Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL108
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA LAILA SETIA DATO SERI SETIA AWANG HAJI ABD. RAHMAN BIN HAJI IBRAHIM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan perkembangan terbaru dalam kemasukan FDI hasil aktiviti promosi pelaburan ke negara-negara luar dari segi bidang, nilai pelaburannya dan bilangan peluang pekerjaan yang akan diwujudkan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Dikongsikan perkembangan terkini berkaitan kemasukan FDI ke Negara Brunei Darussalam, hasil daripada aktiviti promosi pelaburan yang telah dilaksanakan ke beberapa negara luar.
Setakat bulan Januari 2026, sebanyak 25 syarikat FDI telah beroperasi di Negara Brunei Darussalam yang mana telah menjana lebih kurang 4 ribu peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan. Manakala, 18 projek pelaburan pula sedang di dalam fasa pelaksanaan, yang mana diunjurkan akan mampu menjana lebih kurang 3 ribu peluang pekerjaan tambahan apabila kesemua 18 projek pelaburan tersebut beroperasi sepenuhnya.
Pelaburan ini merangkumi sektor hiliran minyak dan gas, pemakanan, perkhidmatan perniagaan, ICT dan pelancongan, yang mana sejajar dengan sektor-sektor keutamaan negara.
Bagi tempoh bulan April 2025 hingga Mac 2026, pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) juga telah menghubungi sebanyak 126 syarikat bagi membincangkan peluang pelaburan di Negara Brunei Darussalam dan dalam tempoh tersebut, sebanyak 42 projek telahpun diberikan kepada agensi-agensi Kerajaan yang berkepentingan dan berkaitan. Daripada jumlah ini, sebanyak 7 projek telah berjaya disokong dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran (Jawatankuasa Pandu FDIDI).
Seterusnya, izinkan juga saya untuk mengongsikan mengenai dengan salah satu contoh projek FDI baharu, iaitu cadangan Penubuhan Loji Pengeluaran Isopropyl Alcohol (IPA) di Pulau Muara Besar (PMB) oleh Syarikat Clear Chemicals (B) Sdn Bhd (yang sebelumnya dikenali sebagai Syarikat KKM Chemicals) dari Republik India dengan nilai pelaburan sebanyak USD5.8 juta.
Produk Isopropyl Alcohol ini merupakan bahan asas penting dalam industri farmaseutikal, kimia dan elektronik. Projek ini diharap akan dapat meningkatkan jaminan bekalan domestik dan mewujudkan rantaian nilai hiliran yang bersepadu dengan operasi Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd, di Pulau Muara Besar, memandangkan pengeluarannya memerlukan propylene yang dihasilkan oleh syarikat tersebut. Pembinaan projek ini disasarkan untuk bermula pada suku ketiga tahun 2026, manakala operasi komersial bagi Fasa 1 dijangka bermula menjelang penghujung tahun 2027.
Projek ini juga berpotensi mewujudkan sekitar 250 peluang pekerjaan bagi kedua-dua fasa, dengan sekurang-kurangnya 70 peratus daripadanya disasarkan untuk diisi oleh tenaga kerja tempatan, termasuk jawatan teknikal bernilai tinggi yang menyokong pembangunan tenaga kerja mahir negara.
Selain itu, di bawah inisiatif pelaburan melalui Dana Modal Pembangunan Strategik (SDC), projek-projek besar seperti Fasa 2 Hengyi Industries di Pulau Muara Besar, dan projek Acetic Acid & Aniline (AAA) melalui Polygel Intermediates Sdn Bhd di Sungai Liang Industrial Park (SPARK) yang dijangka beroperasi menjelang 2028, akan dapat menambah nilai bahan mentah tempatan dan memperluaskan rantaian nilai industri.
InsyaAllah, dengan ada projek-projek baru ini, ianya bukan sahaja akan meningkatkan dan boleh menarik pelaburan langsung asing yang lain, malah dijangka akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti secara berperingkat, terutama jua dalam bidang kejuruteraan, operasi kilang, logistik dan sektor perkhidmatan teknikal serta membawa pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.