Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL041
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI HAL EHWAL UGAMA menyatakan jika aset wakaf dan baitulmal dapat dimanfaatkan dalam pembangunan jangka panjang dengan produktif bagi menjana pulangan mampan serta mempermudahkan daya ekonomi komuniti secara berterusan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama
Sukacita menjelaskan tentang maksud aset dalam kontek wakaf iaitu seperti juga aset dalam kontek zakat. Kedua-duanya itu memang bermaksud dan merupakan aset yang dalam hubungannya dengan zakat ia dikutip, dikumpul dan diagihkan kepada asnafnya; dan dalam kontek wakaf ia adalah aset yang diterima dan dikumpul untuk seterusnya dilaksanakan atau dikembangkan sesuai dengan jenisnya iaitu menurut niat atau tujuan pewakafnya sama ada wakaf am' atau wakaf khas.
Sementara Baitulmal - makna asalnya dan fungsinya dalam sistem pemerintahan dan kerajaan Islam sejak zaman Rasulullah Shallahu 'alaihi wassalam adalah suatu lembaga atau boleh dinamakan juga sebagai sebuah jabatan yang menyelenggarakan urusan kewangan dan harta atau aset yang bersumber daripada apa yang disebut pada masa lalu itu sebagai kharaj, jizyah, zakat, al-fai'u, ghanimah, 'usyur dan termasuk juga aset-aset wakaf.
Baitul-mal itu dengan fungsinya pada zaman dahulu boleh dikatakan sama dengan Jabatan Perbendaharaan (Treasury Department) yang ada sebelum adanya Kementerian Kewangan yang sekarang dengan nama barunya sesuai tambahan fungsi dan autoritinya menjadi Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Itulah makna asal sebenar Baitulmal. Sekarang sudah lain setelah ia menjadi sebahagian dari Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal.
Sekarang kaola menjawab soalan: (Adakah) jika aset wakaf dan baitulmal dapat dimanfaatkan dalam pembangunan jangka panjang dengan produktif bagi menjana pulangan mampan serta mempermudahkan daya ekonomi komuniti secara berterusan.
Dengan tegas, kaola menyatakan: Ya! Aset wakaf adalah dapat atau boleh dimanfaatkan untuk tujuan sedemikian bahkan memang kerana itulah aset wakaf boleh untuk dikembang majukan sesuai dengan niat pewakaf apakah ia wakaf 'am atau wakaf khas.
Dalam era awal Majlis Ugama Islam (tahun-tahun '50an) yang antara fungsinya ialah menjadi pemegang harta wakaf. Maka pada era-era '50an itu orang berwakaf tanah untuk tapak membangun masjid atau laluan jalan di tengah perkampungan. Dengan itu aset wakaf sedemikian tidaklah berpotensi untuk dikembang majukan yang boleh mendatangkan pulangan dan seterusnya dengan pulangan yang dijangkakan itu akan menjadi pendapatan yang mampan bagi komuniti bahkan bagi umat Islam.
Pada masa sekarang kita biasa mendengar, sebagai misal, ada orang mewakafkan sejumlah wang kepada masjid untuk digunakan bagi menyediakan bilik jenazah di masjid atau kereta jenazah atau kedua-duanya sekali untuk kegunaan masjid yang sekarang sudah lazim menjadi tempat pengurusan jenazah.
Maka aset wakaf yang dapat dikembangkan ialah seperti tanah sebagaimana halnya semenjak tahun 1994 apabila Badan Tanmiah ditubuhkan untuk mengembang majukan beberapa aset atau harta wakaf yang dalam kelolaan MUIB.
Pada era tahun '90-an itu usaha yang mudah mendatangkan pulangan pendapatan ialah dengan membina bangunan-bangunan untuk disewakan di atas tanah wakaf. Dengan sebab itulah makanya Badan Tanmiah telah mempunyai beberapa bangunan di beberapa kawasan di negara ini termasuk memiliki dan mengurus sebuah station minyak di kawasan Kg. Limau Manis persimpangan jalan ke Kuala Lurah.
Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam - seperti sedemikian itu entiti dan identitinya iaitu sebuah badan yang ditubuhkan untuk mengembangkan harta atau aset yang dalam bidang kuasa pengendalian Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) khasnya aset berupa wakaf.
Selain menjana pulangan pendapatan Badan Tanmiah juga memberikan pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Pada masa ini Badan Tanmiah sedang berusaha untuk menyertai usaha niaga di bidang-bidang lain seperti bidang yang selaras dengan dasar Kerajaan untuk meningkatkan penghasilan yang menjamin food security misalnya.
Demikian pula JUZWAB. Selain bekerjasama dan menyokong inisiatif-inisiatif baharu Badan Tanmiah dalam mengembangkan harta wakaf, JUZWAB berusaha bersama Jabatan Perundangan Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan dengan Majlis Ugama Islam Brunei sedang giat memuktamadkan rang Akta Wakaf yang dalam peringkat akhir penggubalannya untuk lebih komprehensif dan memperkasa tadbir urus yang profesional, khasnya dengan melihat kepada beberapa modeliti pengembangan harta wakaf yang maju di luar negara, yang terbukti telah memberi manfaat yang berimpak positif dalam menyumbang kepada pembangunan jangka panjang dengan produktif bagi menjana pulangan mampan.
Pengembangan seterusnya harta wakaf di bawah Akta Wakaf itu setentunya akan juga dapat menyumbang atau menampung dalam pembangunan infrastruktur sosiorelegi yang dilaksanakan oleh Kerajaan dan menampung juga ke arah jaminan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khasnya dalam menyantuni ehwal komuniti bahkan umat Islam di negara kita.
Maka setentunya dengan perkembangan sedemikian pengembangan harta atau aset wakaf di masa yang akan datang akan juga mendatangkan impak positif melegakan fiskal Kerajaan bagi sebahagian perkhidmatan sosio-relegi itu. Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memudahkan urusan dengan lancar dan seterusnya mentaufekan inisiatif - inisiatif baharu dalam mengurus aset-aset wakaf ke arah yang diredhai-Nya. Amin.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.