplan, termasuk pembangunan ekosistem digital yang menyokong pusat data (data centre), kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), pembangunan perisian (software development), cloud computing serta aktiviti digital bernilai tinggi yang mampu menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Bagi sektor kewangan Islam, pembangunan sektor ini akan dipandu melalui Financial Sector Blueprint (FSBP) yang diterajui oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang diterbitkan sejak tahun 2016; ini termasuk pembangunan kewangan Islam. FSBP memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem kewangan Islam serta penerokaan peluang perkhidmatan kewangan baharu yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Pelbagai inisiatif telah dijalankan di bawah kewangan Islam termasuk penyediaan garis panduan Syariah bagi penstrukturan produk kewangan Islam, pembangunan rangka kerja bagi operasi Islamic Windows dan penyediaan White Paper on Islamic Finance Strategies bagi memperkukuh dan memajukan ekosistem kewangan Islam di Brunei Darussalam.
Sebagai kesinambungan bagi FSBP versi pertama, yang telah tamat pada tahun 2025, FSBP versi kedua telahpun digubal yang memberi tumpuan kepada pembentukan sektor kewangan yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kesejahteraan sosial di Negara Brunei Darussalam. Ini termasuk meneroka perkhidmatan kewangan alternatif termasuk pasaran modal terutamanya sukuk.
Manakala bagi pusat pengedaran barangan global, Kerajaan terus memperkukuh kedudukan Brunei Darussalam sebagai hab logistik dan pengangkutan serantau, khususnya dalam konteks BIMP-EAGA, dengan memanfaatkan lokasi strategik negara serta mempertingkatkan kecekapan infrastruktur dan perkhidmatan logistik bagi menyokong aktiviti perdagangan dan pengedaran serantau.
Di samping itu, pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), BEDB serta agensi-agensi berkaitan telah menubuhkan Emerging Industry Development Unit (EIDU) bagi mengenal pasti dan menilai industri-industri baharu yang berpotensi untuk dibangunkan di Negara Brunei Darussalam sebagai sumber pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Unit ini berperanan mengenal pasti, meneroka dan memacu pembangunan industri baharu yang berpotensi tinggi di Negara Brunei Darussalam bagi menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi negara. Dalam melaksanakan peranan tersebut, EIDU akan bekerjasama rapat dengan BEDB, bahagian-bahagian di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta kementerian-kementerian lain dalam kluster ekonomi.
BEDB juga menyediakan sokongan bagi PMKS tempatan yang terlibat dalam pembangunan digital solutions, termasuk bidang programming serta pembangunan perisian dan aplikasi (software development and application), melalui beberapa mekanisme sedia ada:
-
Brunei Innovation Lab (BIL): Projek kerjasama di antara Shell LiveWIRE Brunei (LiveWIRE), Datastream Digital (DST) dan LKEB yang menyediakan platform bagi inovasi dengan menghubungkan syarikat startup tempatan dengan pemain industri (industry players) di pelbagai sektor dan ahli akademik.
-
Startup673: sebuah program hackathon kebangsaan, iaitu pertandingan pembangunan idea perniagaan secara intensif dalam tempoh yang singkat, bagi mengetengahkan idea perniagaan baharu, termasuk penyelesaian berasaskan perisian dan aplikasi, serta membantu peserta membangunkan idea tersebut menjadi perniagaan.
-
iCentre: program inkubasi yang menyediakan ruang kerja serta akses kepada kemudahan co-working. Program berkenaan juga menawarkan akses kepada program pembangunan kapasiti, peluang peningkatan skala perniagaan dan peluang pelaburan dari luar.
-
Tech Enablement Program: memudahcara PMKS tempatan di NBD dalam menerima transformasi digital. Dengan menyediakan akses bersubsidi kepada alat digital yang inovatif, TEP bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan dalam pasaran yang semakin pesat berubah.
-
Antara contoh perusahaan yang telah berkembang melalui ekosistem inovasi dan inkubasi ini ialah Solve dan Upside. Solve ditubuhkan melalui MOH Hackathon pada tahun 2024 dan membangunkan penyelesaian pengurusan inventori serta penyelenggaraan peralatan perubatan, termasuk penggunaan teknologi percetakan 3D bagi menghasilkan komponen gantian terpilih. Syarikat ini kemudiannya memenangi Shell LiveWIRE Business Award, memperoleh kontrak pertamanya dengan Hospital RIPAS dan menerima sokongan inkubasi selama setahun di iCentre.
-
Upside pula ditubuhkan melalui Startup673 National Hackathon dan membangunkan penyelesaian pengurusan inventori serta penjejakan aset menggunakan teknologi RFID. Syarikat ini telah memperoleh penempatan komersial pertamanya melalui Bazinga bagi pasar raya layan diri Peak Club, melaksanakan kontrak pengurusan inventori dengan BEDB serta menjalankan projek rintis penjejakan katil hospital bersama MOH Health Innovation Lab. Pada Julai 2026, Upside turut menerima ruang pejabat di iCentre bagi menyokong perkembangan operasinya.
-
Perkembangan kedua-dua syarikat ini menunjukkan bagaimana idea yang dikenal pasti melalui program inovasi dapat dibangunkan, diuji dan seterusnya dikomersialkan melalui sokongan ekosistem yang berkaitan.
Usaha-usaha ini menyumbang secara langsung kepada pembangunan bakat dan perusahaan dalam bidang Computing dan Programming, selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi negara. BEDB akan terus bekerjasama dengan Unit Pembangunan Industri Baharu (Emerging Industry Development Unit — EIDU) di bawah METI bagi memastikan usaha-usaha tersebut diselaraskan dengan lebih menyeluruh dalam strategi negara untuk membangunkan industri-industri baharu.
Pihak BEDB juga akan memberikan penumpuan kepada lima sektor keutamaan yang dikenal pasti dalam Economic Blueprint, termasuk sektor teknologi maklumat dan komunikasi, potensi pusat pengedaran, logistik dan pengangkutan di bawah sektor perkhidmatan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.