Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT033
SOALAN
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin
YANG BERHORMAT PENGIRAN HAJI ISA BIN PENGIRAN HAJI ALIUDDIN meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan status terkini projek dan tender bagi sistem pengangkutan bas awam yang dikeluarkan tahun lepas, yang mana tujuannya adalah bagi mewujudkan sistem yang berkesan dan pintar?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Projek Menaiktaraf, Mengemaskini, Memasang Dan Membina Baharu Bagi Tiang-Tiang ('Bus Poles') Dan Pondok-Pondok Perhentian Bas ('Bus Shelters') Bagi Laluan-Laluan Yang Sedia Ada Dan Baharu Di Seluruh Negara Brunei Darussalam
Projek menaiktaraf, mengemaskini pemasangan serta pembinaan baharu tiang-tiang perhentian bas (bus pole) dan pondok-pondok perhentian bas (bus shelter) bagi laluan sedia ada dan laluan baharu di seluruh Negara Brunei Darussalam telah mula dilaksanakan pada 25 Ogos 2025 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 24 Ogos 2027.
Projek tersebut melibatkan sejumlah 383 buah tiang perhentian bas dan 250 buah pondok perhentian bas di semua daerah. Setakat kini, tahap kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 13.04% dengan melibatkan 33 buah pondok perhentian bas daripada keseluruhan projek.
Pelaksanaan kerja-kerja akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan yang telah ditetapkan, berdasarkan laluan operasi bas awam sedia ada serta penilaian tahap permintaan dan keperluan perkhidmatan.
Lawatan pemeriksaan tapak telah dijalankan pada 30 Disember 2025 melibatkan JPD, pihak Jabatan Jalan Raya (DOR), Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE) dan Syarikat Pelaksana. Lawatan pemeriksaan tapak telah meninjau pelaksanaan kerja-kerja di beberapa lokasi pondok perhentian bas di Jalan Tutong dan Kiulap. Hasil pemeriksaan merangkumi cadangan pelaksanaan kerja mengikut kesesuaian lokasi.
Adapun beberapa cadangan lokasi untuk kerja-kerja menaiktaraf pondok perhentian bas baharu masih menunggu 'permit-to-dig' contohnya di Kawasan Badi'ah Hotel. Sementara itu, pihak syarikat giat melaksanakan kerja-kerja di kawasan yang telah dibenarkan.
Menyediakan dan Menaiktaraf Infrastruktur Pengangkutan Awam Di Negara Brunei Darussalam
Permohonan projek baru di bawah peruntukan RKN 12 iaitu 'Menyediakan dan Menaiktaraf Infrastruktur Pengangkutan Awam di Negara Brunei Darussalam' dengan tempoh pelaksanaan dalam lima (5) tahun bagi meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian teras perkhidmatan bas awam. Projek ini bertujuan untuk:
i. Menaiktaraf dan membangun kemudahan infrastruktur perhentian-perhentian pertukaran bas, terminal dan perhentian bas bagi rangkaian laluan teras ('core routes network') bas awam;
ii. Bagi mendokong sistem pengangkutan awam yang berdasarkan laluan bas teras dan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan ('on demand transport service') dengan menyediakan kemudahan selesa dan mesra pengguna; dan
iii. Meningkatkan aspek keselamatan dan menyeragamkan ('standardize') garis pandu / piawaian reka bentuk perhentian-perhentian bas.
Beberapa perancangan sistem pengangkutan awam juga dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pandu. Secara ringkasnya, projek ini meliputi semua daerah, bukan sahaja tertumpu kepada laluan sedia ada tetapi juga membuka lagi laluan baru dengan mensasarkan bukan saja orang ramai, tapi juga pelancong dan pelajar melalui tadahan.
Dalam usaha memberi penyediaan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, efisien, berjadual dan selesa di negara ini, pelaksanaannya memberikan tumpuan kepada beberapa perkara iaitu:
i. meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian laluan bas utama ke tahap perkhidmatan yang memenuhi keperluan orang ramai; dan
ii. menambahbaik dan meningkatkan liputan perkhidmatan teksi dan perkhidmatan berkongsi tumpangan atas permintaan ('e-hailing') yang dihasratkan akan menyokong kesalinghubungan dan kebolehcapaian perkhidmatan pengangkutan ke kampung-kampung pendalaman atau luar bandar.
Dalam hubungan ini, sukacita mengongsikan bahawa berikutan Request for Proposal untuk Menyediakan, Mengendalikan, Mengurus dan Menyelenggara Perkhidmatan Pengangkutan Awam yang telah dikeluarkan sebelum ini oleh Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi sekarang berada dalam peringkat rundingan lanjut dengan syarikat yang telah disenarai pendek, khususnya mengenai aspek operasi, komersial dan kedayatahanan perkhidmatan.
Untuk makluman Yang Berhormat, dalam usaha menyediakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, efisien, boleh dipercayai dan lebih selesa, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat-peringkat, iaitu:
-
Pertama, penyediaan secara berfasa perkhidmatan Pengangkutan Responsif Permintaan atau Demand Responsive Transit (DRT) iaitu, perkhidmatan pengangkutan awam yang mana penumpang berkongsi kenderaan van atau bas kecil dengan laluan dan jadual fleksibel mengikut permintaan penumpang secara tempahan yang juga didayakan dengan penggunaan teknologi digital, dan
-
Kedua, penyediaan secara berfasa perkhidmatan bas atau van, tertakluk kepada jumlah penumpang, bagi laluan-laluan utama secara berjadual dan disertakan kemudahan pengesanan keberadaan kenderaan secara masa nyata.
Dalam hubungan ini, projek menaiktaraf, mengemaskini pemasangan serta pembinaan baharu tiang-tiang perhentian bas (bus pole) dan pondok-pondok perhentian bas (bus shelter) bagi laluan sedia ada dan laluan baharu sedang juga dilaksanakan.
Memandangkan pelaksanaan penyediaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat dan berfasa, bermula dengan penyediaan perkhidmatan Pengangkutan Responsif Permintaan atau Demand Responsive Transit (DRT), tumpuan awal akan diberikan kepada kawasan bandar terdahulu bagi memastikan kelestarian perkhidmatan memandangkan antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan perkhidmatan tersebut nanti adalah bilangan penumpang. Walau bagaimanapun, memandangkan salah satu pasaran sasaran utama untuk perkhidmatan DRT adalah untuk penuntut-penuntut sekolah, ini berpotensi menjana permintaan yang mencukupi bagi kawasan-kawasan kampung, sebagai contohnya.
Selain itu, bagi projek Smart Transportation System (STS), iaitu penyediaan platform digital pengangkutan awam yang bertujuan untuk mengoptimumkan pengurusan dan operasi rangkaian pengangkutan yang berasaskan teknologi, pemantauan dalam kenderaan serta perkhidmatan on-demand transport (e-hailing). Dokumen tawaran bagi projek tersebut akan dibukakan pada bulan Julai 2026 dan tutup pada bulan Ogos 2026.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.