Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL082
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
YANG BERHORMAT AWANG HAJI MD. SALLEH BIN HAJI OTHMAN meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan bagaimanakah dapatan penyelidikan sejarah, arkeologi dan oral history dapat dimanfaatkan bagi mengenalpasti tapak-tapak bersejarah yang masih belum diterokai atau didokumentasikan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Perlu ditegaskan bahawa pengenalpastian dan dokumentasi tapak bersejarah tidak boleh dilakukan berdasarkan tafsiran atau andaian semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan bersepadu yang berasaskan bukti kukuh melalui tiga kaedah utama:
i. Penyelidikan Sumber Bertulis (Manuskrip dan Bahan Arkib)
Penyelidikan dimulakan dengan meneliti sumber bertulis seperti Salasilah Raja-Raja Brunei, Syair, surat perjanjian lama serta catatan pengembara dan perdagangan Barat. Dokumen yang tersimpan di Arkib Negara Brunei Darussalam, perpustakaan dan muzium ini dianalisis secara kritikal untuk mengenalpasti petunjuk lokasi yang berpotensi menjadi tapak bersejarah. Kajian ini penting sebagai asas rujukan ilmiah dalam memahami perkembangan sejarah, pemerintahan dan penempatan awal yang membentuk identiti warisan negara.
ii. Kajian Arkeologi dan Bukti Fizikal
Hipotesis daripada sumber bertulis kemudiannya diuji melalui kajian lapangan dan penemuan arkeologi seperti serpihan tembikar, alat batu, struktur binaan lama, batu nisan, makam serta tinggalan sejarah maritim. Bukti fizikal ini memberikan pengesahan saintifik tentang kewujudan aktiviti manusia pada sesuatu tempoh sejarah serta membantu menentukan kepentingan dan fungsi sesebuah tapak sebagai sebahagian daripada khazanah warisan negara.
Sebagai contoh Tapak Sungai Lumut telah mula digali sejak tahun 1968, 1978 dan 1980an. Penyelidikan dan penggalian seterusnya dijalankan pada 10 Julai 1999 dan menemui beberapa keping pecahan artifak seperti manik dan tembikar.
Selain itu, kerja-kerja penyelidikan di tapak projek pembinaan rumah di Mukim Peramu dan Kampong Saba, Mukim Saba telah dijalankan pada 26 Mei 2011, 30 Mei 2011 dan 14 Jun 2011. Projek penyelidikan ini adalah merupakan susulan laporan daripada Jabatan Kerja Raya mengenai penemuan artifak semasa projek dijalankan. Lawatan tersebut telah menemui sejumlah artifak termasuk pecahan tembikar sebanyak 108. Kerja-kerja pemantauan bagi projek The Regeneration of River Eco-Corridor telah diadakan pada tahun 2014 di Kampong Sumbiling Lama memandangkan kampong tersebut mempunyai sejarah dan potensi dalam penemuan arkeologi.
Walaubagaimanapun, hasil pemantauan bersama pihak Jabatan Kerja Raya mengesahkan bahawa tidak menemui sebarang artifak lama di kawasan tersebut. Seterusnya, kerja-kerja penyelidikan dan penggalian berterusan di Tapak Kota Batu dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei telah dilaksanakan pada tahun 2024 dan menemukan beberapa peninggalan artifak seperti pecahan batu nisan, pecahan badan makam dan seramik.
Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa penemuan bahan arkeologi bukan sahaja berfungsi sebagai bukti sejarah tetapi juga sebagai panduan penting dalam mengenal pasti tapak baharu yang mempunyai potensi untuk diterokai dan didokumentasikan.
iii. Pengukuhan melalui Sejarah Lisan
Maklumat daripada komuniti setempat termasuk orang-orang tua dan pengkaji tempatan disemak silang dengan dokumen dan artifak arkeologi. Tradisi lisan ini menyimpan ingatan kolektif yang membantu mengenal pasti tapak bersejarah serta memperkukuh pemeliharaan nilai sejarah dan budaya untuk generasi akan datang.
Apabila ketiga-tiga sumber ini digabungkan dan dibandingkan, penyelidik dapat mengenal pasti pola serta persamaan ciri geografi sesuatu kawasan, seterusnya meramalkan lokasi lain yang berpotensi mempunyai tinggalan budaya. Kawasan yang dikenal pasti kemudiannya boleh disahkan melalui tinjauan lapangan dan dokumentasi sistematik bagi memastikan tapak tersebut direkodkan dan dipelihara dengan sewajarnya. Selain itu, pemantauan kawasan yang terlibat dalam pembangunan baharu, turut membantu bagi memastikan sebarang penemuan artifak arkeologi dapat dikenal pasti dan direkodkan, sebelum kerja-kerja tanah dimulakan.
Oleh itu, usaha dan pendekatan yang bersepadu ini amat penting bagi menjamin kelestarian tinggalan budaya untuk rujukan serta manfaat generasi akan datang.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.