Langkau ke kandungan utama
For Informational Purposes Only

Source: https://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/wp-content/uploads/2026/03/Jawapan-Pertanyaan-Jawab-Lisan-Secara-Bertulis-150326-Hari-Keempat.pdf

Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL048 & PL096

SOALAN

Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed

YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan perancangan jangka panjang Kementerian berkenaan bagi inisiatif kemasyarakatan serta strategi pembinaan negara dalam Wawasan 2035?

Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan

YANG BERHORMAT AWANG ABDUL AZIZ BIN HAJI HAMDAN meminta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan berkenaan mekanisme penyelarasan dan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan perancangan pembangunan daerah sejajar dengan tujuan dan sasaran?

JAWAPAN

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri

Perancangan jangka panjang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dalam melaksanakan inisiatif kemasyarakatan serta strategi pembangunan negara adalah berteraskan kepada Pelan Strategik Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri 2023-2027. Pelan strategik ini menggariskan tiga aspirasi utama, di mana inisiatif kemasyarakatan dan pembangunan daerah dipacu di bawah Aspirasi 2, iaitu "Transformasi Pembangunan Bandar dan Daerah serta Memperkasakan Pembangunan Komuniti."

Alhamdulillah, setakat ini lebih daripada 70 peratus inisiatif strategik yang dirancang di bawah Pelan Strategik tersebut telah berjaya dilaksanakan, sekali gus mendukung Matlamat kedua di bawah Wawasan Brunei 2035, iaitu Kehidupan Rakyat Yang Berkualiti Tinggi. Mekanisme pemantauan terhadap inisiatif-inisiatif strategik ini dilaksanakan melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian serta KPI Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, yang turut menyumbang kepada pencapaian National Key Performance Indicators (NKPI) serta tiga blueprint utama di bawah Wawasan Brunei 2035.

Dalam kesempatan ini, dirakamkan penghargaan kepada Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung atas sumbangan bakti, tenaga dan fikiran mereka dalam memperkukuh pembangunan komuniti. Kepimpinan akar umbi ini memainkan peranan penting dalam menggerakkan pelbagai program dan inisiatif kemasyarakatan di peringkat mukim dan kampung.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk program gotong-royong membersihkan kawasan mukim dan kampung, aktiviti kemasyarakatan yang mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan penduduk, serta pelaksanaan aktiviti perekonomian yang membantu memperkasa masyarakat setempat. Selain itu, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung juga turut menyokong Program Reintegrasi bersama Jabatan Penjara bagi membantu bekas banduan menyesuaikan diri semula dalam masyarakat dengan sokongan komuniti setempat.

Keaktifan inisiatif-inisiatif ini dipantau melalui KPI Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, khususnya indikator berkaitan "jumlah inisiatif yang dilaksanakan di mukim dan kampung." Bagi tempoh April hingga Disember 2024, sebanyak 2,017 inisiatif telah direkodkan merangkumi pelbagai bidang seperti kemasyarakatan, keagamaan, kesukanan dan perekonomian.

Momentum ini terus meningkat pada tahun 2025, dengan 2,624 inisiatif dilaksanakan sepanjang Januari hingga Disember, yang mencerminkan tahap keaktifan kepimpinan akar umbi serta penglibatan masyarakat yang semakin kukuh dalam pembangunan komuniti.

Selain itu, keberkesanan kepimpinan komuniti juga dapat dilihat melalui KPI berkaitan pengurusan aduan penduduk serta tahap keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat. Pada tahun 2024, sebanyak 99.6 peratus aduan penduduk telah berjaya diselesaikan, manakala kadar penduduk mukim dan kampung yang diberi perhatian dan ditangani mencapai 99.2 peratus.

Prestasi ini kekal tinggi pada tahun 2025, dengan kadar penyelesaian aduan sekitar 99 peratus, sekali gus mencerminkan sistem penyampaian perkhidmatan yang responsif dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Dalam aspek pembangunan sosioekonomi komuniti, kementerian turut memperkasa inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P) bagi meningkatkan potensi ekonomi masyarakat kampung. Sehingga kini, tiga daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong telah mewujudkan Kedai Kampung yang diusahakan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung sebagai platform pemasaran produk tempatan.

Perkembangan ini turut dipantau melalui KPI Penghulu Mukim dan Ketua Kampung berkaitan "jumlah produk 1K1P yang sedia ada atau baharu untuk dikembangkan bagi menjana perekonomian mukim dan kampung." Statistik menunjukkan sebanyak 208 produk direkodkan pada tahun 2024 dan 204 produk pada tahun 2025.

Dari segi pelaksanaan perancangan pembangunan daerah pula, kemajuan ini turut dipantau melalui KPI kementerian berkaitan "tanah atau lokasi di kawasan bandaran dan daerah yang dikenal pasti berpotensi dan telah dikembangmajukan." Alhamdulillah, indikator ini menunjukkan peningkatan daripada 21 peratus pada tahun 2022 kepada 45 peratus pada tahun 2025. Antara tanah dan lokasi yang telah dikembangmajukan termasuk Gerai Kampung Tagap, Mukim Sengkurong dan Tamu Jati Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat.

Secara keseluruhannya, peranan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam pembangunan negara bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian perkhidmatan pentadbiran di peringkat daerah dan komuniti, bahkan turut merangkumi usaha memperkukuh ketahanan sosial (social resilience), perpaduan masyarakat serta kesejahteraan komuniti sebagai asas penting kepada pembinaan negara.

Melalui kepimpinan Penghulu Mukim, Ketua Kampung, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat, pendekatan pembangunan komuniti yang dilaksanakan adalah berteraskan konsep Whole-of-Nation Approach, di mana masyarakat sendiri memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam memajukan mukim dan kampung masing-masing.

Pendekatan ini juga memberi penekanan kepada pengukuhan modal sosial (social capital) dalam masyarakat melalui penglibatan komuniti, pengukuhan jaringan sosial serta pembangunan aktiviti ekonomi setempat seperti melalui inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang mampu meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan komuniti.

Dalam masa yang sama, mekanisme pemantauan melalui NKPI, KPI kementerian serta KPI kepimpinan akar umbi memastikan setiap inisiatif pembangunan daerah dan kemasyarakatan dilaksanakan secara terselaras, berimpak tinggi serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan penduduk.

Help Needed
Help needed with proof-reading, verification of content extracted from PDFs, and Jawi and Arabic characters, please email pr@queeniecy.com if you have experience with Markdown.
Disclaimer
The information presented on this webpage is based on processed PDFs downloaded from the official website using OpenAI technology. We have taken steps to ensure accuracy, but if you identify any discrepancies or issues, please kindly notify us at pr@queeniecy.com so that we can make necessary adjustments. Thank you for your understanding and cooperation.
Disclaimer
The information provided on this website is for general informational purposes only. While we strive to keep the information up to date and correct, we make no representations or warranties of any kind, express or implied, about the completeness, accuracy, reliability, suitability or availability with respect to the website or the information, products, services, or related graphics contained on the website for any purpose. Any reliance you place on such information is therefore strictly at your own risk.

In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.

Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.

Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.