Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL088 & PL139
SOALAN
Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir
YANG BERHORMAT HAJI AWANG SULAIMAN BIN HAJI NASIR meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan apakah inisiatif pembangunan Pekan Bangar yang diselaraskan dengan agenda pembangunan sosioekonomi Daerah Temburong secara keseluruhan, yang dapat membantu Pekan Bangar agar mempunyai identiti perniagaan tersendiri.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA JOHAN PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ADANAN BIN BEGAWAN PEHIN SIRAJA KHATIB DATO SERI SETIA HAJI MD. YUSOF meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan perkembangan terkini dalam usaha memperkasakan sosioekonomi masyarakat melalui 1K1P khususnya dalam mengaplikasikan teknologi tinggi dan penghasilan produk nilai tambah berskala besar bagi memastikan produk tempatan lebih berdaya saing serta mampu menembusi pasaran antarabangsa secara meluas?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Sejak penubuhan Agensi Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) dan setelah penyerahan fungsi agensi berkenaan dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) pada 1hb., Jun 2024, pelbagai inisiatif pembangunan telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi Daerah Temburong secara menyeluruh, termasuk usaha memposisikan Pekan Bangar sebagai pusat aktiviti ekonomi dan keusahawanan komuniti yang mempunyai identiti tersendiri.
Antara langkah awal yang telah diambil ialah melalui pengurusan dan pengaktifan semula beberapa aset kerajaan di Pekan Bangar, termasuk Bangunan Kompleks Bumiputera Utama, Bangunan Kompleks Bumiputera Perniagaan, Bangunan Kedai Rakyat Jati, Tamu Aneka, Ruang Legar Pekan Bangar (Supertree), kawasan Dermaga Pekan Bangar serta kemudahan tandas awam.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, Bangunan Kedai Rakyat Jati telah dinaiktaraf dan dijadikan lokasi penubuhan Kedai Kampung, iaitu pusat pemasaran produk tempatan di bawah inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Kedai Kampung ini menyediakan ruang niaga khusus bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan. Premis ini dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung Selangan, Parit dan Biang Menengah dan menempatkan peniaga daripada kira-kira 200 pengusaha produk tempatan, dengan purata jualan sekitar $40,000.00 sebulan.
Inisiatif ini secara langsung membantu memperkukuh identiti Pekan Bangar sebagai pusat pemasaran produk tempatan Daerah Temburong. Selain itu, kawasan Dermaga Pekan Bangar turut dinaiktaraf dan dimanfaatkan sebagai hab utama pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial, termasuk penganjuran Program Ke Temburong Bisai, aktiviti riadah komuniti serta pelbagai acara negara. Kawasan Supertree di Pekan Bangar juga dimanfaatkan sebagai lokasi strategik bagi penganjuran expo, jualan dan acara komuniti yang bertujuan merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat.
Perkembangan sosioekonomi di daerah ini juga tidak hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur semata-mata. Antara inisiatif yang turut dilaksanakan ialah Program Ke Temburong Bisai, yang bertujuan menarik kehadiran pengunjung ke Pekan Bangar serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat. Sejak pelaksanaannya pada tahun 2022, sebanyak 13 acara telah dianjurkan, dengan purata kehadiran antara 1,000 hingga 2,000 pengunjung bagi setiap penganjuran serta berjaya menjana pendapatan sekitar $500.00 hingga $1,000.00 bagi setiap pengusaha yang terlibat.
Dalam masa yang sama, pemerkasaan ekonomi komuniti melalui inisiatif 1K1P turut diperkukuhkan di seluruh negara. Sebagai contoh, di Daerah Belait, sebuah Pusat 1K1P telah dirasmikan pada 9hb., November 2025 di tapak bekas Pejabat Pos Lama Kuala Belait. Pusat ini berfungsi sebagai one-stop centre bagi memasarkan produk tempatan di bawah pengendalian Majlis Perundingan Mukim dan Kampung melalui Badan Kebajikan Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan Ketua Rumah Panjang (PEKERUPA) dengan sokongan sebuah syarikat tempatan sebagai pengendali utama. Sejak perasmiannya pada 9hb., November 2025 sehingga penghujung Februari 2026, seramai 109 pengusaha termasuk peserta di bawah Projek TUNAS BIBD dan Bruneian Made BEDB telah menyertai pusat tersebut dengan jumlah jualan sebanyak $17,245.00 bagi tempoh November 2025 hingga Februari 2026.
Selain itu, Kedai Kampung turut dibukakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan pada 1 Februari 2026 sebagai platform tambahan kepada para pengusaha tempatan untuk memasarkan produk mereka. Sejak pembukaannya pada 1hb. Februari, 2026 sehingga hujung bulan Februari 2026 seramai empat pengusaha telah beroperasi di premis tersebut dengan jumlah jualan sekitar $300.00.
Di Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah turut melaksanakan inisiatif yang sama melalui pelancaran Kedai Kampung di Kantin Dewan Muhibbah pada 24hb., November 2025, yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Lumapas berasaskan konsep kerjasama komuniti. Sehingga kini, seramai 45 peniaga PMKS telah terlibat dan berjaya menjana pendapatan sebanyak $10,054.00 bagi tempoh November hingga Disember 2025.
Dari segi penggunaan teknologi, sebahagian pengusaha di bawah inisiatif 1K1P telah mula mengaplikasikan teknologi asas bagi meningkatkan kecekapan proses pengeluaran. Sebagai contoh:
- Di Daerah Tutong, penghasilan seni ukiran kayu menggunakan mesin bagi mempercepatkan proses kerja;
- Di Daerah Belait, penggunaan teknologi sublimasi (sublimation) bagi menghasilkan produk seperti magnet peti sejuk dan cawan dengan kapasiti sehingga 20 mug dan 40 magnet sehari;
- Manakala di Daerah Temburong, penggunaan peralatan pemprosesan moden seperti mesin pengadun dan dough sheeter yang dibekalkan melalui peruntukan Kementerian pada tahun 2014 bagi pembuatan karipap mini telah meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada sekitar 1,500 biji kepada 4,500 biji sebulan, di samping menyumbang kepada peningkatan hasil jualan daripada kira-kira $250.00 kepada $750.00.
Walaupun kapasiti pengeluaran menggunakan ketuhar pengering yang dibekalkan melalui peruntukan Kementerian pada tahun 2013 adalah sekitar 6 hingga 9 kilogram sehari, penggunaan peralatan tersebut membantu memastikan pengeluaran lebih konsisten berbanding kaedah menjemur di bawah cahaya matahari yang mudah terjejas apabila cuaca tidak menentu. Kestabilan pengeluaran ini turut menyumbang kepada peningkatan hasil jualan, di mana dari Januari 2025 hingga Disember 2025, jumlah jualan mencatatkan sebanyak $68,213, berbanding anggaran hanya sekitar $17,053 sekiranya pengeluaran masih bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata, menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu kira-kira 3 hingga 4 kali ganda.
Walau bagaimanapun, kebanyakan pengusaha 1K1P masih beroperasi pada skala kecil sebagai industri kampung (cottage industry), di mana penggunaan teknologi berperanan sebagai sokongan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran tanpa menjejaskan keaslian dan identiti produk tempatan Brunei.
Dalam masa yang sama, usaha juga telah diambil untuk memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa, antaranya melalui penghantaran produk 1K1P ke Republik Rakyat China melalui Kerjasama Kedutaan Negara Brunei Darussalam bagi tujuan pameran dan promosi di pasaran luar negara, serta pemberian sebagai cenderahati dalam majlis dan acara rasmi termasuk mesyuarat serta lawatan kerja di luar negara.
Dari segi kapasiti pengeluaran, secara umumnya pengusaha 1K1P berupaya memenuhi permintaan pasaran domestik, tertakluk kepada jenis produk dan keadaan tertentu. Sebagai contoh, pengusaha kraftangan di Rumah Panjang Melilas mampu menjana pendapatan tidak kurang daripada $500.00 sebulan melalui penghasilan produk anyaman, dan pernah mencapai lebih $100,000.00 semasa penyediaan tempahan khas bag buku Dirgahayu. Dengan sokongan lapan tenaga kerja, pengusaha tersebut mampu menghasilkan sekitar 50 unit produk kecil dan 20 unit produk besar seminggu, bergantung kepada reka bentuk.
Manakala bagi pengusaha keropok udang di Kampung Sungai Bunga, purata pendapatan bulanan adalah sekitar $5,600.00 dengan jumlah tempahan kira-kira 150 kilogram sebulan. Dari segi pengeluaran, pengusaha mampu menghasilkan sekitar 36 hingga 60 kilogram seminggu dengan bantuan dua pekerja tetap dan dua pekerja sambilan. Walau bagaimanapun, terdapat keadaan tertentu di mana permintaan yang lebih tinggi tidak dapat dipenuhi sepenuhnya disebabkan kekangan bekalan bahan mentah yang bergantung kepada musim.
Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan bahawa pengusaha 1K1P pada masa ini berupaya memenuhi permintaan pasaran tempatan dan menjana pendapatan komuniti, dengan potensi untuk meningkatkan pengeluaran melalui pengukuhan kemudahan peralatan serta bekalan bahan mentah.
Dalam jangka masa panjang, pendekatan pembangunan Pekan Bangar tidak hanya tertumpu kepada pengaktifan aset fizikal sematamata, tetapi juga kepada usaha membina ekosistem ekonomi komuniti yang mampan melalui penglibatan aktif usahawan tempatan, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta kerjasama antara agensi kerajaan.
Melalui inisiatif seperti Kedai Kampung, Program Ke Temburong Bisai serta pemerkasaan produk di bawah inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Pekan Bangar sedang diperkembangkan sebagai sebuah pusat keusahawanan komuniti dan pemasaran produk tempatan yang mempunyai identiti tersendiri di Daerah Temburong. Pendekatan ini juga memberi penekanan kepada pengukuhan ekonomi berasaskan komuniti (community-based economy) di mana sokongan dan dokongan dari seluruh lapisan masyarakat setempat menjadi pemacu utama kepada kejayaan dan pertumbuhan aktiviti ekonomi.
Dalam masa yang sama, kerajaan akan terus memperkukuhkan sokongan kepada pengusaha tempatan termasuk dalam aspek pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi yang bersesuaian serta peluasan pasaran, supaya produk tempatan bukan sahaja mampu memenuhi permintaan domestik, malah berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa. Usaha ini adalah selaras dengan Matlamat 3 dibawah aspirasi Wawasan Brunei 2035 iaitu ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.