Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT005
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN menyatakan pendekatan dasar dan langkah-langkah kementerian bagi mempercepatkan pelaksanaan pengeluaran Kad Orang Kelainan Upaya (OKU) serta pendekatan bagi memastikan kad tersebut digunakan secara berkesan dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkepentingan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menitikberatkan dan memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan orang kelainan upaya di negara ini agar sentiasa dijaga dan dipelihara, selaras dengan dasar negara dan inisiatif Majlis Kebangsaan Isu Sosial di bawah Pelan Tindakan Orang Kelainan Upaya, serta komitmen negara di bawah Convention on the Rights of Persons with Disabilities dalam memastikan orang kelainan upaya diberi peluang saksama bagi menjalani kehidupan secara inklusif di negara ini.
Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-75 pada tahun 2021, Baginda telah mengurniakan titah bagi memperkenankan penguatkuasaan Akta Orang Kurang Upaya bermula 1 Oktober 2021.
Alhamdulillah, tindakan-tindakan ke arah penguatkuasaan Akta OKU ini telah giat dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama agensi-agensi yang berkepentingan dalam sektor Kerajaan dan sektor bukan Kerajaan. Salah satu peruntukan yang dimaksudkan ialah penyediaan Daftar Orang Kurang Upaya yang mengandungi nama, alamat serta butiran lain OKU yang didaftarkan di dalamnya, manakala Bab 12 pula memperuntukkan bagi Pendaftar, iaitu Pengarah Pembangunan Masyarakat, untuk mengeluarkan suatu kad bagi nama-nama yang dimasukkan dalam daftar tersebut. Tujuan Kad OKU ini nanti adalah untuk digunakan sebagai kad pengenalan bagi golongan OKU untuk membolehkan mereka yang sudah berdaftar mendapatkan akses kepada sebarang perkhidmatan, program, kemudahan dan prasarana yang bersesuaian dengan keperluan mereka mengikut tahap ketidakupayaan masing-masing.
Dalam persediaan bagi melaksanakan peruntukan Bab 12 berkaitan pengeluaran Kad OKU, beberapa tindakan utama telahpun diambil, iaitu
i. Pertama, KKBS telah mengadakan sesi konsultasi bersama Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) yang mewakili sembilan (9) persatuan OKU di negara ini. Sesi ini bertujuan mendapatkan pandangan secara langsung daripada golongan OKU, khususnya berkaitan reka bentuk kad, butiran maklumat serta cadangan keistimewaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka;
ii. Kedua, KKBS turut melaksanakan penanda arasan (benchmarking) terhadap amalan terbaik antarabangsa dengan merujuk kepada pelaksanaan Kad OKU di beberapa negara seperti Malaysia, Filipina, United Kingdom dan Kesatuan Eropah. Perbandingan ini meliputi aspek kadar bayaran, bentuk keistimewaan serta jenis bantuan dan perkhidmatan yang disediakan kepada pemegang kad;
iii. Ketiga, bagi memastikan pendekatan yang menyeluruh, KKBS telah mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi berkepentingan untuk mengenal pasti perkhidmatan, program dan insentif yang boleh ditawarkan kepada pemegang Kad OKU, di samping memastikan akses kepada kemudahan dan prasarana yang lebih inklusif. Hasil penyelarasan ini menunjukkan cadangan keistimewaan seperti penyediaan laluan khas di kaunter perkhidmatan, pengecualian atau pengurangan bayaran tertentu, serta kemudahan tempat letak kereta khas dan akses yang lebih mesra OKU.
iv. Keempat, dari segi perundangan, permohonan untuk mendapatkan kad ini adalah voluntary dan tidak mandatori. Namun KKBS ingin menggalakkan OKU untuk memohon kad ini kerana akan memberi nilai tambah kepada statistik OKU dan ianya boleh digunakan untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang istimewa. Justeru itu, KKBS telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara bagi meneliti keperluan pindaan terhadap Akta Orang Kurang Upaya, termasuk bagi mengambil kira cadangan-cadangan penambahbaikan dari Kementerian-Kementerian dan juga MKOKU, serta cadangan kadar bayaran. Insha Allah, proses bagi mengemaskini perundangan akan dipercepatkan dengan kerjasama pihak Pejabat Peguam Negara.
Secara keseluruhannya, usaha-usaha ini merupakan sebahagian daripada pendekatan berperingkat bagi memastikan pelaksanaan pengeluaran Kad OKU dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan perlindungan, kesejahteraan serta keterangkuman golongan OKU, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Orang Kurang Upaya (Bab 234) serta aspirasi negara untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.