Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Pertanyaan-Jawab-Lisan-Secara-Bertulis-100826-Hari-Kelima.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL178

SOALAN

Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam

YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan apakah hala tuju Kementerian untuk memperkukuh perundangan, akauntabiliti dan mekanisme tindakan bagi melindungi pengguna, identiti individu serta hak pemilik karya daripada penyalahgunaan teknologi dan peningkatan penyalahgunaan AI seperti iklan palsu, deepfake, penyamaran identiti serta penggunaan karya tanpa kebenaran? Mengambilkira terdapat Edisi Kedua Guide on AI Governance and Ethics yang mengambil kira risiko AI Generative.

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Sebagai asasnya, perlu kita fahami bahawa AI bukanlah satu teknologi yang terasing, tetapi merupakan sebahagian daripada perkembangan teknologi pengkomputeran dan digital yang mempunyai keupayaan lebih maju untuk memproses, menganalisis dan menghasilkan maklumat.

Oleh itu, pendekatan Kementerian bukanlah semata-mata untuk melihat sama ada sesuatu perbuatan itu menggunakan AI atau tidak. Sebaliknya, kita melihat kepada perbuatan yang dilakukan, risiko yang timbul dan kemudaratan yang dialami oleh orang ramai. Dengan pendekatan ini, banyak bentuk penyalahgunaan AI sebenarnya sudah boleh ditangani melalui undang-undang yang sedia ada, bergantung kepada jenis kesalahan dan bidang kuasa agensi yang berkenaan.

Pertama, dari segi data peribadi dan privasi. Sekiranya AI digunakan untuk mengumpul, menggunakan, mendedahkan atau memproses data peribadi tanpa kebenaran atau secara tidak wajar, perkara tersebut boleh ditangani di bawah Perintah Perlindungan Data Peribadi. Ini termasuk data yang digunakan untuk melatih atau mengendalikan sesuatu sistem AI.

Kedua, dari segi keselamatan siber dan penyalahgunaan komputer. Akta Keselamatan Siber (Penggal 272) menyediakan kerangka bagi mencegah, mengurus dan bertindak balas terhadap ancaman keselamatan siber, khususnya yang melibatkan Infrastruktur Maklumat Kritikal. Manakala Akta Penyalahgunaan Komputer (Penggal 194) menangani kesalahan yang menyasarkan komputer atau menggunakan komputer sebagai alat untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, termasuk penggodaman dan penggunaan perisian hasad.

Ketiga, dari segi penipuan dan penyamaran identiti. Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) mempunyai peruntukan yang relevan bagi kesalahan seperti penipuan dan kecurian identiti. Sekiranya AI digunakan sebagai alat untuk melakukan kesalahan tersebut, tindakan undang-undang masih boleh diambil berdasarkan peruntukan yang berkenaan.

Ini bermakna, contohnya, penggunaan deepfake untuk menyamar sebagai seseorang bagi mendapatkan wang atau memperdayakan orang lain tidak semestinya memerlukan satu kesalahan baharu yang khusus kepada AI. Jika perbuatan tersebut memenuhi unsur kesalahan yang sedia ada, tindakan boleh diambil di bawah undang-undang berkenaan.

Begitu juga dengan iklan palsu. Jika teknologi digunakan untuk menghasilkan kandungan yang bertujuan memperdayakan atau menipu orang ramai, tindakan boleh diambil.

Keempat, dari segi harta intelek. Bagi kesalahan yang melibatkan karya dan harta intelek, BruIPO merupakan agensi peneraju. Undang-undang seperti Perintah Hak Cipta 1999 dan Trade Marks Act (Chapter 98) boleh dipakai apabila karya yang dilindungi digunakan atau diterbitkan semula tanpa kebenaran, atau apabila tanda dagangan disalahgunakan, termasuk melalui penggunaan teknologi AI.

Jadi, penguatkuasaan tidak terletak pada satu agensi sahaja yang akan mengambil tindakan yang bersesuaian. Ia bergantung kepada jenis kesalahan dan agensi yang mempunyai bidang kuasa di bawah undang-undang masing-masing.

Selain daripada tindakan selepas berlakunya kesalahan, Kementerian juga memberi penekanan kepada pencegahan dan tadbir urus AI. Dalam hal ini, AITI bersama Working Group on AI Governance and Ethics telah menerbitkan beberapa panduan berkaitan AI. Antaranya ialah Edisi Kedua Guide on AI Governance and Ethics yang telah diterbitkan pada April 2026.

Edisi kedua ini mengambil kira perkembangan serta risiko yang dibawa oleh Generative AI dan menyediakan panduan kepada organisasi yang membentuk, membangunkan, menggunakan dan memanfaatkan AI supaya teknologi tersebut digunakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Panduan ini penting kerana kita tidak mahu pendekatan kita hanya tertumpu kepada apa yang berlaku selepas seseorang menjadi mangsa. Kita juga mahu memastikan organisasi yang menggunakan AI mempunyai tanggungjawab untuk mengenal pasti risiko, melaksanakan kawalan yang bersesuaian dan melindungi pengguna sejak dari peringkat awal.

Seterusnya dari aspek keselamatan pula, Cyber Security Brunei (CSB) sedang memperkukuh kawalan melalui dua inisiatif utama iaitu:

Pertama, Code of Practice for Critical Information Infrastructure telah dikemaskinikan dengan memasukkan aspek AI Security Policy, bagi menetapkan kawalan keselamatan yang perlu dilaksanakan oleh organisasi yang membangunkan dan menggunakan AI.

Kedua, AI Security Policy Guideline kini dalam proses penerbitan. Panduan ini akan memberikan panduan yang lebih terperinci mengenai kawalan keselamatan bagi teknologi Generative AI, Agentic AI dan Autonomous AI, termasuk penilaian risiko, pengurusan ancaman dan mekanisme tindak balas terhadap insiden.

Ini adalah penting kerana risiko AI bukan sahaja berkaitan dengan kandungan palsu atau penipuan. Ia juga meliputi keselamatan sistem, data, akses kepada sistem dan kemungkinan penyalahgunaan teknologi itu sendiri.

Dari segi hala tuju ke hadapan, Kementerian tidak akan mengambil pendekatan menunggu sehingga berlaku penyalahgunaan baharu sebelum bertindak. Kita akan terus menilai sama ada peruntukan undang-undang sedia ada masih mencukupi untuk menangani bentuk penyalahgunaan teknologi yang semakin kompleks.

Perkara ini juga selaras dengan Digital Brunei 2030 melalui Data and AI Strategy, yang memberi penekanan kepada aspek perundangan dan tadbir urus AI bagi memastikan pembangunan dan penggunaan AI dilaksanakan secara selamat, beretika, bertanggungjawab dan selaras dengan kepentingan negara.

Dalam masa yang sama, Kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkepentingan, termasuk pihak penguatkuasa, pengawalselia sektor dan agensi berkaitan, bagi memastikan terdapat:

  • kejelasan mengenai tanggungjawab pihak yang membangunkan dan menggunakan AI;
  • mekanisme yang berkesan untuk mengesan dan melaporkan penyalahgunaan;
  • tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian apabila berlaku kesalahan; dan
  • perlindungan yang mencukupi kepada orang ramai, khususnya apabila melibatkan data peribadi, identiti, kewangan dan hak harta intelek.

Sekiranya terdapat jurang dalam perundangan sedia ada, Kementerian akan terus membuat penelitian bersama agensi-agensi berkepentingan supaya perundangan dan mekanisme penguatkuasaan dapat diperkukuhkan selaras dengan perkembangan teknologi dan amalan antarabangsa.

Hala tuju Kementerian ialah memastikan bahawa kemajuan AI tidak bergerak lebih pantas daripada perlindungan yang diberikan kepada masyarakat. Kita mahu menggalakkan inovasi dan memanfaatkan AI untuk pembangunan negara. Namun pada masa yang sama, kita mesti memastikan bahawa pengguna tidak terdedah kepada penipuan, identiti individu tidak disalahgunakan, data peribadi dilindungi dan hak pemilik karya dihormati.

Pendekatan kita adalah jelas: AI adalah alat, tetapi tanggungjawab tetap pada manusia dan organisasi yang membangunkan, menyediakan dan menggunakannya.

Oleh itu, Kementerian akan terus memperkukuh tiga perkara secara serentak iaitu perundangan, tadbir urus dan penguatkuasaan supaya teknologi AI dapat berkembang dalam persekitaran yang selamat, bertanggungjawab dan dipercayai, demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.