Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/08/Jawapan-Pertanyaan-Jawab-Lisan-Secara-Bertulis-060826-Hari-Ketiga.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL276

SOALAN

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman

YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI EKONOMI, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI menyatakan maklumat berkenaan penstrukturan baharu di bawah tanggungjawab Menteri Penyelaras dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta apakah pendekatan awal yang diambil untuk menyatukan dan memastikan ekonomi, perdagangan dan industri bergerak serentak dan sehala, dan bagi sektor sumber-sumber utama dan pelancongan, yang sebelum ini dikenal pasti sebagai sektor penting dalam menuju Wawasan 2035, masih mendapat penekanan yang sewajarnya.

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri

Sepertimana yang dititahkan oleh KDYMM semasa titah perutusan sempena rombakan dan pelantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu 2026, penyusunan semula portfolio Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan diubah namanya menjadi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Penyusunan semula ini adalah untuk mempercepatkan pembangunan sektor keutamaan dan juga untuk memperkukuh usaha kepelbagaian, demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pencapaian peluang pekerjaan yang bermakna.

Penubuhan Kementerian ini adalah bertujuan untuk memperkukuh penyelarasan dasar ekonomi dengan pelaksanaan di peringkat perdagangan, perindustrian dan pembangunan sektor-sektor produktif. Melalui susunan baharu ini, fungsi berkaitan dasar dan perancangan ekonomi, perdagangan, pembangunan industri dan ekosistem perniagaan, serta sektor sumber-sumber utama dan pelancongan ditempatkan dalam satu kerangka kementerian yang lebih bersepadu.

Di peringkat kepimpinan, portfolio utama disusun mengikut tiga bidang yang saling melengkapi, iaitu:

  1. Dasar-Dasar Ekonomi - iaitu menyelaras usaha kepelbagaian ekonomi bersama kementerian-kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui sektor-sektor keutamaan.

  2. Ekonomi dan Perdagangan - iaitu merangka strategi ekonomi negara, memantau prestasi ekonomi, serta memperluas perdagangan antarabangsa dan akses pasaran bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan; dan

  3. Industri – iaitu:

    • Mempercepatkan pembangunan sektor keutamaan, serta meningkatkan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan dan juga memperkukuhkan usaha kepelbagaian, demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pencapaian peluang pekerjaan yang bermakna;
    • Mengembangkan industri-industri yang ada dan menerokai industri-industri baharu, termasuk industri makanan bagi menjamin Sekuriti Makanan serta industri pelancongan, melalui: i. Penglibatan pelaburan dari dalam dan luar negara (FDI); dan ii. Penekanan kepada perkembangan dan sumbangan Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (MSMEs).

Susunan ini tidak bermakna setiap fungsi akan bergerak secara berasingan. Sebaliknya, keseluruhan portfolio berkenaan akan dipandu oleh keutamaan ekonomi yang sama, termasuk pertumbuhan yang mampan, peningkatan produktiviti, pengukuhan perusahaan tempatan, penarikan pelaburan berkualiti, peningkatan eksport serta penciptaan pekerjaan yang bernilai tinggi.

Dalam masa yang sama, peranan Menteri Penyelaras adalah untuk memperkukuh keselarasan dasar ekonomi yang bersifat rentas kementerian. Ini penting kerana isu seperti tenaga kerja, tanah, infrastruktur, pembiayaan, peraturan, pelaburan dan kemudahan menjalankan perniagaan tidak terletak di bawah bidang kuasa satu kementerian sahaja. Oleh itu, peranan penyelarasan tersebut bukan untuk mengambil alih tanggungjawab agensi lain, tetapi untuk memastikan dasar dan tindakan kerajaan bergerak ke arah matlamat ekonomi negara yang sama.

Sepertimana jua titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah berfungsi sebagai peneraju utama dalam menyelesaikan isu-isu merentas kementerian atau cross cutting issues yang melibatkan sektor-sektor di bawah bidang kuasa masing-masing. Mereka bertanggungjawab memastikan agar jurang pelaksanaan antara kementerian tidak dibiarkan melebar.

Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia tersebut, satu platform penyelarasan di bidang dasar-dasar ekonomi diwujudkan di peringkat Menteri bagi melancarkan lagi usaha memantau dasar & tindakan kerajaan bergerak dengan lebih cekap dan efisien.

Berhubung sektor sumber-sumber utama dan pelancongan, saya ingin menegaskan bahawa sektor-sektor tersebut akan terus diberikan penekanan yang sewajarnya. Pertanian dan agrimakanan, perikanan, perhutanan serta pelancongan kekal penting dalam usaha mempelbagaikan ekonomi, memperkukuh sekuriti makanan, mengembangkan perusahaan tempatan, meningkatkan eksport dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Dengan penubuhan Kementerian ini, sektor-sektor ini akan diposisikan dengan lebih rapat kepada keseluruhan ekosistem ekonomi, perdagangan dan industri. Sebagai contoh, pembangunan sektor pertanian tidak hanya dilihat dari sudut peningkatan pengeluaran, tetapi juga dari aspek pelaburan, penggunaan teknologi, pemprosesan hiliran, akses pasaran dan eksport. Begitu juga, pembangunan pelancongan akan terus dikaitkan dengan konektiviti, promosi pasaran, pembangunan produk, pelaburan serta penyertaan perusahaan tempatan.

Roadmap dan program yang telah dikenal pasti bagi sektor-sektor berkenaan akan terus dilaksanakan dan diselaraskan semula mengikut keutamaan Kementerian. Penekanan akan diberikan kepada sasaran yang membawa hasil ekonomi yang nyata, termasuk peningkatan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar, produktiviti, eksport, peluang pekerjaan dan penyertaan perusahaan tempatan.

Kesimpulannya, penstrukturan ini bukan sekadar perubahan pada carta organisasi. Matlamat utamanya ialah membentuk satu rantaian dasar dan pelaksanaan yang lebih jelas, iaitu daripada perancangan ekonomi kepada pelaburan, pengeluaran, perdagangan dan eksport, sambil memastikan sektor sumber-sumber utama dan pelancongan terus berkembang sebagai pemacu penting ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.