Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL270 & PL313
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA HAJI AWANG SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan perkhidmatan awam yang mana adalah sangatlah penting bagi menjayakan Wawasan 2035? Apakah pendekatan baru yang sedang atau akan diambil bagi memastikan perkhidmatan awam mampu bertindak sebagai 'enabler' kepada pencapaian Wawasan 2035?
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHD. SALLEH BIN HAJI OTHMAN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan apakah pelan tindakan dan sasaran utama yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam menjadi lebih cekap, responsif, inovatif dan berdaya saing menjelang Wawasan Brunei 2035, serta bagaimanakah kejayaan inisiatif tersebut akan diukur melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Transformasi Perkhidmatan Awam memainkan peranan penting sebagai enabler atau pemudahcara kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035. Justeru itu, usaha pembaharuan dalam Perkhidmatan Awam bukan sahaja tertumpu kepada peningkatan kecekapan organisasi, tetapi juga kepada sejauh mana dasar, proses dan penyampaian perkhidmatan memberi impak kepada orang ramai, masyarakat dan komuniti perniagaan.
Untuk makluman, di bawah setiap matlamat Wawasan Brunei 2035, terdapat beberapa keutamaan yang dikaitkan dengan peranan perkhidmatan awam dalam sama-sama mendokong pencapaian matlamat-matlamat tersebut, khususnya menerusi sasaran-sasaran yang ditetapkan di bawah blueprint masing-masing. Dalam hubungan ini, ingin memberikan penjelasan secara ringkas mengenai keutamaan peranan-peranan tersebut berdasarkan kepada beberapa aspek.
Dari sudut Sosial, khususnya dalam konteks penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, Kerajaan terus memberi penekanan terhadap pendekatan yang lebih responsif dan memfokuskan kepada keperluan orang ramai (people-centred). Ke arah itu, kaedah yang digunapakai termasuklah pemantauan ke atas Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR), yang juga didokong oleh Sistem Pengendalian Aduan Orang Ramai dan PEMEDULIAN. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga terus memperkukuhkan penglibatan dan kerjasama antara orang ramai dan organisasi Kerajaan menerusi kaedah Regular Public Engagement (RPE).
Bagi Tahun Kewangan 2025/2026, tahap kepuasan pelanggan keseluruhan melalui PEMEDULIAN iaitu sebuah sistem atas talian kerajaan mencatatkan pencapaian 84.2%, iaitu melebihi sasaran KPI sebanyak 84.0%.
Dari sudut Ekonomi, Perkhidmatan Awam akan terus berperanan sebagai pemudah cara dengan menyediakan perkhidmatan Kerajaan yang lebih mesra perniagaan (business-friendly). Usaha memperkemaskan proses melalui Transformasi Sistem Kerja (TSK) dan Business Process Improvement (BPI) terus diperkukuhkan bagi mengurangkan proses yang tidak perlu dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan. Penggunaan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), juga akan terus diteroka mengikut kesesuaiannya, bagi meningkatkan kecekapan dan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif.
Dalam perkara berkaitan, penekanan terhadap prestasi dan inovasi dalam perkhidmatan awam juga terus diutamakan. Ke arah ini, Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) terus digunakan bagi menilai prestasi organisasi serta mengenal pasti ruang penambahbaikan. Salah satu KPI MSD ialah sekurang-kurangnya tiga (3) agensi setahun mencapai penarafan tiga bintang dan ke atas, dan bagi Tahun Kewangan 2024/2025, sebanyak empat (4) agensi telah mencapai tahap tersebut. Pembudayaan inovasi turut digalakkan melalui Anugerah Inovasi Perdana (AIP) yang mencatatkan 33 penyertaan kertas projek pada tahun 2026 berbanding 12 pada tahun sebelumnya, iaitu penyertaan tertinggi sejak AIP diperkenalkan.
Demikianlah bahawa, kejayaan transformasi Perkhidmatan Awam itu akan dinilai berdasarkan hasil dan impaknya kepada orang ramai, masyarakat dan ekonomi negara. Kerajaan juga menyedari bahawa usaha ini merupakan satu proses yang berterusan dan masih terdapat banyak ruang yang perlu ditangani ke arah memperkemaskan dan meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian Perkhidmatan Awam dari masa ke semasa.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.