Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL022
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan apakah mekanisme bagi mengawal urustadbir pelaburan langsung asing? Apakah usaha bagi memastikan peraturan, prosedur dan kebolehjangkaan keputusan pelaburan dalam konteks prestasi FDI yang lemah dan aliran keluar bersih pelaburan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Pihak Kerajaan melaksanakan kawal urus pelaburan langsung asing (FDI) melalui rangka kerja dasar dan peraturan pelaburan yang komprehensif, dengan proses penilaian serta kelulusan yang melibatkan beberapa agensi utama Kerajaan bagi memastikan keputusan dibuat secara telus dan selaras dengan kepentingan strategik Negara. Ianya juga berasaskan pendekatan 'whole-of-government' bagi memastikan setiap cadangan dinilai secara menyeluruh.
Sebagai agensi peneraju FDI di Negara Brunei Darussalam, pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) berperanan untuk melaksanakan penilaian awal bagi setiap cadangan pelaburan yang diterima. Proses ini melibatkan juga kementerian dan agensi berkepentingan yang relevan iaitu untuk membolehkan sebarang isu atau kebimbangan dapat dikenal pasti dan ditangani awal sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan seterusnya. Ini bukan sahaja akan dapat memperkukuhkan tadbir urus, malah mengurangkan risiko kelewatan serta meningkatkan kepastian dalam proses membuat keputusan.
Cadangan yang telah diteliti dari segi teknikal dan fiskal kemudiannya akan dibentangkan pula di dalam Jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran (Jawatankuasa Pandu FDIDI) yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada beberapa Menteri-Menteri Kabinet, dan bertujuan untuk menilai kesesuaian strategik pelaburan tersebut selaras dengan keutamaan pembangunan negara. Struktur ini memastikan keputusan akan dapat dibuat secara kolektif, telus dan berakauntabiliti.
Berhubung dengan kebolehjangkitan dan ketelusan keputusan pelaburan, Kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan persekitaran perniagaan, pengekalan pelabur sedia ada serta penggalakan pelaburan berkualiti tinggi yang berpotensi menjana nilai tambah ekonomi dan peluang pekerjaan secara mampan. Antara usaha berterusan yang dilaksanakan termasuk menyediakan platform pemudahcara bagi membantu para pelabur dalam proses pelaksanaan pelaburan mereka. Ini merangkumi juga bantuan penyelarasan bersama agensi-agensi yang berkepentingan, pemantauan garis masa pemprosesan serta saluran penyelesaian isu secara berpusat.
Selain itu, pengawalselia sektor-sektor berkaitan serta agensi- agensi Kerajaan yang berkaitan turut memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan, termasuk aspek percukaian dan pemfailan yang berkaitan. Agensi-agensi Kerajaan juga bekerjasama secara bersepadu untuk meningkatkan prestasi FDI Negara, termasuk memastikan pembangunan tenaga kerja yang mencukupi, yang merupakan antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang sentiasa dipantau.
Dalam konteks prestasi FDI yang lemah dan net outflow of investment, perkara ini perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas. Secara global, aliran FDI telah menunjukkan tren yang lebih sederhana dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan ketidaktentuan ekonomi, keadaan kewangan yang lebih ketat serta faktor pergolakan geopolitik yang telah mempengaruhi keputusan pelaburan rentas sempadan.
Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada terkesan oleh perkembangan global tersebut. Walau bagaimanapun, bagi Brunei Darussalam, aliran keluar bersih yang direkodkan dalam tempoh tertentu sebahagiannya juga dipengaruhi oleh pembayaran balik hutang serta penstrukturan semula kewangan oleh syarikat multinasional, dan tidak semestinya mencerminkan penarikan pelaburan secara keseluruhan.
Walhal, pada masa yang sama, jumlah projek yang telah diluluskan menunjukkan peningkatan, dan ada terdapat pelabur-pelabur yang sudah bertapak di NBD yang telah membuat pelaburan tambahan serta peluasan kapasiti bagi operasi mereka. Ini mencerminkan adanya keyakinan berterusan terhadap kestabilan dasar dan persekitaran perniagaan negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.