Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL097
SOALAN
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan
YANG BERHORMAT AWANG ABDUL AZIZ BIN HAJI HAMDAN meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan berkenaan usaha kerjasama Kementerian bersama sektor pendidikan, komuniti dan pihak swasta dalam memupuk kesedaran kesihatan sejak usia muda?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan telah bekerjasama dengan pelbagai sektor untuk memupuk kesedaran kesihatan sejak usia muda. Pendekatan ini melibatkan sektor pendidikan, komuniti dan pihak swasta, dengan tujuan membudayakan gaya hidup sihat secara berterusan.
Bersama sektor pendidikan, kerjasama erat dijalankan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rokok dan rokok elektronik melalui bahan pendidikan yang sesuai dengan peringkat umur, pelaksanaan mobility break selama 10 minit setiap hari di sekolah, serta penelitian semula menu makanan di sekolah asrama dan sekolah arab bagi memastikan penyediaan makanan yang lebih sihat.
Selain itu, kurikulum sains turut memasukkan elemen pemakanan sihat dan bahaya merokok bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar. Sejak tahun 2023, konsep Sekolah Mempromosi Kesihatan juga telah diperkenalkan dengan sokongan Gleneagles JPMC. Program ini, yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bertujuan mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif untuk mengamalkan cara hidup sihat. Ia kini dilaksanakan di sekolah kerajaan dan swasta, melibatkan sekolah rendah dan menengah.
Di peringkat komuniti, bengkel Brunei Bebas Buli telah dijalankan dengan penglibatan guru kaunselor dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu buli. Program ACE (Active and Admirable, Charismatic and Excellent) pula memberi ruang kepada remaja dan ibu bapa untuk membincangkan isu kesihatan reproduktif secara lebih terbuka dan berkesan.
Manakala bersama sektor swasta, Kementerian melaksanakan program Workplace and Health (WAH) yang menggalakkan amalan gaya hidup sihat di tempat kerja. Program ini menyokong majikan dalam menyediakan persekitaran kerja yang bebas rokok, menggalakkan aktiviti fizikal, pemakanan sihat dan kesejahteraan mental.
Pendekatan rentas sektor ini menunjukkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan dalam membudayakan gaya hidup sihat sejak usia muda hingga ke peringkat dewasa, selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan rakyat yang sihat, produktif dan berdaya tahan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.