Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL043
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan punca sebahagian pelajar masih lemah dalam penguasaan kemahiran asas pembelajaran pada peringkat awal persekolahan, termasuk literasi, numerasi dan kefahaman? Apakah pembaharuan telah dilaksanakan bagi memastikan asas pendidikan diperkukuh sebelum pelajar melangkah ke peringkat seterusnya?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pendidikan
Alhamdulillah merujuk kepada analisis penilaian psikometrik Student Learning Survey (SLS) bagi tempoh 2022 hingga 2024, prestasi pelajar dalam domain literasi bahasa Inggeris menunjukkan pencapaian yang sangat memberangsangkan, di mana peratusan pelajar yang mencapai tahap penguasaan minimum bagi setiap peringkat tahun adalah di peringkat 95% ke atas.
Walau bagaimanapun, analisis data yang sama turut menunjukkan bahawa cabaran masih wujud dalam penguasaan numerasi, di mana sebahagian pelajar belum mencapai tahap kompetensi matematik yang sepadan dengan umur dan tahap persekolahan mereka. Perkara ini memang menjadi satu keutamaan bagi pihak Kementerian Pendidikan. Buat masa ini tiada kajian terkini yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam mengenai punca kenapa perkara ini berlaku. Walau bagaimanapun memandangkan ianya turut merupakan isu global yang dihadapi oleh sistem pendidikan di negara-negara lain, kita boleh merujuk kepada dapatan beberapa kajian yang berkaitan secara umum. Perkara ini lazimnya berpunca daripada beberapa faktor seperti perbezaan tahap kesediaan pembelajaran murid semasa memasuki sekolah, jurang penguasaan konsep asas matematik pada peringkat awal, serta keperluan untuk memperkukuhkan pendekatan pedagogi yang lebih berfokus kepada pemahaman konsep. Selain penguasaan kemahiran asas, faktor sikap negatif terhadap Matematik dan keresahan terhadap Matematik juga dikenal pasti sebagai antara perkara yang boleh mempengaruhi tahap keyakinan dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran tersebut.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan beberapa langkah bagi memperkukuh asas pembelajaran pelajar. Antaranya adalah:
i. Pelaksanaan Renaissance Mathematics yang menekankan penguasaan konsep asas dan kemahiran penyelesaian masalah sejak peringkat sekolah rendah;
ii. Semakan kurikulum (curriculum review) bagi memastikan perisian dan kesinambungan silibus pembelajaran pada peringkat awal memberi tumpuan kepada kemahiran asas literasi dan numerasi sebelum pelajar mempelajari topik yang lebih kompleks;
iii. Memperkenalkan buku teks matematik yang disemak semula sejajar dengan amalan terbaik serantau, termasuk pendekatan Concrete–Pictorial–Abstract bagi membantu pelajar membina pemahaman secara lebih sistematik;
iv. Mengadakan intervensi iaitu Program Learning Support yang menyediakan sokongan tambahan kepada pelajar bagi mengukuhkan penguasaan kemahiran asas; dan
v. Dapatan penilaian seperti Student Learning Survey (SLS) turut digunakan bagi mengenal pasti jurang pembelajaran lebih awal dan melaksanakan intervensi sokongan yang bersesuaian.
Melalui langkah-langkah ini, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha memastikan asas literasi dan numerasi pelajar diperkukuh agar mereka lebih bersedia untuk pembelajaran seterusnya.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.