Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis PT002
SOALAN
Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam
YANG BERHORMAT DAYANG HAJAH SAFIAH BINTI SHEIKH HAJI ABD. SALAM meminta MENTERI PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI menyatakan langkah kementerian dalam memastikan persekitaran kawal selia domestik bagi sistem penerbangan negara termasuk keupayaan penyelenggaraan, latihan juruterbang dan jurutera. Adakah terdapat kerangka pensijilan atau pajakan pesawat bagi armada baharu?
JAWAPAN
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
Dalam perkara ini, sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Penerbangan Awam (DCA), sentiasa memastikan persekitaran kawal selia bagi sistem penerbangan negara adalah kukuh, berkesan dan selaras dengan piawaian antarabangsa.
Kerangka Kawal Selia dan Pematuhan Antarabangsa
Negara Brunei Darussalam adalah negara anggota kepada International Civil Aviation Organization (ICAO) sejak tahun 1985. Sehubungan itu, segala peraturan dan keperluan teknikal yang dilaksanakan adalah berpandukan kepada Standards and Recommended Practices (SARPs) yang ditetapkan oleh ICAO di bawah Konvensyen Chicago 1944.
DCA telah menggubal dan melaksanakan Brunei Aviation Requirements (BARs) sebagai kerangka perundangan dan teknikal kebangsaan yang merangkumi aspek keselamatan penerbangan, kelayakan udara (airworthiness), operasi penerbangan, pelesenan kakitangan, aerodrom dan perkhidmatan navigasi udara. Kerangka ini sentiasa dikemaskini mengikut perkembangan piawaian ICAO serta amalan terbaik industri global.
Keupayaan Penyelenggaraan Pesawat (Maintenance Capability)
Bagi memastikan keupayaan penyelenggaraan pesawat berada pada tahap yang selamat dan mematuhi piawaian, DCA melaksanakan:
i. Pensijilan dan pengawasan berterusan terhadap organisasi penyelenggaraan yang diluluskan (Approved Maintenance Organisations, AMO);
ii. Audit berkala dan pemeriksaan pematuhan bagi memastikan keperluan continuing airworthiness dipatuhi.
Selain itu, DCA turut mengiktiraf pensijilan dan type certification daripada pihak berkuasa penerbangan yang diiktiraf antarabangsa seperti European Union Aviation Safety Agency (EASA), Federal Aviation Administration (FAA) dan Civil Aviation Administration China (CAAC), tertakluk kepada proses validasi yang ditetapkan. Pendekatan ini memastikan armada yang didaftarkan di Negara Brunei Darussalam memenuhi piawaian-piawaian keselamatan global.
Latihan dan Pelesenan Juruterbang serta Jurutera
DCA melaksanakan sistem pelesenan kakitangan penerbangan di bawah keperluan yang setara dengan Annex 1 ICAO, merangkumi:
i. Pelesenan juruterbang;
ii. Pelesenan jurutera;
iii. Kelulusan organisasi latihan penerbangan dan penyelenggaraan;
iv. Mana-mana lesen asing yang ingin ditukar atau diiktiraf adalah tertakluk kepada proses penilaian kompetensi dan pematuhan kepada keperluan nasional; dan
v. Dalam konteks industri penerbangan komersial, operator seperti Syarikat Penerbangan Diraja Brunei juga mematuhi piawaian keselamatan operasi yang diiktiraf industri melalui audit seperti IATA Operational Safety Audit (IOSA) di bawah seliaan International Air Transport Association (IATA), sebagai tambahan kepada pengawasan kawal selia oleh DCA.
Kerangka Pensijilan dan Pajakan Pesawat bagi Armada Baharu
Berhubung dengan armada baharu, setiap pesawat yang hendak didaftarkan di Negara Brunei Darussalam adalah tertakluk kepada:
- Pendaftaran rasmi dalam Daftar Pesawat Kebangsaan;
- Pengesahan Type Certificate yang diiktiraf;
- Pemeriksaan dan pengeluaran Sijil Kelayakan Udara (Certificate of Airworthiness); dan
- Pematuhan kepada keperluan operasi dan penyelenggaraan berterusan.
Bagi pesawat yang diperoleh melalui kaedah pajakan (leasing), sama ada dry lease atau wet lease, DCA akan menjalankan penilaian menyeluruh meliputi aspek keselamatan, status pendaftaran, pengawasan negara asal (State of Registry), serta tanggungjawab operasi dan penyelenggaraan sebelum kelulusan diberikan. Proses ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang penerbangan sivil negara dan amalan yang disyorkan oleh ICAO.
Kesimpulannya, Kementerian melalui DCA memastikan bahawa ekosistem penerbangan negara – merangkumi pengawalseliaan, penyelenggaraan, latihan dan pensijilan adalah berlandaskan piawaian antarabangsa, dipantau secara berterusan, dan ditambah baik secara progresif agar keselamatan penerbangan sentiasa menjadi keutamaan utama negara.
In no event will we be liable for any loss or damage including without limitation, indirect or consequential loss or damage, or any loss or damage whatsoever arising from loss of data or profits arising out of, or in connection with, the use of this website.
Through this website, you may be able to link to other websites which are not under our control. We have no control over the nature, content, and availability of those sites. The inclusion of any links does not necessarily imply a recommendation or endorse the views expressed within them.
Every effort is made to keep the website up and running smoothly. However, we take no responsibility for, and will not be liable for, the website being temporarily unavailable due to technical issues beyond our control.