Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT017
SOALAN
Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
YANG BERHORMAT AWANG ZAINOL BIN HAJI MOHAMED meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DAN EKONOMI II menyatakan cabaran utama dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang terhadap hasil fiskal, pekerjaan dan produktiviti sekiranya corak pelaburan semasa kekal? Apakah langkah mitigasi, indikator pemantauan serta sektor alternatif yang telah dikenalpasti sebagai keutamaan berdasarkan kapasiti semasa negara?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II
Persekitaran ekonomi global yang semakin kompleks serta perubahan teknologi yang kian pesat membawa peluang yang besar kepada negara dalam usaha untuk membangun ekonomi yang lebih dinamik dan mampu mencapai hasrat pempelbagaiannya. Namun, pada masa yang sama ianya juga membawa risiko yang mampu menggugat kemampanan fiskal, memandangkan kebergantungan negara terhadap sektor minyak dan gas. Keterdedahan negara terhadap ketidaktentuan harga minyak mentah dunia serta konflik geopolitik bukan sahaja memberi tekanan kepada hasil negara, malah boleh memberi impak langsung kepada kedayatahanan ekonomi Negara Brunei Darussalam termasuk untuk peluang pekerjaan dan produktiviti ekonomi.
Selain itu, negara juga berhadapan dengan realiti perubahan iklim sedunia yang tidak boleh diabaikan. Tren peralihan tenaga global ke arah Pelepasan Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050 yang dijangka akan menjejaskan permintaan global terhadap minyak dan gas serta mengukuhkan kepentingan transformasi baharu di dalam struktur dan proses industri domestik. Semua ini bukan sahaja boleh memberi impak kepada rantaian bekalan barangan serta peningkatan kepada kos transaksi perdagangan tetapi juga boleh memberi impak langsung kepada kestabilan sosio-ekonomi rakyat dan Negara, khususnya juga dari segi pengangguran dan kualiti hidup yang mampan.
Justeru itu, landskap industri dan pasaran buruh di negara ini perlulah disesuaikan dengan adanya perkembangan teknologi dan AI yang semakin pesat, yang mana memerlukan Negara untuk memberi tumpuan yang lebih kuat terhadap memperkukuhkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan ke arah memenuhi permintaan terhadap kemahiran dan industri baharu.
Dengan peredaran global yang semakin pesat, Negara perlu mempertingkatkan lagi usaha untuk menjadi lebih tangkas (agile) dan membuat penyesuaian mengikut arus perubahan di samping memastikan ianya selari dengan keperluan negara dan rakyat. Dalam pada itu, strategi pempelbagaian ekonomi negara, terutamanya yang didokong oleh usaha-usaha Pelaburan Langsung Asing (FDI), pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), serta pengukuhan Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) terus menjadi tunggak utama dalam memacu pembangunan negara.
Khususnya dari segi pelaburan, Alhamdulillah, setakat Januari 2026 sebanyak 25 syarikat FDI telahpun beroperasi di Negara Brunei Darussalam yang mempunyai nilai pelaburan keseluruhan berjumlah kira-kira USD5.9 bilion dan telah menjana lebih kurang 4 ribu peluang pekerjaan. Tambahan juga, terdapat 18 buah lagi projek FDI yang sedang di dalam fasa pelaksanaan dengan nilai pelaburan dianggarkan berjumlah USD5.6 bilion dan yang mana diunjurkan akan mampu menjana lebih kurang 3 ribu pekerjaan baharu.
Insya-Allah dengan usaha-usaha berterusan daripada pihak sektor Kerajaan dan juga swasta, serta juga melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) serta Bahagian Pelaburan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk meneroka lagi peluang-peluang baharu, ianya diharap akan meningkatkan lagi momentum penarikan pelaburan yang berkualiti ke negara ini yang selaras dengan agenda pempelbagaian ekonomi negara serta mampu menjana pekerjaan bagi anak-anak tempatan.
Usaha-usaha ini akan diteruskan lagi dengan tumpuan kepada memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti yang dapat menambah nilai tinggi melalui pembangunan 5 sektor keutamaan yang telah dikenal pasti, di samping juga memastikan adanya strategi-strategi dokongan yang berkesan. Ini antaralainnya termasuk strategi-strategi yang mendokong pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran dan future-ready, terutamanya juga melalui program-program upskilling dan reskilling serta pengukuhan struktur pendidikan yang selaras dengan keperluan industri; pemerkasaan sektor swasta tempatan melalui tumpuan kepada peningkatan skala operasi dan produktiviti, penggunaan teknologi baharu dan budaya berinovasi; serta penyediaan infrastruktur sosio-ekonomi negara serta digital yang cekap, mencukupi dan berkualiti.
Bagi memastikan pelaksanaan dasar kekal responsif dan selaras dengan Wawasan 2035 serta Pelan Tindakan Ekonomi, pemantauan dibuat dengan secara berkala merentas pelbagai indikator pemantauan yang memfokuskan kepada pengukuhan pertumbuhan ekonomi, pengembangan sektor bukan minyak dan gas, peningkatan eksport, pembangunan perusahaan yang produktif, penciptaan pekerjaan berkualiti untuk rakyat. Antaralainnya, ini termasuk seperti memantau prestasi sumbangan hasil bukan minyak dan gas kepada KDNK dan status fiskal negara, kadar pengangguran belia, kadar penyertaan tenaga buruh tempatan dan peratus pekerjaan sektor swasta berkemahiran tinggi; serta sumbangan sektor-sektor keutamaan dan FDI kepada KDNK dan penjanaan pekerjaan.
Secara keseluruhannya, pendekatan bersepadu ini bertujuan memastikan kemajuan ekonomi dipacu oleh keupayaan domestik yang lebih kukuh, produktiviti yang lebih tinggi, tadbir urus yang cekap serta kerjasama yang pelbagai. Usaha ini akan dilaksanakan dengan penekanan kepada pelaksanaan yang tepat pada masanya, terselaras serta berakauntabiliti tinggi, sekali gus membolehkan negara kekal berdaya tahan, berdaya saing dan mampan dari segi fiskal dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu.
Namun, dengan kepimpinan dasar yang proaktif, pemantauan berasaskan data, serta pelaksanaan strategi yang selaras dengan Wawasan Brunei 2035, InsyaAllah Negara Brunei Darussalam akan dapat memperkukuh lagi asas ekonomi yang lebih pelbagai, inklusif dan berdaya saing di peringkat serantau dan global.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.