Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL029
SOALAN
Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin
YANG BERHORMAT DR. AWANG HAJI MAHALI BIN HAJI MOMIN meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan strategi untuk membangunkan Pusat Sejarah Brunei Darussalam (PSB) sebagai teras kepada ekosistem pengalaman sejarah bersepadu yang merangkumi muzium, tapak warisan, naratif digital dan laluan sejarah?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Dalam menjadikan PSB sebagai teras kepada ekosistem pengalaman sejarah bersepadu yang merangkumi muzium, tapak warisan, naratif digital serta laluan sejarah negara, strategi utama PSB adalah berasaskan kepada pengukuhan kedudukannya sebagai sebuah Pusat Pesejarahan yang Autoritatif dan Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei. Kedudukan ini dibina melalui pencapaiannya dalam bidang penyelidikan, pemeliharaan warisan, pengukuhan fungsi rujukan, penerbitan ilmiah, transformasi digital serta jaringan kerjasama strategik di dalam dan luar negara.
Dari sudut penyelidikan, sehingga kini PSB telah berjaya mengumpul dan mendokumentasikan lebih daripada 10,000 bahan sejarah yang merangkumi sejarah Kesultanan Brunei, Salasilah Raja-Raja Brunei, tokoh-tokoh penting negara, tapak warisan serta sejarah masyarakat di seluruh negara. Bagi meningkatkan standard dan kualiti penyelidikan ini, PSB turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institusi dalam dan luar negara seperti Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Universiti Kebangsaan Malaysia serta Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim.
Dalam masa yang sama, usaha pemuliharaan makam Sultan-Sultan Brunei dan tapak bersejarah terus dilaksanakan secara berterusan. Inisiatif ini bukan sahaja memelihara warisan fizikal negara, bahkan menjadikannya sebagai pusat sumber ilmu dan rujukan sejarah Kesultanan Brunei yang dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang.
Dari segi pengukuhan fungsi rujukan pula, PSB kini menyimpan lebih daripada 87,000 koleksi bahan sejarah yang meliputi manuskrip, dokumen, buku ilmiah serta pelbagai sumber sejarah Kesultanan dan Borneo yang tersimpan di perpustakaan, Pusat Pengkajian Borneo dan Bahagian Penyelidikan. Sehingga kini hampir 50,000 bahan telah berjaya didigitalkan bagi memastikan pemeliharaan jangka panjang serta memudahkan akses kepada penyelidik, pelajar dan masyarakat umum.
Dalam bidang penerbitan pula, PSB telah menerbitkan lebih daripada 220 judul buku sejarah, termasuk karya akademik serta terjemahan dalam bahasa Arab dan Cina yang membantu memperkenalkan sejarah Brunei ke peringkat antarabangsa. Pencapaian ini sekali gus memperkukuhkan kedudukan PSB sebagai pusat rujukan sejarah Brunei dan Borneo yang autoritatif serta diyakini dan terus berkembang sebagai institusi ilmiah yang profesional di peringkat serantau dan global.
Selaras dengan perkembangan teknologi global, PSB turut melaksanakan transformasi digital dalam memperkaya pengalaman pameran melalui penggunaan teknologi Augmented Reality, Virtual Reality, paparan 360 darjah serta permainan video interaktif, hasil daripada kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Brunei. Selain itu, PSB juga mula menerapkan penggunaan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) dalam penghasilan bahan visual, penerbitan serta kandungan pameran digital bagi meningkatkan kualiti penyampaian maklumat sejarah. Dalam masa yang sama, usaha juga sedang dilaksanakan untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran pegawai serta kakitangan dalam penggunaan AI agar teknologi ini dapat dimanfaatkan secara optimum dalam penyelidikan dan pengurusan bahan sejarah.
Dari aspek pembudayaan sejarah, PSB terus memperluaskan capaian sejarah kepada masyarakat melalui pelbagai program pendidikan, forum, ceramah, bengkel serta jerayawara sejarah yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi, mukim dan kampung, agensi kerajaan serta sektor swasta. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sahaja iaitu dari tahun 2023 hingga 2026, sebanyak 937 program dan aktiviti sejarah telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan lebih daripada 165,000 peserta secara keseluruhannya. Selain itu, melalui program jerayawara seperti Kembara Sejarah dan Perjalanan Kebudayaan, PSB telah melaksanakan pelbagai pameran bergerak dan aktiviti sejarah ke seluruh negara yang turut melibatkan ribuan peserta setiap tahun. Pendekatan ini berjaya membawa sejarah keluar dari institusi dan mendekatkannya secara langsung kepada masyarakat, sekali gus meningkatkan kefahaman serta penghayatan terhadap sejarah negara dan falsafah Melayu Islam Beraja sebagai asas identiti kebangsaan. Berdasarkan daripada jumlah program dan aktiviti yang telah dilaksanakan, dalam tempoh dari bulan April 2025 hingga bulan Februari 2026 sahaja sebanyak 113 kerjasama strategik telah berjaya dilaksanakan.
Dalam aspek pembangunan kapasiti pula, PSB turut memberi penekanan kepada peningkatan profesionalisme pegawai dan kakitangannya melalui pelbagai latihan, seminar, bengkel serta persidangan ilmiah di dalam dan luar negara. Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini sahaja, lebih daripada 300 program pembangunan kapasiti telah dilaksanakan bagi memperkukuhkan kepakaran dalam bidang penyelidikan sejarah, pemeliharaan warisan, teknologi digital dan penerbitan ilmiah.
Di samping itu, PSB juga memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan industri kreatif dan seni melalui penganjuran bengkel penulisan sejarah, pertandingan esei dan pidato sejarah, bengkel seni khat dan kaligrafi, penghasilan karya sastera dan syair sejarah serta dokumentari dan animasi sejarah yang memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengangkat sejarah negara melalui medium kreatif dan inovatif.
Dengan pencapaian dan hala tuju ini, PSB InsyaAllah akan terus berkembang bukan sahaja sebagai pusat sumber pensejarahan yang autoritatif, malah sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei yang berperanan memelihara, memperkasa dan memperluaskan ilmu persejarahan negara.
Melalui kekuatan penyelidikan, pemeliharaan warisan, penerbitan ilmiah, inovasi digital serta jaringan kerjasama strategik di dalam dan luar negara, PSB akan terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pusat rujukan sejarah yang diyakini, bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam tetapi juga dikenali di peringkat serantau dan global, sekali gus memastikan legasi Kesultanan Brunei terus hidup, difahami dan dihormati oleh generasi masa depan serta masyarakat antarabangsa.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.