Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL143
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan strategi kementerian dalam memantapkan sektor pelancongan khususnya bagi memastikan profil pelancongan negara lebih tersohor di peringkat antarabangsa dan merancakkan lagi kepelbagaian ekonomi negara.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Dalam usaha memperkukuh kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pilihan utama, Kementerian melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan terus komited memacu pembangunan sektor pelancongan melalui pengukuhan daya saing produk berasaskan Budaya, Alam Semulajadi, dan Kembara (Culture, Nature and Adventure). Sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang dinamik, strategi ini turut diperkukuh melalui kepelbagaian produk pelancongan khusus, seperti Sports tourism, Medical Tourism, Educational Tourism dan Islamic tourism.
Strategi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam memantapkan sektor pelancongan negara adalah berteraskan pendekatan menyeluruh yang memberi tumpuan kepada pengukuhan penjenamaan destinasi, peluasan pasaran antarabangsa, pembangunan produk pelancongan bernilai tinggi serta pengukuhan kerjasama strategik dengan pemain industri, selaras dengan usaha memperkukuh kepelbagaian ekonomi negara.
Bagi memperkukuhkan profil destinasi, Kementerian akan secara lebih aktif dan agresif melaksanakan agenda promosi dan pemasaran Brunei Darussalam melalui kempen pengiklanan strategik berimpak luas dengan pelbagai kaedah promosi seperti:
- iklan di akhbar dan news outlet antarabangsa;
- penyertaan ekspo,
- menggunakan khidmat marketing consultant;
- menggunakan pelbagai platform media sosial;
- bekerjasama dengan pempengaruh media sosial; dan
- serta pemasaran digital;
dalam mempromosikan Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi peluasan pasaran antarabangsa, di peringkat global, keberadaan Brunei diperluas melalui penyertaan strategik dalam ekspo antarabangsa dan sesi jaringan perniagaan di pasaran utama seperti Dubai, Sydney, Jepun, Korea Selatan, Shanghai dan Taiwan bagi meneroka peluang kerjasama yang lebih dinamik. Seterusnya, bagi tahun 2026, 6 pasaran sasaran baharu juga telah dikenalpasti untuk mempromosi dan menarik pelancong ke negara ini, termasuk Germany, Italy, France, Spain, Canada, USA dan Timur Tengah.
Jabatan Kemajuan Pelancongan akan melantik wakil pemasaran di luar negeri bagi memperkukuh keberkesanan promosi tradisional dan digital, khususnya di pasaran dinamik seperti China, Korea, dan Jepun. Inisiatif ini bertujuan mengatasi kekangan komunikasi serta akses terhadap platform digital tempatan yang bersifat geo-locked seperti Douyin, Naver, dan WeChat.
Selari dengan usaha tersebut, Jabatan juga dalam proses mendapatkan khidmat konsultasi pemasaran. Langkah ini bertujuan merangka strategi komprehensif yang bukan sahaja memfokuskan kepada pasaran sedia ada, malah meneroka potensi pasaran jarak jauh (long-haul market) termasuk Timur Tengah, Amerika, dan Eropah bagi memastikan daya saing global yang mampan.
Selain itu, Kementerian bakal melaksanakan inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027) sebagai agenda nasional utama dan promosi khas yang akan menyokong usaha memperluaskan lagi pasaran antarabangsa. Inisiatif ini dilaksanakan bersempena Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta ke 60 tahun. Sebagai langkah awal yang proaktif, fasa pelaksanaan Pra-Pelancaran VBY 2027 dijadualkan bermula pada suku kedua tahun ini, bagi memastikan kesiapsiagaan infrastruktur dan pemasaran dalam memposisikan Brunei sebagai destinasi utama bersempena sambutan gilang-gemilang tersebut.
Dalam hubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menyambut baik inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027 yang bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki takhta sebagai satu pemangkin strategik bagi merealisasikan hasrat tersebut. Justeru, pelaksanaannya menuntut pendekatan yang tersusun, penyampaian yang berkesan serta komitmen padu daripada semua pihak agar inisiatif ini benar-benar mencerminkan aspirasi negara dan menjunjung titah Baginda.
Seterusnya, bagi memperkukuh ekosistem pelancongan digital, sebanyak 700 aktiviti dan produk telah diintegrasikan ke dalam direktori produk pelancongan melalui portal www.explorebrunei.gov.bn. Produk-produk ini dikategorikan mengikut segmen khusus seperti Budaya dan Warisan, Alam Semulajadi, serta Pengembaraan bagi memenuhi pasaran yang pelbagai.
Melalui pemasaran digital dan promosi berasaskan data, sejak tahun 2024 hingga 2025, kempen digital pelancongan negara telah menjangkau kira-kira 41 juta paparan di pelbagai platform digital, termasuk media social seperti Instagram dan Facebook serta kira-kira 700 ribu paparan di rangkaian pengiklanan global seperti YouTube dan Google Display Network di pasaran serantau dan antarabangsa, sekaligus meningkatkan kesedaran mengenai Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang unik dan eksklusif.
Sejak 2024 hingga 2025, sebanyak 31 influencer antarabangsa yang telah dijemput menghasilkan lebih dari 34 juta paparan manakala kerjasama dengan Online Travel Agencies (OTA) telah menjana lebih dari 16 juta paparan yang turut membantu memperluaskan visibility di pasaran global dan menarik minat pelawat antarabangsa.
Kementerian juga terus komited meningkatkan daya saing industri menerusi Program Service Providers Enhancement serta Bengkel Pembangunan Pakej Pelancongan. Inisiatif ini bertujuan untuk mempelbagaikan varieti produk pelancongan sedia ada di samping memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan menepati piawaian antarabangsa.
Di samping itu, Kementerian akan terus memperkasa kecemerlangan perkhidmatan dan standard industri menerusi penawaran 7 jenis kursus pembangunan kapasiti yang merangkumi bidang pengkhususan seperti birdwatching, kursus kemahiran bagi frontliners, story-telling, program keusahawanan dan lain-lain. Strategi ini diperkukuh dengan pelaksanaan 12 siri taklimat di institusi pendidikan bagi membina rantaian bakat pelancongan dalam kalangan generasi akan datang.
Selain itu, usaha memperkasa profesionalisme tenaga kerja terus dipergiat melalui pewujudan 14 kompetensi dan laluan kerjaya di bawah seliaan Manpower Industry Steering Committee for Hospitality and Tourism (MIHS-HT).
Menyentuh mengenai perkembangan sektor pelancongan, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025 telah mencatatkan sekitar 763 ribu pelancong, yang menunjukkan peningkatan sekitar 13% berbanding pencapaian tahun 2024. Peningkatan ini disumbangkan oleh pecahan kemasukan pelancong melalui darat, udara, dan laut, masing-masing meningkat sekitar 14%, 7%, dan 46%, yang mana peningkatan yang ketara adalah kedatangan pelancong melalui cruise ship atau kapal persiaran.
Dalam usaha mempromosikan negara kita sebagai destinasi budaya yang unggul, setiap ketibaan kapal-kapal persiaran diraikan dengan tarian tradisi, gulingtangan, dan hadrah. Inisiatif ini bukan sekadar satu sambutan, malah merupakan langkah strategik untuk memberikan impak yang mendalam bagi mempamerkan kekayaan warisan budaya negara kepada pelancong antarabangsa. Pada tahun 2025, sejumlah 15 kapal persiaran telah berlabuh, dan jumlah ini diunjurkan meningkat kepada 32 buah kapal pada tahun 2026. Setakat bulan Mac ini, sebanyak 11 buah kapal persiaran telah berkunjung ke Negara ini.
Pada masa ini, sebanyak 62 ejen pelancongan telah berdaftar dan berlesen secara rasmi di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan. Daripada jumlah tersebut, seramai 31 ejen pelancongan yang aktif melaksanakan aktiviti pelancongan inbound iaitu membawa pelancong masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui udara dan kapal persiaran. Ini adalah peningkatan sekitar 210% berbanding dengan hanya 10 ejen pelancongan yang aktif inbound pada tahun 2022, iaitu 3 tahun lalu. Bagi mengoptimumkan potensi ekonomi sektor ini, Kementerian menggesa penglibatan yang lebih menyeluruh dan aktif daripada komuniti ejen pelancongan untuk melaksana strategi inbound bagi meningkatkan perbelanjaan pelancong di dalam negara, sekaligus memberikan sumbangan signifikan kepada KDNK serta mengukuhkan imbangan pembayaran melalui pengurangan aliran keluar mata wang negara.
Selain itu, projek-projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dan projek Public Private Partnership (PPP) juga telah dilaksanakan bagi menyediakan dan menambah baik infrastruktur-infrastruktur khususnya di destinasi-destinasi pelancongan di Negara ini seperti menaik taraf kemudahan-kemudahan awam serta membina titian / jambatan; Projek Pemasangan Papan-Papan Tanda Arah dan Maklumat; dan projek Public Private Partnership (PPP) bagi tapak gazet di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan.
Di samping itu, Kementerian juga memberi penekanan kepada pembangunan segmen pelancongan bernilai tinggi seperti MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions), acara-acara, pameran dan festival yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan dan swasta, antaranya seperti Brunei Startup Summit, ASEAN Universities Network (AUN) Summer Camp yang dikendalikan oleh UBD, dan Borneo Kustoms Show. Ianya memainkan peranan penting dalam mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan, sekali gus membantu meningkatkan keterlihatan destinasi serta menarik kedatangan pelawat ke negara ini. Sebagai contoh, penganjuran Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2025 telah menarik sekitar 1,500 peserta termasuk lebih 100 peserta antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi dalam sektor perhotelan, makanan dan perkhidmatan.
Melalui pendekatan bersepadu ini, Kementerian berhasrat untuk terus meningkatkan profil Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang selamat, eksklusif, hijau dan autentik, sekali gus memastikan sektor pelancongan dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian ekonomi negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.