Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL175
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan sejauhmana Kementerian menilai semula perundangan sedia ada termasuk syarat pelesenan, pengoperasian, pemantauan dan penguatkuasaan serta penggunaan berasingan mengikut jantina bagi gimnasium, bagi mengurangkan risiko isu sosial dan menyokong pencapaian Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyambut baik pandangan Yang Berhormat berhubung pengurusan dan penggunaan kemudahan gimnasium, khususnya dalam memastikan aspek keselamatan, kesesuaian dan kesejahteraan pengguna sentiasa diberikan perhatian. Perkara ini juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti fizikal dan sukan yang selamat, sihat dan bersesuaian dengan nilai serta norma masyarakat Negara Brunei Darussalam, di samping mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Menjawab persoalan Yang Berhormat mengenai penilaian semula perundangan sedia ada yang meliputi syarat pelesenan, pengoperasian, pemantauan dan penguatkuasaan gimnasium, ingin dikongsikan bahawa pengoperasian gimnasium di Negara Brunei Darussalam adalah tertakluk kepada Akta Establismen Kecantikan dan Kesihatan (Penggal 241), di mana gimnasium disenaraikan di bawah Jadual 1 Akta tersebut.
Sehubungan dengan itu, pengusaha gimnasium adalah dikehendaki untuk mendapatkan Lesen Establismen Kecantikan dan Kesihatan (EKK) daripada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, iaitu; Jabatan Bandaran atau Jabatan Daerah, mengikut lokasi premis serta memenuhi semua keperluan dan kelulusan yang ditetapkan oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan sebelum sesebuah gimnasium boleh beroperasi secara sah.
Dalam bidang kuasa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pada masa ini, tidak terdapat peruntukan perundangan atau garis panduan khusus di bawah KKBS yang menetapkan penggunaan gimnasium secara berasingan mengikut jantina.
Walau bagaimanapun, sukacita mengongsikan bahawa, terdapat beberapa pengendali-pengendali gimnasium persendirian dan swasta yang menyediakan kemudahan atau pengaturan tertentu secara sukarela bagi memenuhi keperluan dan keselesaan pengguna, termasuk penyediaan ruang atau waktu penggunaan khusus bagi wanita. Pendekatan sedemikian merupakan antara pilihan yang boleh disediakan oleh pengendali berdasarkan kesesuaian operasi dan keperluan pelanggan masing-masing.
Bagi kemudahan dan aktiviti yang berada di bawah kawalan langsung KKBS, beberapa pengaturan bersesuaian telah dilaksanakan mengikut jenis kemudahan, aktiviti dan keperluan pengguna, antaranya:
-
Kolam Renang Anggerek Desa menyediakan hari penggunaan khusus bagi wanita pada setiap hari Selasa.
-
Dalam penganjuran kejohanan dan aktiviti sukan peringkat kebangsaan dan kejohanan terutamanya sukan yang melibatkan contact sports – tiada perlawanan campuran antara lelaki dan wanita; penyertaan sentiasa mengikut kategori jantina yang berasingan.
-
Kemudahan awam lain yang dikendalikan KKBS juga mengutamakan keselamatan dan kesesuaian pengguna mengikut keperluan semasa.
Sehubungan itu, sekiranya terdapat keperluan untuk melihat semula aspek pelesenan, pengoperasian, pemantauan atau penguatkuasaan gimnasium secara lebih menyeluruh, perkara tersebut akan sewajarnya dilihat secara bersepadu mengikut bidang kuasa agensi-agensi pengawal selia yang berkaitan. Pandangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat merupakan input yang baik untuk diteliti dalam melihat aspek pengurusan kemudahan sukan secara lebih menyeluruh.
Pihak KKBS akan terus memberikan perhatian terhadap pengurusan kemudahan dan pelaksanaan aktiviti yang berada di bawah kawalannya supaya mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan, kesesuaian dan kesejahteraan pengguna, serta nilai dan norma masyarakat Negara Brunei Darussalam.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.