Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT019
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN menyatakan faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada tren penurunan pencapaian industri perikanan daripada BND3.87 juta (tahun 2023) kepada BND2.83 juta (tahun 2024), dan apakah perancangan bagi menangani jurang pencapaian tersebut?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan
Terlebih dahulu, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ingin menjelaskan mengenai pencapaian keseluruhan sektor perikanan.
Berdasarkan kepada rekod Kementerian ini, pencapaian keseluruhan sektor perikanan bagi tahun 2022 adalah sebanyak $211.21 juta, pada tahun 2023 adalah sebanyak $166.57 juta dan bagi tahun 2024 adalah sebanyak $161.60 juta. Secara khususnya, tren penurunan ini dapat dilihat melalui perbezaan pencapaian tahunan, iaitu sebanyak $44.64 juta pada tahun 2023 berbanding pencapaian pada tahun 2022, dan penurunan sebanyak $4.96 juta pada tahun 2024 berbanding pencapaian pada tahun 2023.
Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa penurunan pencapaian industri perikanan yang dinyatakan adalah berkait rapat dengan cabaran khusus yang dihadapi dalam sektor akuakultur, terutamanya dalam industri ternakan udang, dan bukan disebabkan oleh kemerosotan menyeluruh dalam sektor perikanan negara.
Keadaan ini berpunca daripada isu penyakit udang yang mula dikesan sejak tahun 2023 di beberapa ladang ternakan utama. Keadaan ini telah menjejaskan kadar pertumbuhan udang dan menyebabkan peningkatan kadar kematian ternakan, sekali gus memberi kesan kepada bekalan bahan mentah bagi industri pemprosesan hasil perikanan tempatan.
Bagi menangani cabaran ini dan merapatkan jurang pencapaian tersebut, Kementerian melalui Jabatan Perikanan telah melaksanakan beberapa langkah strategik.
Antaranya termasuk memperkukuhkan langkah biosekuriti dan kawalan penyakit bagi ternakan ikan dan udang di peringkat ladang. Selain itu, Jabatan Perikanan turut melaksanakan Pelan Pemulihan Industri Ternakan Udang (Shrimp Recovery Programme) yang memberi tumpuan kepada pengurangan kadar penyakit, peningkatan produktiviti serta pengukuhan kapasiti pengeluaran ladang ternakan udang tempatan.
Di samping itu, langkah kawalan terhadap sumber bekalan benih udang turut diperkemaskan melalui penilaian pembekal benih import bagi memastikan hanya pembekal yang memenuhi piawaian biosekuriti dimasukkan ke dalam senarai pembekal yang diluluskan, bagi mengurangkan risiko kemasukan penyakit ke dalam negara.
Melalui langkah-langkah ini, industri ternakan udang akan dapat dipulihkan secara berperingkat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan semula pencapaian industri perikanan negara.
Perlu juga diketengahkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak $15.91 juta pada tahun 2025 berbanding pencapaian pada tahun 2024, seperti berikut:
| Tahun | 2022 | 2023 | 2024 | 2025 |
|---|---|---|---|---|
| Nilai keluaran ($ juta) | $211.21 | $166.57 | $161.60 | $177.51 |
| Perbezaan keluaran dari tahun sebelumnya | — | - $44.64 | - $4.96 | + $15.91 |
Peningkatan ini disumbangkan oleh kesemua industri di sektor perikanan terutamanya oleh:
- industri penangkapan ikan melalui penambahan bilangan kapal komersil yang beroperasi;
- industri akuakultur dari peningkatan ternakan ikan laut; dan
- industri pemprosesan dari peningkatan produk nilai tambah.
Berdasarkan peningkatan ini, langkah-langkah yang dilaksanakan telah mendatangkan hasil yang positif. Segala inisiatif yang telah diusahakan akan terus diperbaiki dan dipertingkatkan demi memastikan cabaran-cabaran yang wujud dapat ditangani dengan cekap dan berkesan.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.