Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL052
SOALAN
Yang Berhormat Awang Lau How Teck
YANG BERHORMAT AWANG LAU HOW TECK meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan tindakan Kementerian dalam memastikan tanah pertanian diperuntukkan yang dimanfaatkan secara produktif dan berterusan, termasuk mekanisme untuk menangani isu tanah yang dibiarkan dan tidak diusahakan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan sentiasa memastikan bahawa tanah pertanian yang diperuntukkan dimanfaatkan secara produktif dan berterusan bagi menyokong peningkatan pengeluaran tempatan serta keterjaminan makanan negara.
Sehubungan itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan melaksanakan pemantauan berkala terhadap tapak-tapak pertanian yang telah diperuntukkan kepada pengusaha bagi memastikan projek yang dilaksanakan berjalan mengikut perancangan serta mencapai kemajuan yang sewajarnya mengikut KPI yang yang ditetapkan. Sekiranya didapati sesuatu tapak tidak diusahakan atau tidak menunjukkan kemajuan yang memuaskan, Jabatan akan mengambil beberapa langkah secara berperingkat.
Pada peringkat awal, pengusaha akan diberikan teguran dan bimbingan bagi membantu mereka meningkatkan kemajuan projek. Sekiranya keadaan masih tidak berubah, Jabatan akan mengeluarkan Surat Peringatan kepada pengusaha atau syarikat bagi mengarahkan mereka menghadapkan pelan pelaksanaan dan meningkatkan pembangunan ladang dalam tempoh yang ditetapkan. Surat peringatan ini akan dikeluarkan sehingga tiga kali sekiranya tiada kemajuan yang memuaskan. Jika selepas tempoh tersebut pengusaha masih gagal mengambil tindakan yang sewajarnya, Jabatan boleh mengambil langkah untuk menarik balik kebenaran menduduki tapak.
Langkah ini penting bagi memastikan tanah pertanian yang diperuntukkan tidak terus terbiar dan dapat ditawarkan semula kepada pengusaha lain yang berpotensi dan berkemampuan untuk mengusahakan tanah tersebut secara produktif. Pendekatan ini membolehkan Kementerian memastikan penggunaan tanah pertanian negara sentiasa dioptimumkan, di samping menggalakkan pengusaha yang benar-benar komited dan berkeupayaan untuk menyumbang kepada peningkatan pengeluaran sektor pertanian.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.