Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT010
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH ROSMAWATTY BINTI HAJI ABDUL MUMIN meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan sejauh manakah kesiapsiagaan negara untuk memenuhi permintaan tenaga kerja hijau untuk rakyat tempatan dalam negara, peringkat serantau dan antarabangsa termasuk kolaborasi antara Jabatan Tenaga dan Kementerian Pendidikan, serta jenis latihan serta program pembangunan kapasiti yang telah dilaksanakan?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Melalui pelaksanaan rangka kerja SCALE (Skills and Capacity for Alternative Low-Carbon Energy), Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri menyepadukan usaha-usaha sedia ada bersama pihak-pihak berkepentingan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara bagi memenuhi permintaan tenaga kerja hijau, khususnya dalam sektor tenaga rendah karbon. Inisiatif ini dibangunkan berasaskan asas pendidikan, latihan dan keupayaan industri yang telah tersedia, dengan penekanan kepada pembangunan kemahiran dan kompetensi tenaga kerja, termasuk anak-anak tempatan agar bersedia memenuhi keperluan tenaga hijau dalam negara, serta memiliki asas kebolehpasaran untuk peluang di peringkat serantau dan antarabangsa. Pendekatan di bawah rangka kerja SCALE turut menumpukan kepada penyediaan tenaga kerja yang bersedia memanfaatkan peluang pekerjaan dalam sektor tenaga yang sedang berkembang, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat serantau dan antarabangsa, melalui pembangunan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Dari segi penyelarasan antara agensi, pelaksanaan inisiatif SCALE dilaksanakan melalui kerjasama berterusan antara Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan. Inisiatif ini turut melengkapi usaha pembangunan tenaga kerja industri tenaga yang digerakkan melalui Manpower Industry Steering Committee (MISC), yang bernaung di bawah Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) di peringkat nasional. Penyelarasan ini memastikan elemen kemahiran hijau dapat disepadukan secara berstruktur ke dalam sistem pendidikan dan latihan negara, selaras dengan Pelan Pendidikan Hijau serta keperluan industri tenaga, sekali gus menyokong penyediaan laluan pendidikan, latihan dan pensijilan yang sistematik bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin berkembang.
Dari aspek latihan dan pembangunan kapasiti, SCALE mengenal pasti beberapa bidang keutamaan untuk diperkukuhkan secara berperingkat, dengan memanfaatkan program dan platform sedia ada. Ini termasuk usaha memperluas dan mempertingkatkan kecekapan tenaga dan solar PV dalam program TVET yang sedia ada, serta penelitian ke arah pembangunan pensijilan pemasangan dan penyelenggaraan solar yang berpotensi untuk disokong dan diiktiraf oleh pihak kerajaan.
Sebagai bukti perlaksanaan awal di bawah rangka kerja ini, peluang latihan industri dan penempatan (internship) berasaskan tapak projek turut disediakan melalui projek-projek tenaga boleh diperbaharui yang sedang dibangunkan. Ini termasuk penempatan 4 orang pelatih dari IBTE dan Politeknik Brunei selama tempoh 5 bulan di tapak projek tenaga suria 30 MW di Kampong Belimbing yang dijangka akan memulakan operasi pada tahun ini, bagi memberi pendedahan praktikal kepada tenaga kerja tempatan dalam aspek pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem tenaga solar berskala utiliti. Inisiatif penempatan pelatih tersebut akan seterusnya dilaratkan kepada projek-projek solar lain yang merangkumi projek berskala besar dan juga berskala kecil.
Di peringkat pengajian tinggi, bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen hijau, e-fuels dan Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) telah dikenal pasti sebagai bidang strategik yang diperlukan turut diperkukuh bagi memastikan pembangunan kurikulum, latihan dan penyelidikan secara berfasa, sejajar dengan potensi pembangunan industri pada masa hadapan. Usaha ini sedang diperhalusi bagi memastikan penyediaan modal insan adalah selari dengan hala tuju dasar tenaga dan pelaburan negara.
Selain itu, keupayaan dalam pelbagai bidang tenaga baharu, seperti projek penyambungan rangkaian tenaga elektrik merentas sempadan dan potensi tenaga nuklear turut dipertimbangkan secara berstruktur di peringkat dasar serta perancangan jangka panjang. Ini merangkumi penilaian awal terhadap keperluan rangka kerja institusi dan perundangan, pembangunan kompetensi teknikal, pengawalseliaan dan komersial, serta pendekatan pelaksanaan secara berfasa selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. Bagi inisiatif penyambungan grid elektrik rentas sempadan, penyelarasan turut dilaksanakan dalam kerangka ASEAN Power Grid (APG) di peringkat serantau. Sementara itu, bagi potensi pembangunan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih masa hadapan, penilaian kesiapsiagaan negara dilaksanakan berpandukan pendekatan Milestones yang dibangunkan oleh International Atomic Energy Agency (IAEA).
Usaha perancangan awal ini bertujuan memastikan bahawa sekiranya projek-projek baharu dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara pada masa hadapan, asas keupayaan institusi dan modal insan telah disusun dan dirancang dengan teliti.
Secara keseluruhannya, melalui pelaksanaan inisiatif SCALE yang menyepadukan usaha sedia ada serta penyelarasan erat antara Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, MISC dan pihak-pihak berkepentingan yang lain, negara sedang membina asas tenaga kerja hijau tempatan yang tersusun, berdaya saing dan mampan bagi menyokong peningkatan pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pertumbuhan ekonomi hijau Negara Brunei Darussalam dalam jangka masa yang panjang. Pendekatan ini turut meletakkan Negara dalam kedudukan yang lebih bersedia untuk bersaing dan menarik peluang kerjasama serta pelaburan tenaga hijau di peringkat serantau dan antarabangsa.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.