Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL283
SOALAN
Yang Berhormat Awang Lau How Teck
YANG BERHORMAT AWANG LAU HOW TECK meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan sejauh manakah hasil penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan oleh institusi tempatan berjaya diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi, dan apakah cabaran utama yang masih membatasi proses pengkomersialannya?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Secara keseluruhannya, beberapa hasil penyelidikan dan inovasi institusi tempatan telah berjaya diterjemahkan melalui pelesenan teknologi, pembangunan produk, pemindahan teknologi dan aktiviti keusahawanan. Walau bagaimanapun, hasil yang telah terbukti menjana aktiviti ekonomi bernilai tinggi secara berskala besar masih terhad dan perlu terus diperkukuh.
Antara kemajuan yang dicapai ialah UBD telah memfailkan dan memperoleh perlindungan bagi lebih daripada 70 paten di dalam dan luar negara, khususnya dalam bidang biosensor, bahan termaju, tenaga bersih dan penjagaan kesihatan. Salah satu contoh pengkomersialan ialah pelesenan teknologi UBD kepada Smart Coating Technologies (B) Sdn. Bhd. bagi penghasilan, pemasaran dan eksport salutan antibakteria dan antikulat. Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) juga menyokong pembangunan syarikat pemula dan kerjasama penyelidikan dengan industri bagi membuka peluang pengujian serta penerimagunaan teknologi.
Walau bagaimanapun, paten, prototaip dan kerjasama penyelidikan belum dengan sendirinya membuktikan kejayaan komersial. Cabaran utama pengkomersialan yang telah dikenal pasti merangkumi jurang antara prototaip dengan produk sedia pasaran, kekurangan pembiayaan untuk pengujian dan pensijilan, kelewatan penglibatan pihak industri sejak peringkat awal, akses pasaran yang terhad, serta isu tadbir urus harta intelek. Saiz pasaran domestik yang terhad juga memerlukan inovasi tempatan dibangunkan dengan mengambil kira potensi pasaran serantau dan antarabangsa.
Pengkomersialan inovasi memerlukan pendekatan seluruh negara (Whole of Nation Approach) serta kerjasama erat antara IPTA, agensi kerajaan, industri, pelabur dan institusi kewangan. Kementerian Pendidikan dan IPTA akan terus memberi tumpuan kepada penyelidikan yang relevan, pembangunan bakat, perlindungan harta intelek dan peningkatan kesiapan teknologi, manakala kerjasama strategik akan diperkukuh bagi menyokong pembiayaan, pengujian, pensijilan, penskalaan dan akses pasaran.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.