Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL114
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABD. RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan adakah perancangan Kementerian Hal Ehwal Ugama atau Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk memperkenalkan konsep 'Satu Rumah Satu Kebun' atau 'Pertanian Murah dan Mudah' kepada golongan penerima-penerima bantuan yang able-body, ibu-ibu tunggal, dan asnaf?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Untuk makluman, inisiatif yang seumpamanya pernah dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melalui Program Mudah dan Murah, yang bertujuan memperkenalkan konsep pertanian berskala kecil dan mudah diurus kepada penerima bantuan yang berpotensi. Di bawah program tersebut, seramai 50 peserta telah dibekalkan dengan set lengkap termasuk struktur piramid tanaman, sistem hidroponik, bekas tanaman serta baja bagi membolehkan mereka memulakan aktiviti penanaman secara kecil-kecilan di kediaman masing-masing.
Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan teknikal daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan melalui sesi taklimat, bimbingan asas penanaman serta khidmat nasihat berkaitan pengurusan tanaman. Pendekatan ini selaras dengan usaha memperluas peluang penjanaan pendapatan alternatif dan meningkatkan keselamatan makanan di peringkat isi rumah.
Walau bagaimanapun, penilaian pelaksanaan mendapati tahap penglibatan berterusan dalam kalangan peserta adalah terhad. Antara cabaran yang dikenal pasti termasuk kekangan masa, komitmen keluarga dan pekerjaan lain, serta tahap kesediaan dan minat peserta yang berbeza-beza. Pengalaman ini memberikan pengajaran penting bahawa kejayaan program seumpama ini bukan hanya bergantung kepada penyediaan peralatan, tetapi memerlukan pemilihan peserta yang lebih bersasar, pemantauan berstruktur serta sokongan berterusan dari segi teknikal dan motivasi.
Sehubungan itu, Kementerian berpandangan bahawa konsep seperti 'Satu Rumah Satu Kebun' atau 'Pertanian Murah dan Mudah' masih relevan, khususnya bagi penerima bantuan yang berkeupayaan bekerja (able-bodied), ibu-ibu tunggal serta golongan asnaf yang mempunyai minat dan komitmen untuk meningkatkan sumber pendapatan atau mengurangkan kos sara hidup isi rumah. Namun, sekiranya dilaksanakan semula pada masa hadapan, pendekatan yang lebih berfokus dan berperingkat akan dipertimbangkan, termasuk pemilihan peserta berdasarkan penilaian kesesuaian, latihan praktikal yang lebih intensif, serta mekanisme pemantauan dan bimbingan yang lebih konsisten.
Kementerian juga akan terus meneliti potensi kerjasama strategik bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta agensi berkaitan bagi memastikan sebarang pelaksanaan baharu mengambil kira faktor kebolehlaksanaan, impak ekonomi isi rumah dan keberlanjutan jangka panjang. Pendekatan ini penting supaya inisiatif yang diperkenalkan bukan sekadar bersifat bantuan tambahan, tetapi benar-benar menjadi platform pemerkasaan yang praktikal dan berdaya maju bagi golongan sasaran.
Dikongsikan strategi di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi mengembang maju masyarakat yang juga selaras dengan strategi dalam Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan, di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS). Antara inisiatif tersebut ialah penerima-penerima bantuan yang able-bodied dan able-to-work yang tinggal di bandar atau luar bandar, diberikan peningkatan keupayaan dalam bentuk latihan kemahiran dan keusahawanan di bawah Program Pengupayaan. Program ini dilaksanakan secara bersepadu dengan agensi-agensi berkepentingan yang lain, khususnya JAPEM melalui latihan kemahiran dan program-program keusahawanan penerima-penerima bantuan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.