Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT029
SOALAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA INDERA PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI SUYOI BIN HAJI OSMAN meminta MENTERI HAL EHWAL LUAR NEGERI II menyatakan bagaimanakah kementerian menyediakan pegawai diplomat negara dengan kemahiran diplomasi (diplomatic skills) bagi mengemudi urusan diplomatik negara? Ini mengambilkira pergolakan politik dunia yang semakin mencabar dan berlakunya perubahan dalam strategic alliances di antara negara-negara kuasa besar.
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II
Pegawai diplomat kita memikul tanggungjawab signifikan dalam memastikan pelaksanaan dasar luar negara yang berkesan, dan seterusnya melindungi dan memelihara kepentingan Negara Brunei Darussalam di persada antarabangsa.
Kita juga sedar akan kepentingan untuk melengkapkan pegawai-pegawai dengan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran asas diplomasi. Ini bukan sahaja untuk membina profesionalisme, kecekapan dan ketangkasan pegawai-pegawai tetapi juga bagi memastikan kesediaan kita berhadapan pelbagai cabaran yang timbul akibat ketidaktentuan global masa kini.
Oleh itu, Kementerian akan terus sentiasa mempertingkatkan usaha-usaha mengukuhkan keupayaan pegawai-pegawai di Kementerian ini, termasuk pembangunan kapasiti dan kemahiran diplomatik.
Pendedahan awal kepada pegawai-pegawai diberikan melalui taklimat-taklimat dari setiap Jabatan dan Bahagian di Kementerian ini. Antaranya bertujuan untuk memberikan pemahaman lanjut mengenai Negara Brunei Darussalam dan dasar luarnya, serta peranan dan fungsi Jabatan dan Bahagian di bawah Kementerian.
Pegawai-pegawai seterusnya akan menjalani penempatan jangka pendek di Jabatan-Jabatan yang berkenaan bagi mendedahkan mereka kepada pelbagai aspek kerja di Kementerian ini.
Selepas itu, pegawai-pegawai tersebut seterusnya akan ditempatkan di Jabatan-Jabatan lain untuk tempoh yang lebih panjang bagi membolehkan mereka untuk memperoleh kefahaman mendalam mengenai isu-isu semasa serantau dan antarabangsa. Ini akan membolehkan mereka untuk menguasai kemahiran dan kebolehan untuk menyuarakan pendirian negara dan memastikan pelaksanaan dasar luar negara yang selaras dan menyeluruh.
Asas kemahiran diplomatik turut diterapkan dalam rangka 'on-the-job training' bersama rakan sebaya di bawah bimbingan pegawai penyelia ('direct supervisor') dan pegawai-pegawai kanan di Jabatan masing-masing.
Pendekatan mentor-mentee ini membantu pegawai mengasah kemahiran praktikal dalam mengikuti isu-isu semasa, memantau pergolakan dan perkembangan geopolitik dan keupayaan analisis bagi penyediaan laporan-laporan, perancangan dan penggubalan dasar.
Dalam tempoh ini juga, asas-asas diplomasi seperti etika dan protokol rasmi, komunikasi profesional dapat dipelajari dan dipraktikkan.
Di samping itu, pada setiap tahun, Kementerian menerima latihan atau kursus dan biasiswa yang diterima dan ditawarkan oleh negara-negara sahabat. Ini termasuk 'Women in Maritime Security', 'Law of the Sea', 'International Law Seminar', 'ASEAN Law and Policy Academy', 'Training Programme in Strategic Leadership and Public Governance', 'Training Programme in Peacemaking and Preventive Diplomacy for The Asia-Pacific Region, Constructive Dialogue and Confidence-Building', 'Training Course in Diplomacy and Regional Cooperation for Midcareer Diplomats', 'Training Course 'Artificial Intelligence and Diplomacy', 'Training Programme on Nuclear Disarmament and Non-Proliferation', 'Knowledge of Diplomacy for Future-Ready Diplomats', Program 'Diplomatic School for Junior Diplomats', 'Foreign Diplomatic Course', dan Program pengajian peringkat Sarjana.
Tawaran-tawaran kursus dan latihan ini diberikan kepada pegawai-pegawai Kementerian di pelbagai peringkat untuk memastikan mereka sentiasa dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan. Misalnya, kursus 'Foreign Service Basic Programme' (FSBP) ditawarkan kepada pegawai-pegawai muda ('junior officers') atau yang baru berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Terdapat juga tawaran kursus 'Foreign Service Supervisory Programme (FSSP)' dan 'Technical Cooperation Programme' bagi pegawai-pegawai peringkat pertengahan hingga ke peringkat Pengarah. Manakala, di peringkat Setiausaha Tetap juga ada peluang untuk menyertai program khusus seperti 'Visitor's Programme' yang ditawarkan oleh negara-negara sahabat.
Pada kelazimannya, sebelum memulakan perkhidmatan atau ber-posting di Pejabat-Pejabat Perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negara, pihak Kementerian akan memastikan pegawai-pegawai yang dipilih benar-benar bersedia dan mempunyai pengetahuan asas dalam mengendalikan hal-hal kewangan dan pentadbiran. Mereka juga akan diaturkan untuk menjalani 'pre-posting attachments' di Jabatan-Jabatan dan Bahagian yang utama untuk memahami skop tugas-tugas di Pejabat-Pejabat Perwakilan secara lebih berfokus dan menyeluruh.
Pegawai-pegawai tersebut juga secara mandatori dikehendaki untuk menghadiri taklimat-taklimat bersesuaian di luar Kementerian ini, seperti di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan lain-lain.
Kesemua ini bertujuan bagi melengkapkan para pegawai dengan profesionalisme dan kepakaran substantif secara komprehensif.
Di luar negeri, selain dilengkapkan dengan kemahiran substantif, tumpuan utama pegawai-pegawai di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri adalah dalam aspek logistik, pentadbiran dan kewangan, termasuk membuat persediaan bagi mesyuarat, lawatan rasmi serta pengendalian ketibaan 'VIP' di Lapangan Terbang di luar negeri.
Dalam pada itu, mereka juga perlu mempunyai kebolehan untuk membina dan memperkukuhkan 'networking' dengan rakan-rakan antarabangsa. Ini merupakan kemahiran penting bagi para diplomat kita, terutama sekali dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa, di samping meneroka serta mempelbagaikan peluang kerjasama yang sedia ada.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.