Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL243
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHAMAD DANIAL @ TEKPIN BIN YA'AKUB meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan data kadar pengulangan jenayah (recidivism) bagi individu yang menjalani Perintah Probesyen berbanding mereka yang dipenjarakan? Adakah kementerian bercadang mewujudkan sistem penilaian impak tersebut, mewujudkan pangkalan data nasional bagi mengukur keberkesanan program berdasarkan kadar pengulangan jenayah, peluang pekerjaan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Perkara yang dibangkitkan merupakan satu pemerhatian yang baik. Walau bagaimanapun, penilaian kadar pengulangan jenayah perlu dilihat secara menyeluruh melalui pendekatan Whole-of-Government, sama ada melibatkan individu yang dikenakan Perintah Probesyen atau mereka yang dijatuhi hukuman pemenjaraan.
Kedua-dua mekanisme tersebut adalah berbeza dari segi bidang kuasa, bentuk hukuman dan pengendalian pentadbirannya. Perintah Probesyen bukanlah satu hukuman pemenjaraan, tetapi suatu perintah mahkamah yang dibuat di bawah peruntukan undang-undang Offenders (Probation and Community Service) Act, Chapter 220 yang di bawah bidang kuasa Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, berbeza daripada undang-undang yang mengawal hukuman penjara.
Pelaksanaan Perintah Probesyen dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan seperti program khidmat masyarakat. Manakala individu yang dijatuhi hukuman penjara, rekod kemasukan dan pembebasan serta kemasukan semula adalah di bawah kendalian Jabatan Penjara.
Berhubung pengulangan jenayah atau recidivism, Jabatan Penjara mempunyai data berkaitan bekas penghuni yang kembali menjalani hukuman pemenjaraan. Berdasarkan pemerhatian rekod Jabatan, antara kesalahan yang sering dikaitkan dengan kemasukan semula ialah kesalahan berkaitan curi dan dadah. Walau bagaimanapun, perbandingan secara langsung dengan individu di bawah Perintah Probesyen memerlukan penyelarasan data, definisi dan kaedah pengukuran yang seragam antara agensi-agensi berkaitan.
Dalam usaha mengurangkan risiko pengulangan jenayah, Jabatan Penjara turut melaksanakan program pemulihan semasa dalam pemenjaraan (Incare) serta program lanjutan selepas pembebasan (Aftercare). Program ini merangkumi pembangunan sahsiah, bimbingan keagamaan, kaunseling, latihan kemahiran, sokongan keluarga, peluang pekerjaan dan bantuan integrasi semula ke dalam masyarakat. Pendekatan tersebut penting kerana keberkesanan pemulihan bukan sahaja diukur melalui ketiadaan pengulangan jenayah, tetapi juga melalui kestabilan pekerjaan, penerimaan keluarga dan masyarakat serta keupayaan bekas penghuni menjalani kehidupan secara produktif.
Berhubung cadangan mewujudkan sistem penilaian impak dan pangkalan data nasional, perkara ini merupakan satu cadangan yang baik dan boleh diteliti melalui penyelarasan antara Jabatan Penjara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pihak Kehakiman serta agensi-agensi berkaitan. Sukacita dikongsikan bahawa Jabatan Penjara dan Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam telah mengadakan perbincangan bagi menyokong kajian kriminologi dan kepenjaraan serta pembangunan pangkalan data yang lebih komprehensif. Usaha ini dihasratkan untuk memperkukuh penilaian keberkesanan program berdasarkan kadar pengulangan jenayah, peluang pekerjaan dan tahap integrasi semula ke dalam masyarakat.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.