Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT004
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI menyatakan langkah kementerian untuk memperluaskan penggunaan panel solar ke rumah-rumah persendirian merangkumi aspek seperti secara mampu milik (affordability), penerimaan, keyakinan dan kesediaan pengguna, sokongan dasar pemantauan kualiti, peningkatan pengetahuan awam, dan manfaat kepada ekonomi jangka panjang?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Alhamdulillah, penggunaan panel solar atas bumbung di rumah persendirian telah meningkat hampir empat kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan, daripada 0.1 Megawatt Peak (MWp) pada tahun 2020 kepada 0.4 MWp pada tahun 2025, mencerminkan keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap teknologi ini. Angka ini hanya merangkumi pemasangan yang direkodkan melalui Program Net-metering, di mana lebihan tenaga solar disalurkan ke grid sebagai kredit untuk mengurangkan bil elektrik. Oleh itu, kemungkinan terdapat lebih banyak pemasangan solar yang tidak direkodkan kerana tidak menyertai program ini.
Kos permulaan pemasangan panel solar merupakan antara faktor utama yang dipertimbangkan oleh pengguna. Sehubungan itu, Kerajaan telah memperkenalkan pengecualian cukai import bagi panel solar sejak tahun 2012 sebagai langkah mengurangkan kos awal pemasangan. Pada masa yang sama, Jabatan Tenaga terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk meneliti kebolehlaksanaan peluasan insentif, bagi terus menggalakkan penggunaan teknologi solar dalam kalangan orang ramai.
Selain itu, Jabatan Tenaga melalui Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam (AENBD) turut mengeluarkan beberapa Code of Practices bagi memastikan pengintegrasian sistem solar berskala kecil dan besar ke dalam grid elektrik negara dilaksanakan secara selamat serta mematuhi piawaian yang ditetapkan. Sehubungan ini, orang ramai disarankan untuk mendapatkan perkhidmatan syarikat dan kontraktor pemasangan solar yang diiktiraf, yang mana senarainya boleh dirujuk melalui laman sesawang Jabatan Tenaga. Pihak Jabatan juga tidak ada halangan bagi orang ramai yang berminat untuk memasang panel solar di kediaman secara "captive", iaitu tanpa pengintegrasian ke dalam grid negara.
Bagi menyokong peningkatan kesedaran orang awam, Jabatan Tenaga turut menerbitkan Buku Garis Panduan Program Net-metering serta Buku Panduan Solar PV Di Atas Bumbung pada tahun 2022 yang telah dikemaskini pada tahun lalu dan dimuat naik di laman sesawang Jabatan Tenaga, di samping kempen kesedaran melalui televisyen dan platform media sosial sejak September 2025. Jabatan Tenaga turut bekerjasama dengan Jabatan Penerangan untuk memberikan taklimat melalui program sua muka di peringkat kampung dan mukim, bagi memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai pemasangan solar dan Program Net-metering.
Secara keseluruhannya, peningkatan penggunaan panel solar bukan sahaja membantu pengguna menjimatkan kos elektrik, malah turut menyokong usaha penjimatan penggunaan gas negara supaya dapat dimanfaatkan bagi aktiviti yang lebih berekonomikal dan bernilai tambah tinggi dalam jangka panjang, termasuk pembangunan industri hiliran minyak dan gas.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.