Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL183 & PL271
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD SALAM meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan sejauh manakah Kementerian melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan dan impak Pusat Pekerjaan Brunei sebagai mekanisme pemadanan tenaga kerja, termasuk data kadar penempatan, pengekalan pekerja tempatan dan jurang kemahiran, bagi memperkukuh guna tenaga tempatan secara mampan?
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan usaha dan perancangan MPEC dalam menyalurkan anggaran kira-kira 3.5 - 4.5 ribu graduan yang masih berstatus pencari kerja ke bidang-bidang kerja sementara dalam bidang yang mereka pelajari, seperti dalam IT, digital literacy, AI, pendidikan awal kanak-kanak, pertanian sebagai pembantu, mentors dan trainers. Ini selain daripada memberi kerja sementara, ia dapat juga menyumbang kepada perlaksanaan beberapa rancangan Wawasan 2035.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Sukacita dikongsikan bahawa Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) telah ditubuhkan sejak tahun 2017, yang mana peranan PPB merangkumi bukan sahaja untuk memadankan pencari kerja tempatan dengan peluang pekerjaan, namun juga peranannya kini telah diperluas kepada perkhidmatan pembangunan modal insan yang lebih menyeluruh ke arah meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan pencari kerja tempatan. Perkhidmatan ini merangkumi pemadanan pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya, program perantisan, peningkatan dan pembaharuan kemahiran (upskilling and reskilling) serta penilaian usaha penyetempatan melalui proses Foreign Worker Clearance Letter (FWCL). Sehubungan itu, keberkesanan PPB dinilai melalui tiga petunjuk utama (KPI), iaitu:
i. jumlah pengambilan pekerja tempatan di sektor swasta;
ii. jumlah penyertaan program perantisan; dan
iii. penyertaan dan kadar tamat kursus jangka pendek.
Pada lazimnya, sasaran pengambilan anak tempatan di peringkat kebangsaan adalah ditetapkan setiap tahun dan dipantau oleh Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC). Sasaran berkenaan secara purata adalah seramai 13,035 orang setiap tahun dengan jumlah purata pencapaian seramai 11,914 orang setiap tahun (atau 91 peratus).
Daripada jumlah tersebut, Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) turut menyumbang melalui pengambilan anak tempatan dalam sektor swasta, dengan mencapai sasaran sebanyak 3,000 pengisian jawatan secara keseluruhan setiap tahun bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025 iaitu:
- 3,311 (111%) orang pada tahun 2023,
- 3,056 (102%) orang pada tahun 2024, dan
- 3,102 (103%) orang pada tahun 2025.
Berdasarkan rekod Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) bagi tempoh berkenaan, sebahagian besar jawatan kosong yang berjaya diisikan adalah dalam sektor penginapan dan perkhidmatan makanan (seperti Pelayan), sektor perdagangan borong dan runcit termasuk pembaikan kenderaan bermotor (seperti Juruwang dan Jurujual), sektor perkhidmatan pentadbiran dan sokongan (seperti Pengawal Keselamatan dan Kerani), serta sektor perlombongan dan pengkuarian (seperti Riggers). Sektor-sektor ini secara konsisten mencatatkan permintaan yang tinggi terhadap tenaga kerja dan terus menjadi antara penyumbang utama kepada peluang pekerjaan di sektor swasta.
Berdasarkan tren pencapaian berkenaan, sasaran pengambilan bagi tahun 2026 telah dinaikkan kepada 3,500 pengisian jawatan secara keseluruhan dan setakat 30 Jun 2026, seramai 1,501 orang telah memperoleh pekerjaan melalui inisiatif-inisiatif Pusat Pekerjaan Brunei.
Walau bagaimanapun, penilaian keberkesanan tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah penempatan. Perkara yang turut diberikan perhatian ialah kesesuaian pemadanan, pengekalan pekerja tempatan, perkembangan kerjaya, produktiviti serta jurang kemahiran. Maklum balas majikan dan dapatan Employer Based Survey 2024-2025 dan kajian bersama Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) pada tahun 2025 menunjukkan antara cabaran utama yang dihadapi adalah disebabkan calon tidak memenuhi syarat pengalaman atau kemahiran, ketidakpadanan jangkaan gaji dan jenis pekerjaan, serta calon menarik diri daripada proses pengambilan.
Setakat 30 Jun 2026, seramai 14,976 pencari kerja aktif direkodkan di Pusat Pekerjaan Brunei dengan pecahan seperti berikut:
- 4,740 orang (31.7%) mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas;
- 1,944 orang (13%) mempunyai kelayakan HND dan sebanding;
- 3,217 orang (21.5%) mempunyai kelayakan TVET;
- 503 orang (3.4%) mempunyai kelayakan tahap A Level dan sebanding; serta
- 4,572 orang (30.5%) mempunyai kelayakan di peringkat Menengah dan bawah.
Daripada jumlah pencari kerja aktif tersebut, seramai 2,114 orang (14 peratus) mempunyai kelulusan dalam bidang teknologi maklumat, literasi digital, kecerdasan buatan, pendidikan awal kanak-kanak dan pertanian. Pada masa yang sama, sebanyak 147 kekosongan jawatan dalam bidang-bidang berkenaan telah diiklankan melalui portal Pusat Pekerjaan Brunei setakat 30 Jun 2026 dan setakat 31 Julai 2026, tiga (3) jawatan telah diisikan dan selebihnya masih aktif. Data ini menunjukkan bahawa terdapat bekalan bakat tempatan yang berpotensi digerakkan untuk memperoleh pengalaman kerja yang relevan sambil menyumbang kepada pelaksanaan program pembangunan negara.
Dari itu, usaha pemadanan pekerjaan akan terus diberikan keutamaan kepada anak tempatan.
Berhubung cadangan menyalurkan graduan kepada pekerjaan sementara, Kerajaan melalui Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) bersama agensi Kerajaan dan sektor swasta telah menyediakan beberapa mekanisme bagi menyalurkan anak tempatan kepada pekerjaan yang bersesuaian, sama ada pekerjaan tetap mahupun pekerjaan sementara, antaranya melalui Program Perantisan i-Ready, Clinical Supervisory Programme, dan TechXplore. Setakat 30 Jun 2026, sebanyak 177 jawatan sambilan telah diiklankan melalui portal Pusat Pekerjaan Brunei. Program-program sedemikian memberi peluang kepada graduan memperoleh pengalaman kerja sebenar, meningkatkan kebolehpasaran dan membina rekod pengalaman sebelum dipertimbangkan untuk pekerjaan tetap. (Bagi tahun 2026 setakat 30 Jun 2026, daripada jumlah 417 orang yang telah menyertai Program Perantisan i-Ready, seramai 57 orang adalah daripada bidang teknologi maklumat, literasi digital, kecerdasan buatan, pendidikan awal kanak-kanak dan pertanian.)
Ke hadapan, penilaian impak Pusat Pekerjaan Brunei akan terus diperkukuh melalui penambahbaikan kualiti dan perkongsian data, penjejakan selepas penempatan, maklum balas majikan serta analisis jurang kemahiran. Kejayaan usaha ini bukan sahaja akan diukur berdasarkan bilangan anak tempatan yang mendapat pekerjaan, tetapi juga sejauh mana mereka dapat mengekalkan pekerjaan, kualiti pemadanan, meningkatkan kemahiran, perkembangan kerjaya dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara. Kejayaan usaha ini tidak lagi dinilai berdasarkan pencapaian sesuatu organisasi secara berasingan, tetapi melalui keupayaan semua pihak untuk berganding bahu menghasilkan impak yang nyata kepada rakyat.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.