Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL010
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan cabaran utama dalam proses semakan dan penggubalan akta-akta penting dan inisiatif Pejabat Peguam Negara dalam mempercepatkan proses semakan dan penggubalan ini? Apakah terdapat perancangan penambahbaikan contoh memanfaatkan tenaga graduan undang-undang melalui skim apprenticeship secara project-based?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
1. Cabaran Utama
Proses penggubalan amat bergantung kepada maklumat dasar yang lengkap, tepat dan konsisten daripada pegawai fokal Kementerian / Jabatan / badan berkanun.
Dalam pelaksanaan kerja tersebut, pegawai penggubalan undang-undang bekerjasama rapat dengan pegawai fokal di Kementerian, Jabatan Kerajaan dan badan berkanun untuk mendapatkan maklumat dasar yang lengkap, tepat dan konsisten bagi tujuan penggubalan dan semakan undang-undang selaras dengan objektif dasar Kerajaan, penelitian undang-undang sedia ada dan analisis undang-undang yang teliti.
Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, arahan penggubalan yang diterima masih memerlukan penjelasan atau penghalusan lanjut. Oleh yang demikian, pegawai penggubalan perlu membuat penelitian tambahan bagi memperincikan hasrat dasar serta menjalankan penyelidikan lanjut, yang seterusnya boleh mempengaruhi tempoh penyediaan draf undang-undang.
Sebagai gambaran prestasi, pada tahun 2025 Bahagian Penggubalan Undang-Undang menerima 305 draf untuk diproses; 176 draf berjaya diselesaikan dalam tahun yang sama dan 67 draf masih belum selesai setakat akhir tahun. Secara kumulatif, 238 daripada 305 draf telah disiapkan, iaitu sekitar 78%, walaupun hanya dengan 12 pegawai penggubalan undang-undang yang pada masa yang sama, pegawai yang sama turut melaksanakan tugas semakan undang-undang secara berterusan, termasuk menyusun dan mengemas kini undang-undang yang telah diwartakan kedalam Laws of Brunei.
2. Inisiatif Mempercepatkan Proses — Draft Legislation Database (DLD) & Legislation Electronic Drafting & Online (LEDO)
Pejabat Peguam Negara mengekalkan prinsip bahawa penggubalan perundangan ialah satu proses kolaboratif antara Pejabat Peguam Negara dan Kementerian-Kementerian bagi memastikan undang-undang yang digubal komprehensif, jelas dan selaras dengan kepentingan Negara, tanpa menjejaskan kualiti.
Bagi memperkukuhkan kolaborasi dan pemantauan status staf secara lebih tersusun, Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri telah membangunkan Draft Legislation Database (DLD), iaitu satu pangkalan data berpusat yang teratur dan sistematik untuk memantau status terkini setiap draf. Akses kepada pegawai fokal membolehkan tindakan susulan dibuat dengan lebih telus dan efisien dari kedua-dua pihak.
Bagi meningkatkan kecekapan penambahbaikan turut ditumpukan kepada:
-
Latihan khusus dan pembangunan profesional berterusan dalam analisis dasar, bahasa perundangan dan reka bentuk Perundangan;
-
Pengukuhan penyelarasan awal dengan Kementerian / Jabatan / badan berkanun supaya dasar difahami dengan jelas sebelum penggubalan dimulakan; dan
-
Penyediaan templat penggubalan yang seragam dan pengemasan proses semakan dalaman agar kerja penggubalan menjadi lebih konsisten dan cepat.
Di samping itu, Pejabat Peguam Negara akan melaksanakan Projek Legislation Electronic Drafting & Online (LEDO) sebagai inisiatif teknologi undang-undang untuk membantu penyediaan serta pengendalian kerja penggubalan dan semakan undang-undang dengan lebih cekap. Alhamdulillah, projek ini telah diluluskan bagi pemerolehan sistem dan kini dalam proses selanjutnya mengikut garis panduan pengurusan projek ICT yang berkuat kuasa.
3. "Skim apprenticeship" secara "project based"
Berkenaan cadangan, Pejabat Peguam Negara menegaskan bahawa penggubalan undang-undang ialah bidang profesional yang memerlukan latihan khusus dan pengalaman kerja yang lama dan mendalam; Walau bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara memang mengambil graduan undang-undang dari semasa ke semasa mengikut keperluan perkhidmatan yang ditempatkan di Bahagian-Bahagian lain. Ini merupakan salah satu usaha penambahbaikan penting bagi mengukuhkan sumber tenaga manusia dan meningkatkan keupayaan Pejabat dalam melaksanakan kerja-kerja perundangannya.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.