Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL019
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH ROSMAWATTY BINTI HAJI ABDUL MUMIN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan perancangan Jabatan Tenaga dalam memastikan syarikat-syarikat projek haluan (upstream) yang baharu akan memastikan anak tempatan turut serta dalam membina keupayaan mereka dalam pelbagai bidang, termasuk teknikal inovasi, komersial, digital, kemahiran data, automasi dan kecerdasan buatan, yang akan anak tempatan menjadi pemilik teknikal dan pembuat keputusan.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Kerajaan melalui Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri komited memastikan pembangunan industri huluan negara terus kukuh bagi menjamin keterjaminan tenaga, kesinambungan pengeluaran minyak dan gas serta daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, landskap industri huluan negara menunjukkan perkembangan positif dengan kemasukan serta pengembangan penyertaan pengendali baharu termasuk Syarikat Hibiscus Petroleum Berhad dan Syarikat EnQuest EP BV Limited. Dalam tempoh lima ke sepuluh tahun akan datang, negara menyasarkan lebih banyak penyertaan pengendali baharu, dengan potensi lebih sepuluh pengendali beroperasi di negara ini. Seiring dengan kematangan sebahagian lapangan sedia ada, pembangunan industri huluan negara kini turut tertumpu kepada kawasan frontier, termasuk penerokaan di perairan yang lebih dalam serta potensi penggunaan teknologi Enhanced Oil Recovery (EOR) bagi memaksimumkan pengeluaran daripada lapangan matang. Perkembangan ini memerlukan kompetensi dan kemahiran baharu dalam bidang teknikal, digital, analisis data serta inovasi teknologi tenaga.
Dalam hal ini, Jabatan Tenaga memastikan setiap perkembangan projek huluan turut berfungsi sebagai platform pembangunan kapasiti anak tempatan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta mampu menjadi pemilik teknikal dan pembuat keputusan dalam industri tenaga.
Bagi tujuan tersebut, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri telah menguatkuasakan Arahan Bruneianisation semenjak tahun 2018 sebagai instrumen dasar utama bagi memastikan pembangunan tenaga kerja tempatan dilaksanakan secara sistematik. Arahan ini mewajibkan syarikat pengendali menyediakan pelan pengambilan, pembangunan bakat, pelan penggantian serta strategi lokalisasi yang jelas, dengan sasaran jangka panjang mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus tenaga kerja warga tempatan merentas pelbagai peringkat kemahiran. Penekanan turut diberikan kepada pengisian jawatan strategik dan kritikal bagi memastikan pemindahan kepakaran berlaku secara progresif dan terancang, yang kini menyaksikan peningkatan profesional tempatan memegang jawatan kepimpinan seperti Pengarah Kewangan dan Pengarah Teknikal dalam operasi huluan. Di samping itu, pembangunan tenaga kerja tempatan turut diperkukuhkan melalui peruntukan dalam Production Sharing Agreement (PSA) yang mewajibkan syarikat pengendali melaksanakan program latihan, pembangunan kompetensi, pemindahan teknologi serta pembangunan kepimpinan bagi menyediakan anak tempatan memikul peranan teknikal, komersial dan pengurusan.
Pada masa yang sama, pembangunan kapasiti tempatan turut diperkukuhkan melalui pelaksanaan Arahan Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) yang menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai industri minyak dan gas serta membuka ruang pemindahan teknologi dan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan.
Usaha ini turut disokong melalui Manpower Industry Steering Committee (MISC) – Energy, yang menyelaras perancangan tenaga kerja antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi memastikan pembangunan kemahiran selari dengan keperluan masa hadapan sektor tenaga. Melalui penyelarasan ini, jurang kemahiran dapat dikenal pasti lebih awal, piawaian kompetensi dapat ditetapkan secara konsisten, dan intervensi pembangunan bakat dapat dilaksanakan secara tersasar.
Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini memastikan perkembangan industri huluan negara akan memperkukuhkan pembangunan kepakaran anak tempatan secara berterusan. Pendekatan ini akan meningkatkan nilai tambah dalam negeri serta memastikan pembangunan sektor tenaga negara terus dipacu oleh kepimpinan, kepakaran dan keupayaan anak tempatan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.