Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT040
SOALAN
Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin
YANG BERHORMAT AWANG HAJI SALLEH BOSTAMAN BIN HAJI ZAINAL ABIDIN meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan status dana Patient Charity Aid bagi pesakit warga emas PR yang menghadapi kesukaran kewangan dan mempunyai penyakit sedia ada. Apakah keberkesanan kaedah pertimbangan klinikal dan penilaian Medical Social Services yang seharusnya mengutamakan pesakit (patient centric) bagi mencegah kemerosotan penyakit dan rawatan kecemasan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kesihatan
A. Status Dana dan Sokongan Sedia Ada
Pada masa ini, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai skim khusus yang dinamakan Patient Charity Aid. Walau bagaimanapun, terdapat Tabung Kebajikan Pesakit yang berfungsi untuk membantu mana-mana pesakit yang memerlukan, khususnya dalam bentuk sokongan kebajikan seperti penyediaan barangan keperluan harian atau peralatan bantuan (assistive devices) yang dapat menyokong kesejahteraan pesakit dalam kehidupan seharian mereka.
Bagi pesakit warga emas yang bertaraf PR berwarganegara asing, Kementerian sentiasa menekankan kepentingan perlindungan melalui insurans atau skim perlindungan lain yang sesuai, bagi membantu mereka menguruskan kos rawatan kesihatan secara lebih berkesan.
B. Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (Medical Social Worker)
Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan memastikan pesakit, termasuk warga emas yang memerlukan, mendapat perhatian yang bersesuaian. Penilaian dilakukan secara menyeluruh dengan pendekatan berfokus kepada pesakit (patient-centred), termasuk menyalurkan pesakit kepada agensi atau badan berkaitan untuk mendapatkan bantuan kewangan atau sokongan kebajikan tambahan, selain daripada menyalurkan mana-mana bantuan yang dapat diberikan di bawah Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan sentiasa prihatin terhadap pesakit yang memerlukan bantuan, dan bagi memperkukuh sokongan ini telah menambah seramai 10 Pembantu Pegawai Kebajikan Perubatan (Kontrak) untuk membantu pesakit dalam urusan permohonan dan koordinasi dengan agensi yang relevan.
Kementerian menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan perubatan apabila memerlukan, dan sekiranya terdapat kebimbangan mengenai pembayaran, pasukan kesihatan termasuk Unit Pembayaran dan Unit Kerja Sosial Perubatan sentiasa bersedia untuk berbincang mengenai sokongan yang ada.
C. Langkah Penambahbaikan dan Komitmen Masa Hadapan
Kementerian Kesihatan mengakui bahawa insurans kesihatan boleh menjadi beban kewangan bagi sebahagian warga emas yang terjejas, dan tidak wajar sekadar bergantung kepada pihak luar. Sehubungan itu, Kementerian akan terus meneliti dan mencari penyelesaian alternatif yang lebih mampan bagi memastikan pesakit yang menghadapi kesukaran kewangan tidak terpinggir.
Kementerian juga mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada orang awam, badan bukan kerajaan, serta pihak berkepentingan lain, agar bersama-sama dapat membentuk pendekatan yang lebih berpusat kepada pesakit (patient-centric) selain turut memberikan bantuan keperluan seharian secara terus kepada pesakit mahupun kepada pihak pegawai kerja sosial perubatan. Dengan cara ini, sokongan yang lebih menyeluruh dapat diwujudkan untuk mencegah kemerosotan penyakit dan mengurangkan kebergantungan kepada rawatan kecemasan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.