Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Pertanyaan-Jawab-Lisan-Secara-Bertulis-100826-Hari-Kelima.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL263, PL210 & PL262

SOALAN

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan pelaksanaan proses digitalisation perniagaan (seperti yang dilaksanakan oleh MPABD) dan jika terdapat penurunan kos logistik dan peningkatan dari pengendali perkapalan antarabangsa terhadap penggunaan pelabuhan negara sebagai pintu masuk maritim yang moden dan berdaya saing di rantau Borneo ini? Adakah spin-off dari inisiatif ini telah diraih oleh para peniaga tempatan?

Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin

YANG BERHORMAT AWANG HAJI SALLEH BOSTAMAN BIN HAJI ZAINAL ABIDIN meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan bagaimanakah MPABD memastikan integrasi menyeluruh Maritime Single Window dan Port Community System merentas agensi sempadan utama supaya penambahbaikan masa dan kos dagangan dirasai pengguna, dan sejauh manakah national dashboard bagi menilai prestasi rantaian maritim dicadangkan?

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan langkah untuk menangani isu kos perkapalan yang masih tinggi bagi membantu menurunkan kos perniagaan dan barangan import, yang memberi kesan kepada kos sara hidup? Walaupun inisiatif telah dilaksanakan, seperti penubuhan perkhidmatan perkapalan baru dan pengemasan operasi transshipment, namun masih terdapat aduan bahawa kos pengangkutan masih lagi tinggi dan menjejaskan competitiveness.

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Hala tuju Kerajaan adalah jelas iaitu bukan sekadar mahu mendigitalkan proses yang sedia ada, tetapi mahu mengintegrasikannya supaya urusan perdagangan menjadi lebih mudah, pantas dan mempunyai kepastian yang lebih tinggi.

MPABD sedang bergerak ke arah pelaksanaan Port Community System (PCS) secara berperingkat mulai tahun ini. PCS akan menghubungkan pihak-pihak berkepentingan dalam ekosistem pelabuhan, termasuk agensi Kerajaan, pengendali pelabuhan, syarikat perkapalan, ejen perkapalan dan penyedia perkhidmatan logistik, melalui perkongsian maklumat yang lebih bersepadu.

Dalam kerangka ini, Maritime Single Window (MSW) akan berperanan sebagai satu pintu digital bagi urusan kawal selia maritim, manakala PCS menghubungkan maklumat dan proses antara pihak-pihak yang terlibat dalam rantaian logistik.

Pendekatan ini akan membantu mengurangkan pengisian data berulang, proses manual, pertindihan dokumen dan keperluan berurusan dengan pelbagai sistem secara berasingan.

Ukuran kejayaan bukanlah diterjemahkan dengan berapa banyak sistem digital yang diwujudkan, tetapi berapa banyak masa, proses dan kos yang dapat dikurangkan bagi pengguna.

Seiring dengan pembangunan PCS, MPABD juga sedang membangunkan National Maritime Data Hub Dashboard. Dashboard ini akan membolehkan prestasi ekosistem maritim dipantau secara lebih menyeluruh dan berasaskan data, termasuk masa pelepasan kapal, masa pemprosesan kargo, pergerakan dan jumlah kargo serta prestasi operasi pelabuhan dan rantaian logistik.

Yang lebih penting, data tersebut akan membantu Kerajaan mengenal pasti di mana berlaku kelewatan, kesesakan atau ketidakcekapan, dan seterusnya menentukan intervensi yang bersesuaian. Dengan itu, kita bukan sahaja akan melihat berapa banyak kapal yang masuk, tetapi juga berapa cepat, berapa kos dan berapa cekap barangan dapat dipindahkan melalui Negara Brunei Darussalam.

Pendigitalan tidak bermakna nanti kadar tambang perkapalan akan turun secara automatik. Namun, ia berupaya untuk mengurangkan kos dan masa yang berpunca daripada ketidakcekapan proses, termasuk masa menunggu, pertindihan dokumen, proses manual dan kelewatan pertukaran maklumat.

Dalam perdagangan antarabangsa, masa juga merupakan kos. Lebih pantas sesuatu kargo diproses dan dikeluarkan, lebih rendah kos berkaitan penyimpanan, kelewatan dan pengendalian.

Pada masa yang sama, pendigitalan meningkatkan predictability, iaitu memberikan lebih kepastian kepada pengimport, pengeksport, syarikat perkapalan dan penyedia logistik mengenai proses dan tempoh yang diperlukan.

Pendekatan ini juga selaras dengan keperluan International Maritime Organization (IMO) Facilitation Convention yang menggalakkan penggunaan sistem elektronik bagi pertukaran maklumat kapal, kargo dan penumpang.

Mengenai isu kos perkapalan, perlu difahami bahawa kos yang ditanggung oleh pengimport dan peniaga bukan datang daripada satu sumber sahaja. Ia melibatkan pelbagai komponen seperti caj pihak berkuasa, perkhidmatan marin dan pelabuhan, pengendalian terminal, penyimpanan, ejen perkapalan serta tambang laut.

Sebahagian kos ini berada di bawah pihak yang berbeza, manakala sebahagian yang lain dipengaruhi oleh faktor pasaran dan keputusan komersial syarikat perkapalan. Oleh itu, penyelesaiannya juga tidak boleh bergantung kepada satu langkah sahaja. Dasar Kementerian dalam menangani perkara ini melalui tiga pendekatan yang saling melengkapi iaitu:

  1. Meningkatkan kecekapan pelabuhan;
  2. Meningkatkan pilihan dan daya saing perkhidmatan perkapalan; dan
  3. Meningkatkan jumlah serta nilai aktiviti maritim yang dijalankan di Negara Brunei Darussalam.

Dari segi kecekapan, pelaksanaan MSW dan PCS merupakan antara langkah utama untuk mengurangkan friction dalam rantaian logistik.

Dari segi kesalinghubungan, kemasukan perkhidmatan perkapalan baharu seperti Shandong International Transportation Corporation (SITC) dan Warisan Shipping Line (WSL) telah memperluaskan pilihan laluan dari Pelabuhan Muara ke beberapa pasaran serantau, termasuk China, Vietnam, Malaysia, Thailand dan Singapura. Lebih banyak pilihan dan jumlah kargo adalah penting untuk meningkatkan skala ekonomi dan daya saing pelabuhan.

Dalam membina ekosistem maritim dan spin-off tempatan, Kementerian juga melihat perkara ini dari perspektif yang lebih luas. Kita tidak mahu Pelabuhan Muara hanya menjadi tempat kapal datang dan pergi. Kita mahu lebih banyak aktiviti ekonomi maritim berlaku di Negara Brunei Darussalam.

Antara perkara yang sedang diteliti termasuk mekanisme insentif, stesen kontena kosong, aktiviti pembuatan, penyelenggaraan dan pembaikan kontena serta peluang kerjasama strategik untuk menarik dan mengekalkan pengendali perkapalan.

Cadangan pembangunan Free Trade Zone dan Port Trade Zone melalui pendekatan Port–Industry–Park juga akan menyokong aktiviti penyatuan kargo, penyimpanan, pembungkusan semula dan eksport semula.

Di samping itu, pembangunan kawasan Ship-to-Ship and Lay-Up Designated Area serta projek Marine Maintenance Yard dan Decommissioning Yard di Pulau Muara Besar mempunyai potensi mewujudkan aktiviti hiliran dan peluang ekonomi kepada PMKS tempatan.

Kementerian ini melihat matlamat bukan hanya untuk meningkatkan jumlah kapal atau kargo, tetapi berapa banyak nilai ekonomi yang dapat dikekalkan di dalam Negara.

Apabila aktiviti maritim meningkat, peluang juga perlu dibuka kepada syarikat dan PMKS tempatan dalam bidang bekalan kapal, logistik, pengangkutan darat, fabrikasi, penyelenggaraan, pengurusan sisa dan perkhidmatan sokongan lain.

Dalam hal ini, MPABD akan terus berperanan sebagai pemudah cara, manakala penyertaan sektor swasta dan keupayaan syarikat tempatan penting untuk merealisasikan peluang tersebut.

Dapat dirumuskan bahawa daya saing maritim tidak boleh dibina melalui pengurangan satu caj atau pembangunan satu sistem semata-mata. Ia memerlukan ekosistem yang lebih cekap, berhubung, telus dan berdaya saing, daripada proses kawal selia, pengurusan pelabuhan dan perkhidmatan perkapalan, hinggalah kepada logistik dan aktiviti hiliran. Justeru, MSW, PCS dan National Maritime Data Hub Dashboard merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk membina ekosistem tersebut.

Kementerian memahami bahawa kos logistik akhirnya memberi kesan kepada kos perniagaan dan harga barangan kepada pengguna. Oleh itu, isu ini akan terus diberikan perhatian dan ditangani secara rentas agensi bersama pihak-pihak berkepentingan dalam industri.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.