Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL189
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH ROSMAWATTY BINTI HAJI ABDUL MUMIN meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan sejauh manakah kementerian mempunyai keupayaan pengumpulan dan analisis data, pemantauan berasaskan risiko, perkongsian data digital, sistem amaran awal serta kerjasama dengan penyedia platform digital bagi menangani ancaman digital yang semakin meluas agar membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih proaktif sebelum menjejaskan keselamatan sosial negara?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Secara keseluruhannya, pendekatan Kementerian adalah melalui empat pendekatan utama:
Pertama, dari segi pengesanan dan pemantauan ancaman, Cyber Security Brunei (CSB) dan Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) mempunyai keupayaan komprehensif melalui Cyber Watch Centre (CWC), iaitu perkhidmatan teras CSB yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu dengan menggunakan teknologi advanced security intelligent monitoring.
Keupayaan ini membolehkan pemantauan ancaman dilaksanakan secara berterusan dan berasaskan risiko, bagi mengenal pasti serta menilai potensi ancaman pada peringkat awal sebelum berkembang menjadi insiden yang lebih besar.
Kedua, dari segi perkongsian data digital dan sistem amaran awal, CSB melalui BruCERT berperanan sebagai pusat perkongsian maklumat kebangsaan. BruCERT mengeluarkan advisories yang mengandungi butiran teknikal dan cadangan pembaikan, serta alerts secara real-time supaya pihak berkepentingan dapat mengambil langkah pencegahan dengan segera. BruCERT juga terlibat dalam perkongsian risikan ancaman di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Kita mengetahui bahawa ancaman siber tidak mengenal sempadan dan maklumat yang diperoleh daripada satu insiden boleh membantu negara lain membuat persediaan lebih awal.
Ketiga, dari segi pencegahan dan membina daya tahan masyarakat, inisiatif Secure Verify Connect (SVC) digunakan sebagai platform digital untuk menyebarkan amaran ancaman dan panduan perlindungan, khususnya kepada sekolah, komuniti dan golongan vulnerable, termasuk warga emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU), melalui kerjasama pelbagai sektor.
Bagi menilai keberkesanannya, CSB melaksanakan BruCERT Online Safety Awareness Survey setiap tahun. Hasil kajian 2024 hingga 2025 menunjukkan peningkatan kesedaran dan perubahan tingkah laku positif orang awam, termasuk penggunaan antivirus, Wi-Fi yang lebih selamat, kata laluan yang kukuh serta pengasingan antara peranti kerja dan peribadi. Walau bagaimanapun, ianya diakui bahawa masih terdapat ruang untuk memperkukuh pengukuran hasil perubahan tingkah laku (behavioral outcome).
Dalam masa yang sama juga, AITI telahpun mengendalikan portal Waspada.bn sebagai saluran semakan kesahihan makluman atau fact-checking, selain memberi amaran mengenai taktik penipuan terkini, akaun atau tawaran palsu serta menyediakan saluran untuk melaporkan kandungan yang mencurigakan.
Keempat, dari segi perundangan, kawal selia dan penguatkuasaan, Kementerian melihat aspek ini sebagai pelengkap kepada keupayaan teknikal. Kita semua mengetahui bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa kerangka perundangan yang jelas, kawal selia yang berkesan dan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.
Dalam hal ini, Content Advisory Council (CAC) menyelaras kerjasama antara agensi di peringkat kebangsaan dalam menangani isu kawal selia, penguatkuasaan dan pengurusan kandungan digital, termasuk pemantauan kandungan di internet dan media sosial.
Pada masa yang sama, Kementerian akan terus memastikan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa, dengan mengambil kira perlindungan orang awam, keselamatan dan ketenteraman sosial serta perkembangan ruang digital yang bertanggungjawab.
Dalam memperkukuh mekanisme pelaporan dan tindak balas terhadap penipuan, portal Scamwatch akan dibangunkan sebagai platform pelaporan utama untuk membolehkan maklumat disalurkan dengan lebih cepat kepada pihak-pihak yang berkaitan. Ini seterusnya akan menyokong tindak balas yang lebih pantas bagi menyekat pemindahan dana mangsa dan meningkatkan peluang untuk mendapatkan semula wang yang telah hilang.
Selain itu, dari segi kerjasama dengan penyedia platform digital global, AITI, CSB dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) turut menjalin kerjasama strategik dengan penyedia seperti Meta bagi perkongsian maklumat ancaman, koordinasi respons serta permohonan penurunan kandungan yang melanggar piawaian platform, termasuk berita palsu, penipuan serta kandungan berunsur kebencian, keganasan dan hasutan.
Kerjasama ini penting kerana sebahagian ancaman digital berlaku dalam ekosistem platform global. Dengan adanya saluran kerjasama yang berkesan, maklumat mengenai ancaman dapat disampaikan dengan lebih cepat dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Kesimpulannya, pendekatan Kementerian bukan sekadar bertindak selepas sesuatu ancaman berlaku, tetapi membina satu rangka kerja yang menyeluruh, merangkumi pengesanan awal, perkongsian maklumat, pendidikan dan daya tahan masyarakat, perundangan dan penguatkuasaan serta kerjasama dengan penyedia platform digital.
Kementerian berharap dengan adanya pendekatan bersepadu ini, ancaman digital dapat dikenal pasti lebih awal, tindakan dapat diambil dengan lebih pantas dan, yang paling penting, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat akan terus dilindungi dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.