Jawapan bagi Pertanyaan Lisan PL102
SOALAN
Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann
YANG BERHORMAT AWANG MOHAMMAD BIN ABDULLAH @ LIM SWEE ANN meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan bagaimana kementerian mentakrifkan hasil pertanian bermutu tinggi dan bagaimana pematuhan piawaian di peringkat pengeluaran dilaksanakan dan dikuatkuasa?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan mentakrifkan hasil pertanian bermutu tinggi sebagai produk yang memenuhi piawaian keselamatan makanan, kualiti fizikal serta pematuhan kepada peraturan dan standard pengeluaran yang ditetapkan. Produk tersebut bukan sahaja berkualiti dari segi rupa, rasa dan kesegaran, tetapi juga selamat untuk dimakan serta dihasilkan melalui amalan pengeluaran yang baik dan terkawal.
Dalam memastikan hasil pertanian tempatan memenuhi piawaian ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan melaksanakan pendekatan yang berstruktur merangkumi pensijilan, pemantauan serta penguatkuasaan pematuhan di peringkat pengeluaran.
1. Pelaksanaan skim pensijilan dan pengiktirafan
Jabatan memperkenalkan skim pensijilan seperti Brunei Good Agricultural Practices (BGAP) dan Brunei Pesticide Free (BPF) yang bertujuan memastikan pengeluaran hasil tanaman dilaksanakan mengikut amalan pertanian yang baik serta penggunaan input pertanian yang terkawal. Pensijilan ini turut disokong oleh audit pematuhan yang dijalankan secara berkala sebelum dan selepas pengiktirafan diberikan.
2. Pemantauan dan pemeriksaan secara berkala di peringkat ladang
Pemantauan dilaksanakan melalui lawatan pemeriksaan ke ladang dan rumah pembungkusan, di samping pensampelan hasil bagi tujuan analisis residu racun perosak serta ujian makmal. Semakan rekod penggunaan input seperti racun perosak, baja dan bahan kawalan biologi turut dilaksanakan bagi memastikan pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan.
3. Pembangunan kapasiti dan bimbingan teknikal kepada pengusaha
Selain penguatkuasaan, Kementerian turut memberi penekanan kepada pendidikan dan pembangunan kapasiti pengusaha melalui latihan, taklimat serta khidmat nasihat teknikal. Garis panduan serta standard operating procedure (SOP) turut disediakan bagi membantu pengusaha melaksanakan amalan pengeluaran yang selamat dan berkualiti.
Di samping itu, bagi produk agrimakanan yang diproses, Kementerian juga memudah cara pengusaha mendapatkan pensijilan keselamatan makanan seperti GMP dan HACCP serta menjalankan pensampelan produk untuk analisis mikrobiologi dan kimia bagi memastikan pematuhan kepada keperluan keselamatan makanan.
Melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi pensijilan, pemantauan, analisis makmal serta pembangunan kapasiti pengusaha, Kementerian berusaha memastikan bahawa hasil pertanian tempatan bukan sahaja memenuhi piawaian food safety, malah berdaya saing dalam pasaran domestik dan juga pasaran eksport.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.