Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL050
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan usaha Kementerian dalam menangani sebahagian belia tempatan yang mengelak pekerjaan yang menuntut disiplin atau kemahiran khusus dan enggan memberikan komitmen jangka panjang dan mempunyai pemikiran kerjaya jangka pendek?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Berkenaan isu pemikiran jangka pendek ataupun job-hopping, perkara ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu kegagalan semata-mata, sebaliknya merupakan refleksi pasaran kerja masa kini yang bukan statik.
Sebenarnya perkara yang dibangkitkan bukanlah satu isu yang dapat ditangani oleh mana-mana pihak secara silo atau sendirian akan tetapi pendekatan senegara (whole of nation approach) perlu diambil. Salah satu inisiatif yang dilaksanakan ialah melalui program pengukuhan jati diri, khususnya melalui Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan Program Jati Diri (PJD). Program-program ini telah terbukti berkesan dalam mentransformasikan karakter belia, merangkumi aspek disiplin tegar, nilai keugamaan, etika berkomunikasi, serta membina ketahanan diri (resilience) yang tinggi sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan. Melalui kerjasama strategik dengan Pusat Pekerjaan Brunei di Jabatan Perdana Menteri dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), program PJD yang difokuskan kepada penuntut iSkill telah berjaya membina kesediaan mental dan fizikal mereka untuk bekerja dalam bidang teknikal yang mencabar. Profil kejayaan peserta menunjukkan bahawa ini adalah pelaburan modal insan yang sangat berbaloi dalam melahirkan belia yang kompetitif dan mempunyai daya tahan untuk memberikan komitmen jangka panjang.
Walau bagaimanapun, kementerian ingin menekankan bahawa isu ketahanan di tempat kerja atau staff retention bukan hanya terletak pada bahu belia. Pihak majikan perlu memainkan peranan aktif dalam menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan kondusif bagi mengelakkan budaya kerja toksik atau eksploitasi yang boleh mematahkan semangat belia. Untuk memastikan belia kekal komited, majikan digalakkan melihat pekerja sebagai aset berharga melalui penyediaan imbalan yang setimpal, insentif yang betul, serta latihan berterusan. Usaha ini diperkukuhkan lagi melalui Pusat Pembangunan Belia (PPB) yang membekalkan kemahiran khusus, di mana data dari tahun 2022 hingga 2024 menunjukkan kadar kebolehpasaran lepasan PPB adalah sebanyak 84.5%. Ini membuktikan bahawa belia kita sebenarnya bersedia menyahut cabaran pekerjaan berkemahiran khusus apabila diberikan platform yang tepat.
Selain pasaran kerja formal, kementerian turut memperkasa bidang keusahawanan melalui platform seperti BizBelia iaitu kolaborasi strategik dengan Bank Usahawan Berhad. Sejak dilancarkan pada Ogos 2025, produk ini telah menerima 36 permohonan dan diperkukuhkan dengan elemen bimbingan (mentoring) bersama rakan-rakan strategik seperti DARe serta kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi/universiti bagi memastikan usahawan muda mempunyai visi perniagaan yang mampan.
Secara keseluruhannya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan amat komited dalam usaha ini, namun ia memerlukan pendekatan bersepadu antara kerajaan, belia, dan pihak majikan. Dengan transformasi jati diri yang kuat dan sokongan persekitaran kerja yang adil, kita yakin belia Brunei akan lebih bersedia membina kerjaya jangka panjang yang berimpak selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.