Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL080
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman
Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman meminta Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menyatakan status dasar pengagihan subsidi pertanian kepada petani dan pengusaha serta penilaian keberkesanan subsidi pertanian dalam meningkatkan produktiviti, kualiti hasil dan pendapatan petani?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Dasar pengagihan subsidi pertanian pada masa ini dilaksanakan melalui Skim Insentif Pertanian dan Agrimakanan (SIPA) yang diuruskan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. Skim ini bertujuan menyediakan sokongan kepada pengusaha dan peladang, khususnya pada peringkat awal perusahaan, melalui bantuan input seperti baja, racun, biji benih, bahan pembungkusan serta peralatan ladang.
Jumlah perbelanjaan subsidi bagi Tahun Kewangan 2025/2026 adalah sebanyak BND$1,115,127, yang telah disalurkan bagi menyokong kos pengeluaran seperti baja, racun dan biji benih. Pada 2025, hasil daripada sokongan tersebut, jumlah pengeluaran tanaman telah mencapai nilai sebanyak BND$63.51 juta, menunjukkan bahawa usaha seperti ini telah memainkan peranan penting dalam merangsang peningkatan produktiviti serta memastikan kelangsungan pengeluaran sektor tanaman.
Matlamat utama skim ini adalah untuk membantu meningkatkan pengeluaran pertanian dan agrimakanan, memperkukuh daya saing pengusaha tempatan serta menggalakkan penyertaan lebih ramai pengusaha dalam sektor ini, khususnya petani kecil dan golongan belia.
Dari segi status dasar semasa, bantuan SIPA diberikan bagi tempoh lima tahun pertama sebagai pemangkin untuk mengurangkan kos permulaan perusahaan. Pendekatan ini bertujuan membantu pengusaha membina kapasiti teknikal dan kewangan sehingga mampu berdikari tanpa bergantung kepada bantuan Kerajaan dalam jangka panjang.
Berhubung dengan penilaian keberkesanan skim ini, Kementerian sentiasa menjalankan pemantauan dan penelitian bagi memastikan subsidi yang diberikan memberikan impak yang sewajarnya kepada pembangunan sektor pertanian.
Dari segi produktiviti pengeluaran, subsidi input seperti baja, racun dan biji benih membantu mengurangkan kos pengeluaran serta memudahkan pengusaha meningkatkan keluasan dan intensiti pengeluaran.
Dari segi kualiti hasil, Kementerian menekankan bahawa subsidi input perlu disertai dengan pematuhan kepada Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices – GAP), penggunaan input yang sesuai serta penerapan teknologi moden bagi memastikan hasil yang lebih berkualiti dan selamat.
Dari segi pendapatan pengusaha, subsidi membantu mengurangkan kos operasi dan seterusnya meningkatkan margin keuntungan, khususnya bagi peladang kecil. Namun demikian, Kementerian turut mengambil pendekatan berterusan untuk memastikan subsidi disasarkan secara lebih berkesan serta mengelakkan ketirisan dalam pelaksanaannya.
Secara keseluruhannya, subsidi pertanian ini dilihat bukan sebagai mekanisme sokongan yang bersifat kekal, ianya bertujuan untuk membantu syarikat dan juga para pengusaha memperkukuhkan daya tahan (resilience) perusahaan mereka, sekali gus membolehkan mereka menjadi lebih berdikari dan tidak bergantung secara berterusan kepada skim bantuan Kerajaan. Skim ini juga dijangka dapat membantu syarikat mencapai tahap kemampanan operasi serta bergerak secara mandiri dalam jangka masa panjang.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.