Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL068
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MOHAMAD DANIAL @ TEKPIN BIN YA'AKUB meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan bagaimana kerajaan merangka dasar ekonomi hijau bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menggalakkan inovasi tempatan serta melindungi alam sekitar dalam jangka panjang?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Kerajaan merangka dasar ekonomi hijau secara strategik dan bersepadu selaras dengan hala tuju Brunei Economic Blueprint dan pelaksanaan Industry Roadmap bagi lima sektor keutamaan negara. Pendekatan ini bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, menjana peluang pekerjaan baru serta menggalakkan inovasi tempatan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Antara langkah utama ialah pembangunan Brunei Green Economy Framework dan penyediaan Sustainability Roadmap ke arah mencapai sasaran Net Zero Carbon Emission. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pembangunan sektor tenaga dan industri rendah karbon, termasuk penerokaan peluang dalam teknologi hijau, kecekapan tenaga serta pengurusan karbon. Usaha ini turut disokong oleh Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Climate Change Policy – BNCCP) yang menyediakan hala tuju komprehensif ke arah ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim, selaras dengan komitmen negara di bawah Perjanjian Paris. Di samping mengurangkan pelepasan karbon melalui peralihan tenaga dan pembangunan industri rendah karbon, pendekatan ini juga menekankan aspek adaptasi perubahan iklim melalui pelaksanaan Pelan Adaptasi Kebangsaan (National Adaptation Plan – NAP) bagi memperkukuh daya tahan sektor ekonomi, komuniti dan alam sekitar terhadap kesan perubahan iklim.
Antara inisiatif-inisiatif yang dimaksudkan adalah termasuk peningkatan kecekapan dari sudut permintaan dan pembekalan tenaga; penggunaan sumber tenaga alternatif dan lebih bersih; dan penerapan penyelesaian rendah karbon atau low carbon solutions dalam konsep kluster Perindustrian. Di samping itu, elemen kemampanan turut diintegrasikan dalam pembangunan sektor makanan, ICT, perkhidmatan dan hiliran minyak dan gas melalui penerapan teknologi, inovasi dan peningkatan kecekapan sumber.
Dalam jangka masa pendek dan sederhana, beberapa projek baharu sedang dimajukan termasuk projek tenaga solar berskala besar di Sungai Liang dan Kampong Belimbing yang memulakan pembinaan pada tahun 2025 dan 2026, di samping usaha meneroka pengeluaran produk hiliran rendah karbon seperti hidrogen hijau, ammonia hijau dan metanol hijau dengan memanfaatkan keupayaan sedia ada dalam sektor tenaga dan perindustrian negara.
Penekanan juga diberikan kepada pemerkasaan MSMEs dan perusahaan baru agar dapat menyertai rantaian nilai ekonomi hijau, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak-anak tempatan. Seiring dengan hala tuju ini, kesiapsiagaan tenaga kerja bagi menyokong ekonomi rendah karbon diperkukuh melalui Rangka Kerja Skills and Capacity for Alternative Low-Carbon Energy (SCALE) yang disejajarkan dengan Pelan Pendidikan Hijau dan dilaksanakan bersama MISC-Energy bagi menyelaraskan keperluan kemahiran sektor tenaga dengan perancangan tenaga kerja, pendidikan dan latihan, agar anak-anak tempatan kitani bersedia merebut peluang pekerjaan bernilai tambah. Peluang latihan industri turut disediakan melalui projek tenaga boleh diperbaharui, termasuk penempatan pelatih IBTE dan Politeknik Brunei di projek tenaga suria 30MW di Kampong Belimbing bagi pendedahan praktikal kepada pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem solar berskala utiliti.
Kerajaan turut membangunkan dasar dan perundangan yang jelas bagi membantu negara ini untuk mengawal selia, memantau dan menguatkuasakan aktiviti-aktiviti di bawah inisiatif ekonomi hijau; memanfaatkan pelbagai aliran pembiayaan seperti green financing dan energy pricing sebagai pemboleh utama untuk peralihan ekonomi ke ekonomi hijau; menubuhkan kerjasama bersama dengan pihak swasta atau organisasi pelbagai hala (multi-lateral organisation) bagi membantu meningkatkan usaha hijau Brunei seperti menarik FDI untuk membangunkan industri hijau; membangunkan infrastruktur untuk meningkatkan kapasiti tenaga yang dapat diperbaharui (renewable energy) dan infrastruktur pengurusan sisa (waste management), yang mana juga akan dapat membolehkan peluang hijau yang lain; dan peningkatan kapasiti dalam R&D dan kemahiran tenaga kerja akan dapat membantu menarik pelaburan untuk mencapai pengeluaran dengan cekap dan berkualiti.
Secara keseluruhannya, dasar ekonomi hijau negara dirangka sebagai strategi transformasi jangka panjang yang menseimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.