Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL077
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHAMAD DANIAL @ TEKPIN BIN YA'AKUB meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan perancangan dalam memastikan tahap sosioekonomi rakyat dapat meningkat sejajar dengan perubahan teknologi, struktur ekonomi dan kos sara hidup semasa?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Secara amnya, Kerajaan mengambil pendekatan yang menyeluruh dan berimbang, meliputi langkah jangka pendek bagi menangani tekanan kos sara hidup serta strategi jangka panjang untuk menjana pertumbuhan pendapatan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat secara mampan.
Dalam konteks ini, Kerajaan terus menyediakan subsidi bagi barangan dan perkhidmatan asas, melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan harga, serta memperkukuh perlindungan pengguna. Usaha juga dipergiat untuk meningkatkan pengeluaran domestik, khususnya dalam sektor makanan, bagi mengurangkan kebergantungan kepada import. Di samping itu, pelaburan berterusan dalam perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur asas membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah serta menyokong kuasa beli rakyat.
Seiring dengan transformasi teknologi dan ekonomi, penekanan diberikan kepada pendidikan, pembelajaran sepanjang hayat serta program peningkatan dan latihan semula kemahiran (upskilling and reskilling), termasuk dalam bidang digital dan teknologi baharu seperti Artificial Intelligence (AI). Pembangunan keusahawanan turut diperkasa bagi memperluas penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi (value-added). Inisiatif di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), sebagai contoh telah melatih lebih 20,000 peserta dan menyumbang kepada penubuhan ratusan perusahaan baharu serta peluang pekerjaan.
Pada masa yang sama, usaha pempelbagaian ekonomi terus diperkukuh melalui pembangunan sektor-sektor keutamaan seperti hiliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, ICT dan pelancongan, dengan gabungan pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti serta pengukuhan perusahaan tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Sehingga kini, 25 syarikat FDI di bawah portfolio BEDB telah beroperasi dan mewujudkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan, hampir separuh daripadanya diisi oleh rakyat tempatan. Selain itu, 18 projek FDI bernilai USD5.6 bilion yang telah diluluskan setakat Januari 2026 dijangka menambah sekitar 3,000 peluang pekerjaan secara berperingkat.
Melalui Rancangan Kemajuan Negara, pelbagai projek infrastruktur dan sosial turut dilaksanakan, termasuk perumahan mampu milik, penaiktarafan sistem bekalan air, pelaksanaan Smart Transport System dan Sistem Pengangkutan Awam, serta pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, jejantas seperti Jejambat (Flyover) di Persimpangan Lebuhraya Muara—Tutong di kawasan perindustrian Tanjong Kajar, bagi menyokong aktiviti ekonomi dan mempertingkatkan mobiliti rakyat.
Projek dalam sektor pertanian, perikanan dan perhutanan juga dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran domestik dan menjana peluang pekerjaan, di samping pelaburan berterusan dalam prasarana kesihatan, kemudahan keagamaan dan infrastruktur ICT bagi menyokong pembangunan modal insan dan mempertingkatkan kesejahteraan sosial secara menyeluruh.
Keseluruhannya, pendekatan ini bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi yang dijana dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat secara inklusif dan mampan dalam jangka panjang.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.