Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT020
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan penilaian kementerian berkenaan kesan sistem pengangkutan darat, rangkaian mobiliti harian dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian terhadap tempoh perjalanan, produktiviti tenaga kerja dan kos sara hidup? Bagaimanakah dapatan tersebut diterjemahkan ke dalam dasar atau penambahbaikan sistem pengangkutan negara?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Sukacita mengongsikan di sini mengenai projek-projek Sistem Pengangkutan Darat, khususnya projek berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang sedang diusahakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Dalam pada itu agensi-agensi seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa adalah bertanggungjawab di dalam perancangan dan penyediaan infrastruktur jalan raya dengan mengambil kira keperluan keterhubungan dan kesesakan lalu lintas.
Dalam hubungan ini, laporan key indicators 2022 di dalam Social Blueprint menunjukkan kemajuan dalam kesalinghubungan pengangkutan di Negara Brunei Darussalam, terutamanya di dalam penyediaan rangkaian jalan raya yang luas sepanjang 3,805.69 km. Ini telah memperbaiki akses penduduk ke kemudahan laluan penting seperti jambatan dan lebuh raya.
Pada masa yang sama, memang diakui daripada penilaian umum dan pengalaman negara-negara lain bahawa impak gaya hidup yang terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian akan menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan menjejaskan waktu perjalanan. Masa yang sepatutnya digunakan untuk bekerja atau berehat terbazir di atas jalan raya. Kebergantungan kepada kereta sendiri juga memerlukan individu mengeluarkan belanja ke arah penyelenggaraan kenderaan (servis, tayar, dll), pinjaman bank (ansuran bulanan kereta) dan bahan api.
Dalam hubungan ini, Pelan Induk Pengangkutan Darat (LTMP) dan Blueprint for Sustainable and Inclusive Land Transportation System yang bertujuan untuk mewujudkan sistem kesalinghubungan yang cekap, mudah diakses dan memudahcara mobiliti setiap lapisan masyarakat dan penduduk telah disemak semula pada tahun 2023.
Berikutan daripadanya, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi pada masa ini memberi tumpuan kepada menyediakan sistem pengangkutan yang lebih berdaya maju, mampan, selamat dan selesa untuk semua pengguna melalui Rancangan Kemajuan Negara ke-12 yang diperuntukkan. Perancangan dan pelaksanaannya adalah memberi tumpuan kepada:
i. Meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian laluan perkhidmatan bas memenuhi keperluan orang ramai dan pada masa yang sama boleh meningkatkan penggunaan dan jumlah penumpang melalui penyediaan perkhidmatan yang boleh dipercayai, mengikut jadual, berkualiti dan mudah diakses;
ii. Penambahbaikan dan peningkatan liputan teksi dan perkhidmatan berkongsi tumpangan atas permintaan (e-hailing) sebagai usaha dan strategi menyokong kebolehcapaian perkhidmatan pengangkutan awam terutama di luar bandar; dan
iii. Memanfaatkan penggunaan teknologi untuk memantau pergerakan kenderaan dan kemudahan penumpang melalui pemakaian sistem pengurusan pengangkutan pintar (STS).
Khususnya berhubung dengan meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian laluan perkhidmatan bas, penilaian terperinci sedang dibuat mengenai kos penyediaan perkhidmatan kepada kerajaan dalam memastikan kemampanan perkhidmatan bersama syarikat-syarikat yang telah disenarai pendek daripada Request for Proposal to Provide, Operate, Manage and Maintain Public Transport Services in Brunei Darussalam.
Dengan tertubuhnya perkhidmatan ini nanti, diharapkan akan dapat meningkatkan 'efficiency' rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam, sekaligus akan dapat menggalakkan lagi pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam di negara ini. Dalam usaha mendukung dan mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memastikan kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi serta mempertingkatkan mobiliti dan produktiviti dalam melaksanakan aktiviti perekonomian, pelaksanaan projek-projek ini adalah penting bagi meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan awam negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.