Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL202
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed meminta Menteri Hal Ehwal Ugama menyatakan apakah pendekatan Kementerian bagi memastikan anak-anak warga Negara Brunei Darussalam yang mengikuti ibu bapa bertugas di luar negara tidak tercicir dalam pendidikan agama? Adakah pernah dipertimbangkan pelaksanaan sistem pembelajaran yang setara dengan persekolahan agama di dalam negara melalui platform digital atau kaedah lain yang membolehkan mereka meneruskan pembelajaran mengikut kurikulum kebangsaan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Keprihatinan Yang Berhormat adalah tepat. Seorang anak yang mengikuti ibu bapanya bertugas di luar negara tidak seharusnya terputus akses kepada pendidikan ugama hanya kerana berada jauh dari tanah air.
Ingin menyatakan prinsip Kementerian dalam perkara ini. Kesetaraan diukur pada piawaian kurikulum dan pentaksiran. Bukan semata-mata pada kaedah penyampaian.
Seseorang anak di luar negara mungkin belajar melalui kaedah dan jadual yang berbeza. Oleh itu, perkara yang boleh disetarakan secara munasabah ialah kurikulum dan standard pentaksiran, manakala kaedah penyampaian dan waktu pembelajaran boleh disesuaikan dengan keadaan setempat.
Berpandukan prinsip ini, anak-anak warganegara di luar negara boleh mengakses kurikulum dan bahan yang selaras serta mengikuti pentaksiran yang diselaraskan, tertakluk kepada aturan pelaksanaan yang ditetapkan.
Hasil pentaksiran dilaporkan menggunakan standard yang sama, termasuk peluang menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi pelajar yang memenuhi syarat. Inilah bentuk kesetaraan yang dihasratkan.
Bagi mencapai kesetaraan tersebut, Kementerian melalui Jabatan Pengajian Islam menyediakan sokongan dalam 3 peringkat, dengan kerjasama Kedutaan Besar dan Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam.
a. Bahan pembelajaran yang setara, termasuk buku teks dan bahan pembelajaran digital yang selaras dengan kurikulum sekolah ugama di Negara Brunei Darussalam.
b. Pentaksiran dan penilaian yang setara, di mana pelajar mengikuti ujian dan peperiksaan yang diselaraskan mengikut standard Jabatan Pengajian Islam. Kertas jawapan diperiksa oleh guru-guru Jabatan Pengajian Islam bagi memastikan keseragaman penilaian dan pencapaian akademik.
c. Peluang menduduki peperiksaan awam ugama, termasuk Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU), sebagaimana yang dilalui oleh pelajar di dalam negara.
Berdasarkan data pelaporan terkini tahun 2026, seramai 30 orang pelajar di sembilan (09) buah negara sedang mengikuti pembelajaran ugama berdasarkan kurikulum yang ditetapkan, bagi memastikan kesinambungan pendidikan ugama mereka terus terpelihara walaupun berada di luar negara.
Pelaksanaan pembelajaran ugama tersebut disesuaikan dengan keadaan, keperluan dan keupayaan di negara masing-masing. Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah dengan mengadakan perundingan antara ibubapa dengan guru yang bersedia memberikan perkhidmatan pembelajaran secara dalam talian. Jadual pembelajaran seterusnya ditetapkan berdasarkan kesesuaian dan persetujuan bersama antara guru, ibubapa dan pelajar dengan memanfaatkan platform digital yang disediakan. Pendekatan ini memberikan fleksibiliti dalam pelaksanaan pembelajaran, khususnya bagi menyesuaikan perbezaan zon waktu serta kedudukan pelajar yang berada di negara-negara yang berlainan.
Dalam masa yang sama, keperluan terhadap perkhidmatan pembelajaran ugama secara dalam talian turut membuka ruang kepada penyedia perkhidmatan pendidikan ugama untuk memperluaskan perkhidmatan melalui platform digital. Perkembangan ini merupakan satu nilai tambah dalam memperluaskan akses kepada pendidikan ugama, khususnya bagi anak-anak Brunei di luar negara, di samping melengkapi usaha Kerajaan dalam memastikan pendidikan ugama dapat terus diikuti tanpa dibatasi oleh faktor lokasi dan jarak.
Yang Berhormat bertanya sama ada pernah dipertimbangkan pelaksanaan sistem pembelajaran yang setara sepenuhnya dengan persekolahan agama di dalam negara, melalui platform digital atau kaedah lain.
Pada masa ini, Kementerian menyediakan kurikulum, bahan dan pentaksiran yang diselaraskan. Dan bukan sebuah sekolah ugama maya yang beroperasi sepenuh masa.
Pendekatan ini mengambil kira bahawa anak-anak berkenaan sudah pun bersekolah sepenuh masa di negara penempatan ibu bapa mereka. Pendidikan ugama merupakan tambahan kepada jadual harian mereka. Oleh itu, beban pembelajaran dan perbezaan zon waktu perlu diurus secara munasabah.
Walau bagaimanapun, Kementerian menerima baik cadangan Yang Berhormat. Perkembangan teknologi hari ini membuka ruang yang lebih luas berbanding beberapa tahun lalu, dan kaedah penyampaian yang lebih interaktif mungkin dapat dipertimbangkan tanpa membebankan pelajar.
Sehubungan itu, Kementerian melalui Jabatan Pengajian Islam akan meneliti keupayaan memperkukuh komponen pengajaran secara dalam talian, khususnya bagi pelajar yang berada di negara yang mempunyai bilangan pelajar Brunei yang terhad, serta tidak mempunyai akses kepada kumpulan pembelajaran ugama atau sokongan pendidikan ugama yang mencukupi.
Kesimpulannya, seorang anak yang berada jauh dari tanah air tetap seorang anak Brunei. Tanggungjawab kita terhadap pendidikan ugamanya tidak berkurangan kerana jarak.
Kementerian juga menghargai komitmen tinggi ibu bapa dan penjaga pelajar yang masih menghasratkan anak-anak mereka untuk mengikuti pembelajaran ugama demi memastikan anak-anak bukan hanya dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran akademik bahkan juga turut dididik dan dilengkapkan dengan ilmu-ilmu ugama agar menjadi insan yang berpengetahuan dan berakhlak mulia.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.